Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 6

Apakah yang Berlaku apabila Kita Mati?

Apakah yang Berlaku apabila Kita Mati?

1-3. Apakah soalan yang ditanya tentang orang mati? Apakah jawapan sesetengah agama?

BIBLE menyatakan bahawa suatu hari nanti “kematian tidak akan ada lagi.” (Wahyu 21:4) Dalam Bab 5, kita belajar bahawa kerana tebusan, kita dapat hidup selama-lamanya. Tetapi buat masa sekarang, manusia masih akan mati. (Pengkhutbah 9:5) Jadi, apakah yang berlaku apabila kita mati?

2 Soalan itu sangat penting. Semasa orang tersayang kita meninggal, kita mungkin bertanya, “Dia sudah pergi ke mana? Adakah dia sedang memperhatikan kita? Dapatkah dia membantu kita? Adakah kita akan berjumpa dengan dia lagi?”

3 Terdapat bermacam-macam ajaran tentang hal itu. Ada agama yang mengajar bahawa orang baik pergi ke syurga dan orang jahat diseksa di neraka. Ada agama pula yang berkata bahawa orang mati akan menjadi roh dan bersatu dengan ahli keluarganya yang sudah mati. Ada juga yang mengajar bahawa orang mati akan dihakimi lalu dilahirkan semula sebagai orang yang berbeza atau sebagai binatang.

4. Apakah persamaan ajaran kebanyakan agama tentang kematian?

4 Ajaran kebanyakan agama tentang kematian berbeza-beza, tetapi ada satu persamaan: Apabila manusia mati, roh mereka masih hidup. Adakah itu benar?

 ORANG MATI PERGI KE MANA?

5, 6. Apakah yang berlaku apabila seseorang mati?

5 Yehuwa tahu apa yang berlaku kepada kita apabila kita mati. Tuhan berkata, apabila seseorang mati, dia tidak bernyawa lagi. Dia tidak menjadi roh dan tinggal di tempat lain. * Dia tidak merasai atau mengingati apa-apa lagi. Orang mati tidak dapat melihat, mendengar, atau berfikir.

6 Raja Salomo menulis, “Orang mati tidak tahu apa-apa pun.” Mereka tidak ada rasa kasih atau benci, dan mereka ‘tidak ada pekerjaan, rancangan, pengetahuan, atau kebijaksanaan di Kuburan.’ (Baca Pengkhutbah 9:5, 6, 10.) Mazmur 146:4 juga menjelaskan bahawa apabila manusia mati, “fikiran mereka lenyap.”

APA YANG DIKATAKAN YESUS TENTANG KEMATIAN

Yehuwa menciptakan manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi

7. Bagaimanakah Yesus menggambarkan keadaan orang mati?

7 Semasa kawan baiknya Lazarus meninggal, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Kawan kita Lazarus sudah tidur.” Tetapi mereka menyangka Lazarus sedang berehat, jadi Yesus menjelaskan, “Lazarus sudah mati.” (Yohanes 11:11-14) Bagi Yesus, orang mati seperti sedang tidur. Dia tidak berkata bahawa Lazarus telah pergi ke syurga atau berada bersama ahli keluarga yang sudah meninggal. Yesus juga tidak berkata bahawa Lazarus sedang diseksa di neraka atau akan dilahirkan semula sebagai manusia atau binatang. Selepas mati, Lazarus seperti tidur nyenyak sahaja. Ayat Bible lain juga mengatakan bahawa orang mati seperti sedang tidur. Contohnya, selepas  Stefanus dibunuh, Bible menyatakan bahawa dia “tidur dalam kematian.” (Kisah 7:60) Rasul Paulus juga menulis bahawa ada orang Kristian yang telah “tidur dalam kematian.”​—1 Korintus 15:6.

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan tidak menciptakan manusia untuk hidup dan kemudiannya mati?

8 Adakah Tuhan menciptakan Adam dan Hawa untuk hidup dan kemudiannya mati? Tidak! Yehuwa menciptakan mereka untuk hidup selama-lamanya dengan tubuh yang sihat. Semasa Yehuwa menciptakan manusia, Dia memberi kita keinginan untuk hidup selama-lamanya. (Pengkhutbah 3:11) Ibu bapa tidak mahu melihat  anak mereka menjadi tua dan mati, begitu juga dengan Yehuwa. Jika begitu, mengapakah manusia mati?

MENGAPAKAH KITA MATI?

9. Mengapakah perintah Yehuwa kepada Adam dan Hawa tidak melampau?

9 Di Taman Eden, Yehuwa memberitahu Adam, “Engkau boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini sehingga puas, tetapi engkau dilarang makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, kerana jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.” (Kejadian 2:9, 16, 17) Arahan itu jelas dan mudah ditaati. Yehuwa berhak memberitahu Adam dan Hawa apa yang betul dan salah. Jika mereka mentaati Tuhan, itulah buktinya bahawa mereka menghormati-Nya dan menghargai semua kurniaan-Nya.

10, 11. (a) Bagaimanakah Syaitan menyebabkan Adam dan Hawa melanggar perintah Tuhan? (b) Mengapakah perbuatan Adam dan Hawa tidak boleh dimaafkan?

10 Sedihnya, Adam dan Hawa tidak mahu mentaati Yehuwa. Syaitan bertanya kepada Hawa, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada semua pokok di taman ini?” Hawa menjawab, “Kami boleh makan buah daripada semua pokok di taman ini, kecuali pokok yang ada di tengah-tengah taman. Tuhan telah berfirman, ‘Kamu dilarang memakan buahnya ataupun menyentuhnya. Jika tidak, kamu akan mati.’”​—Kejadian 3:1-3.

11 Kemudian Syaitan berkata, “Kamu pasti tidak akan mati. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu memakan buah itu, pada hari itu juga mata kamu akan terbuka. Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” (Kejadian 3:4-6) Syaitan mahu Hawa berfikir bahawa dia  sendiri boleh menentukan apa yang betul dan salah. Syaitan juga menipu Hawa dengan memberitahunya bahawa dia tidak akan mati jika dia melanggar perintah Tuhan. Jadi, Hawa memakan buah itu dan kemudian dia memberikan buah itu kepada Adam. Sebelum itu, Yehuwa sudah memberitahu Adam dan Hawa dengan jelas bahawa mereka dilarang makan buah itu, dan perintah-Nya bukannya terlalu susah. Mereka memang memahami perintah Tuhan, tetapi masih sengaja melanggarnya. Walaupun Tuhan begitu menyayangi mereka, mereka tidak menghormati-Nya. Perbuatan mereka memang tidak boleh dimaafkan!

12. Mengapakah perbuatan Adam dan Hawa begitu teruk?

12 Perbuatan nenek moyang kita sangat teruk! Jika anda bersusah payah membesarkan anak, tetapi mereka melawan cakap anda, memberontak, dan meninggalkan anda, apakah perasaan anda? Anda pasti hancur hati, bukan?

Adam dibentuk daripada tanah, dan dia kembali ke tanah

13. Semasa Yehuwa berkata bahawa Adam akan “kembali ke tanah,” apakah maksudnya?

13 Oleh sebab Adam dan Hawa tidak taat, mereka tidak boleh hidup selama-lamanya. Yehuwa memberitahu Adam, “Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” (Baca Kejadian 3:19.) Maksudnya Adam akan menjadi tanah semula, seolah-olah dia tidak  pernah diciptakan. (Kejadian 2:7) Selepas berdosa, Adam mati dan tidak wujud lagi.

14. Mengapakah kita akan mati?

14 Jika Adam dan Hawa mendengar cakap Tuhan, mereka akan terus hidup sampai hari ini. Tetapi kerana mereka melanggar perintah-Nya, mereka berdosa dan akhirnya mati. Dosa Adam dan Hawa seperti penyakit yang diwariskan kepada semua keturunan mereka. Maka, kita berdosa sejak lahir dan akan mati. (Roma 5:12) Tetapi itu bukan tujuan Tuhan bagi manusia. Tuhan tidak mahu manusia mati, dan Bible mengatakan bahawa kematian ialah “musuh.”​—1 Korintus 15:26.

KEBENARAN MEMBEBASKAN KITA

15. Kebenaran tentang kematian membebaskan kita daripada apa?

15 Kebenaran tentang kematian dapat membebaskan kita daripada banyak ajaran yang salah. Bible mengajar kita bahawa orang mati tidak rasa sakit atau sedih. Kita tidak dapat bercakap kepada mereka, dan mereka tidak dapat bercakap kepada kita. Kita tidak dapat membantu mereka, dan mereka tidak dapat membantu kita. Mereka tidak dapat mencederakan kita, jadi kita tidak perlu takut akan orang mati. Namun, banyak agama mengajar bahawa orang mati masih hidup di tempat lain, jadi kita perlu membayar wang kepada paderi atau bomoh untuk membantu orang mati. Tetapi selepas belajar kebenaran tentang kematian, kita tidak lagi ditipu oleh ajaran sebegini.

16. Apakah ajaran palsu kebanyakan agama tentang kematian?

16 Syaitan menggunakan agama palsu untuk menipu kita dan membuat kita berfikir bahawa orang mati masih hidup. Contohnya, sesetengah agama mengajar bahawa apabila kita mati, roh kita akan terus hidup di tempat lain. Adakah itu ajaran agama anda, atau adakah  ajaran agama anda sama dengan ajaran Bible? Syaitan mahu menipu anda supaya anda menjauhi Yehuwa.

17. Mengapakah ajaran tentang neraka menghina Yehuwa?

17 Banyak agama mengajarkan hal yang menghina Yehuwa. Contohnya ada agama berkata bahawa orang jahat akan diseksa selamanya di neraka. Hal itu tidak benar. Tuhan tidak mungkin menyeksa orang! (Baca 1 Yohanes 4:8.) Jika ada orang membakar tangan anaknya untuk menghukum anak itu, apakah pandangan anda terhadap orang itu? Anda pasti berasa dia sangat kejam dan tidak mahu menjadi kawannya. Itulah yang Syaitan mahu kita fikir tentang Yehuwa!

18. Mengapakah kita tidak patut takut akan orang mati?

18 Sesetengah agama mengajar bahawa orang mati akan menjadi roh. Jika kita takut dan hormat kepada mereka, mereka akan menolong kita. Jika tidak, mereka akan mencederakan kita. Hal itu tidak benar, tetapi banyak orang ditipu. Mereka menyembah orang mati, padahal kita hanya patut menyembah Yehuwa. Ingatlah, orang mati tidak dapat rasa apa-apa, jadi kita tidak perlu takut akan mereka. Yehuwa ialah Pencipta dan Tuhan yang benar, jadi kita hanya patut menyembah Dia.​—Wahyu 4:11.

19. Mengapakah kita perlu mempelajari kebenaran tentang kematian?

19 Selepas mempelajari kebenaran tentang kematian, kita tidak lagi ditipu oleh ajaran palsu. Kita juga dapat memahami janji Yehuwa tentang masa depan yang cerah.

20. Apakah yang akan kita pelajari dalam bab seterusnya?

20 Ribuan tahun dahulu, seorang hamba Tuhan bertanya, “Jika manusia mati, dapatkah mereka hidup semula?” (Ayub 14:14) Mungkinkah orang mati hidup semula? Jawapan Bible sangat menarik. Kita akan mengkajinya dalam bab seterusnya.

^ per. 5 Ada orang percaya bahawa orang mati ada roh yang terus hidup. Untuk maklumat lanjut, lihat Penjelasan 17 dan 18.