Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB EMPAT BELAS

Dia Belajar untuk Berbelas Kasihan

Dia Belajar untuk Berbelas Kasihan

1. Gambarkan perjalanan Yunus. Apakah perasaannya terhadap Niniwe?

YUNUS perlu berjalan lebih daripada 800 kilometer untuk sampai ke Niniwe. Perjalanan ini memakan masa kira-kira sebulan, maka dia mempunyai banyak masa untuk berfikir. Sebelum dia bertolak, dia harus memilih antara jalan yang lebih pendek tetapi bahaya dengan jalan yang lebih panjang tetapi selamat. Kemudian dia perlu merentasi banyak gunung dan lembah, menjelajahi Gurun Siria, menyeberangi Sungai Efrat yang besar, dan mencari penginapan di negeri Siria, Mesopotamia, dan Assyria. Seraya masa berlalu, Yunus mungkin berasa takut kerana kota Niniwe semakin dekat.

2. Mengapakah Yunus tahu bahawa dia tidak boleh melarikan diri?

2 Kali ini, Yunus tahu bahawa dia tidak boleh melarikan diri daripada tugasannya. Seperti yang telah kita pelajari dalam bab sebelum ini, Yunus pernah mencuba melarikan diri tetapi Yehuwa telah mengajarnya dengan sabar. Mula-mula, ribut yang ganas menimpa kapal yang dinaikinya. Kemudian dia diselamatkan oleh seekor ikan yang besar, lalu tiga hari kemudian, dia dimuntahkan ke darat tanpa cedera sedikit pun. Setelah mengalami semua hal itu, Yunus belajar untuk mematuhi Tuhan.​—Yunus bab 1 dan 2.

3. Apakah sifat yang ditunjukkan oleh Yehuwa terhadap Yunus? Apakah persoalan yang timbul?

3 Apabila Yehuwa menyuruh Yunus untuk pergi ke Niniwe buat kali kedua,  dia segera bertolak ke situ. (Baca Yunus 3:1-3.) Tetapi adakah Yunus benar-benar sudah berubah? Sebelum ini, Yehuwa telah menunjukkan belas kasihan kepadanya dengan menyelamatkan nyawanya, memberinya peluang kedua untuk melaksanakan tugasannya, dan tidak menghukumnya kerana memberontak. Tetapi setelah mengalami semua itu, adakah Yunus sudi menunjukkan belas kasihan kepada orang lain? Memang tidak mudah bagi manusia yang tidak sempurna untuk berbuat demikian. Maka marilah kita melihat apa yang berlaku kepada Yunus.

Berita Penghakiman dan Reaksi yang Tidak Dijangka

4, 5. Mengapakah Yehuwa memanggil Niniwe “kota yang besar”? Apakah yang dapat kita pelajari tentang Yehuwa daripada hal ini?

4 Yunus tidak mempunyai pandangan Yehuwa tentang kota Niniwe. Bagi Yehuwa, Niniwe amat penting kerana buku Yunus mencatatkan bahawa Yehuwa memanggil Niniwe sebagai “kota yang besar” sebanyak tiga kali. (Yun. 1:2; 3:2; 4:11) Mengapakah kota itu begitu penting bagi Yehuwa?

 5 Niniwe ialah salah sebuah kota kuno yang dibina oleh Nimrod selepas Banjir pada zaman Nuh. Kota itu amat besar dan seseorang memerlukan masa tiga hari untuk berjalan dari satu hujung kota itu ke hujung yang lain. (Kej. 10:11; Yun. 3:3) Tembok kota Niniwe amat tinggi, dan terdapat banyak kuil yang indah serta bangunan yang besar di dalam kota itu. Tetapi semua ini bukanlah sebab mengapa kota itu penting bagi Yehuwa. Bagi Yehuwa, penduduknyalah yang penting. Kota itu mempunyai banyak penduduk. Meskipun mereka berbuat jahat, Yehuwa masih prihatin terhadap mereka. Dia menghargai nyawa mereka dan ingin melihat mereka bertaubat dan melakukan apa yang benar.

Yunus mendapati bahawa Niniwe ialah kota besar yang sarat dengan kejahatan

6. (a) Apakah yang mungkin membuat Yunus berasa lebih takut? (Lihat juga nota kaki.) (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yunus menyampaikan mesejnya?

6 Akhirnya Yunus sampai di Niniwe. Apabila dia mendapat tahu bahawa kota itu mempunyai lebih daripada 120,000 orang penduduk, dia pasti berasa lebih takut. * Dia berjalan sehari suntuk untuk mencari tempat yang sesuai untuk menyampaikan mesejnya. Tetapi adakah penduduk kota itu akan memahami kata-katanya? Adakah dia pandai berbahasa Assyria? Atau adakah Yehuwa memberinya kebolehan untuk bertutur dalam bahasa itu? Kita tidak tahu. Barangkali Yunus menyampaikan mesejnya dalam bahasa Ibrani dan meminta seseorang untuk menterjemahkannya. Mesej yang disampaikan oleh Yunus ringkas tetapi tidak menyenangkan. Dia berkata, “Dalam masa 40 hari lagi, Niniwe akan dihancurkan!” (Yun. 3:4) Dia terus mengulangi mesejnya dengan berani. Ya, dia menunjukkan iman dan keberanian, iaitu sifat-sifat yang sangat diperlukan oleh orang Kristian dewasa ini.

Mesej yang disampaikan oleh Yunus ringkas tetapi tidak menyenangkan

7, 8. (a) Apakah reaksi orang Niniwe terhadap mesej Yunus? (b) Apakah yang dilakukan oleh raja Niniwe setelah dia mendapat tahu tentang mesej itu?

7 Yunus menyangka bahawa penduduk Niniwe akan marah dan bahkan membunuhnya. Tetapi sesuatu yang menakjubkan telah terjadi! Mereka mendengarkan mesej Yunus. Mesejnya tersebar ke seluruh kota itu dan menjadi buah mulut banyak orang. (Baca Yunus 3:5.) Semua orang, tidak kira miskin atau kaya, tua atau  muda, telah berpuasa untuk menunjukkan kekesalan mereka. Berita tentang hal ini bahkan telah sampai ke telinga raja.

Yunus memerlukan iman dan keberanian untuk menginjil di Niniwe

8 Setelah raja mendengar mesej yang disampaikan oleh Yunus, dia juga mula takut akan Tuhan. Dia bangun dari takhtanya, menanggalkan pakaian dirajanya, memakai kain guni, dan bahkan “duduk di atas abu.” Kemudian dia dan para pembesarnya memberikan perintah rasmi bahawa semua orang harus berpuasa. Semua orang dan binatang ternakan mereka juga harus memakai kain guni. * Dengan rendah hati, raja mengakui bahawa rakyatnya bersalah kerana melakukan kejahatan dan keganasan. Dia berkata, “Mungkin Tuhan yang benar akan mengubah fikiran-Nya dan tidak lagi murka, maka kita tidak akan dibinasakan.”​—Yun. 3:6-9.

9. Apakah pandangan sesetengah pengkritik tentang orang Niniwe? Mengapakah pandangan mereka salah?

9 Sesetengah pengkritik berasa bahawa tidak mungkin orang Niniwe bertaubat dengan begitu cepat. Tetapi menurut para cendekiawan Bible, tindakan sebegini selaras dengan kepercayaan masyarakat kuno yang mudah berubah hati. Selain itu, Yesus juga pernah berkata bahawa orang Niniwe telah bertaubat. (Baca Matius 12:41.) Yesus telah menyaksikan peristiwa ini dari syurga, maka kesahihannya tidak boleh dipertikaikan. (Yoh. 8:57, 58) Tambahan lagi, hanya Yehuwa yang dapat membaca hati orang. Jadi tidak kira betapa jahatnya seseorang, kita tidak patut berfikir bahawa mustahil baginya untuk bertaubat.

Perbezaan Belas Kasihan Tuhan dan Belas Kasihan Manusia

10, 11. (a) Apakah reaksi Yehuwa terhadap orang Niniwe yang bertaubat? (b) Jelaskan mengapa penghakiman Yehuwa terhadap Niniwe sebelum ini tidak salah.

10 Apakah reaksi Yehuwa terhadap orang Niniwe yang bertaubat? Bible menyatakan, “Tuhan yang benar melihat perbuatan mereka. Dia nampak bahawa mereka telah berpaling daripada haluan yang jahat. Maka Dia mempertimbangkan semula keputusan-Nya dan tidak mendatangkan bencana yang telah difirmankan-Nya sebelum ini.”​—Yun. 3:10.

 11 Adakah hal ini bererti bahawa penghakiman Yehuwa terhadap Niniwe sebelum ini salah? Tidak. Bible menjelaskan bahawa segala haluan Yehuwa sempurna dan saksama. (Baca Ulangan 32:4.) Apabila Yehuwa nampak orang Niniwe bertaubat, Dia tidak lagi murka dan tergerak untuk menunjukkan belas kasihan terhadap mereka.

12, 13. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia munasabah, sudi membuat penyesuaian, dan berbelas kasihan? (b) Adakah Yunus menyampaikan nubuat yang palsu? Jelaskan.

12 Yehuwa bukanlah Tuhan yang dingin, tidak berperasaan, atau kejam, seperti yang selalu digambarkan oleh para pemimpin agama. Sebaliknya, Dia munasabah, sudi membuat penyesuaian, dan berbelas kasihan. Apabila Dia ingin menghukum orang jahat, Dia akan mengutus wakil-Nya di bumi untuk memberikan amaran terlebih dahulu. Dia berbuat demikian kerana Dia ingin melihat orang jahat bertaubat dan meninggalkan haluan jahat mereka, seperti yang dilakukan oleh orang Niniwe. (Yeh. 33:11) Yehuwa pernah memberitahu Yeremia, “Apabila Aku berfirman bahawa Aku mahu mencabut, merobohkan, dan membinasakan sebuah bangsa atau sebuah kerajaan, tetapi kemudian bangsa itu berhenti berbuat jahat, maka Aku akan mengubah fikiran-Ku dan niat-Ku untuk mendatangkan malapetaka yang telah Aku firmankan itu.”​—Yer. 18:7, 8.

Tuhan ingin melihat orang jahat bertaubat seperti orang Niniwe

13 Adakah Yunus menyampaikan nubuat yang palsu? Tidak. Nubuat yang disampaikan oleh Yunus bertujuan untuk memberikan amaran kepada orang Niniwe yang berbuat jahat. Memandangkan mereka bertaubat, Tuhan menunjukkan belas kasihan terhadap mereka. Namun seandainya mereka kembali berbuat jahat, Tuhan akan menjatuhkan hukuman yang sama atas mereka. Itulah yang telah berlaku pada kemudian hari.​—Zef. 2:13-15.

14. Apakah reaksi Yunus apabila Yehuwa tidak membinasakan orang Niniwe?

14 Apakah reaksi Yunus apabila orang Niniwe tidak dibinasakan? Bible menyatakan, “Yunus sama sekali tidak senang hati dengan perkara itu, lalu dia menjadi sangat marah.” (Yun. 4:1) Yunus bahkan memarahi Tuhan dalam doanya! Dia menyatakan bahawa dia patut tinggal di negerinya. Dia mendakwa bahawa awal-awal lagi, dia sudah tahu bahawa Yehuwa tidak akan menghukum Niniwe, dan bahkan berkata bahawa itulah sebabnya dia melarikan diri ke Tarsis. Kemudian dia berkata bahawa lebih baik dia mati daripada hidup lalu meminta agar Tuhan mengambil nyawanya.​—Baca Yunus 4:2, 3.

15. (a) Apakah yang merunsingkan Yunus? (b) Bagaimanakah Yehuwa melayan Yunus?

 15 Apakah yang merunsingkan Yunus? Kita tidak tahu. Memandangkan orang Niniwe telah mendengar mesejnya, dan Tuhan tidak menghukum mereka seperti yang dikatakannya, Yunus mungkin takut orang mengejeknya dan memanggilnya nabi palsu. Nampaknya dia tidak gembira kerana belas kasihan Yehuwa membuatnya hilang air muka. Biarpun begitu, Tuhan masih nampak kebaikan dalam diri Yunus. Maka Dia tidak menghukum Yunus kerana sikap buruknya itu. Sebaliknya Dia menanya Yunus dengan lembut, “Patutkah engkau menjadi begitu marah?” (Yun. 4:4) Adakah Yunus menjawab pertanyaan Tuhan? Bible tidak menyatakannya.

16. (a) Berikan beberapa contoh untuk menunjukkan bahawa pandangan manusia berbeza dengan pandangan Tuhan. (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Yunus?

16 Kita mungkin mengkritik Yunus kerana tindakannya, tetapi kita patut ingat bahawa pandangan manusia yang tidak sempurna jauh berbeza daripada pandangan Tuhan. Contohnya, ada orang mungkin berfikir bahawa Yehuwa sepatutnya menghalang sesuatu tragedi daripada terjadi, atau menghukum orang jahat dengan serta-merta, atau menghapuskan sistem dunia yang jahat ini sekarang juga. Namun kisah Yunus mengingatkan kita bahawa apabila kita tidak bersetuju dengan Yehuwa, kitalah yang seharusnya mengubah pandangan kita, dan bukannya Yehuwa.

Yehuwa Mengajar Yunus

17, 18. (a) Apakah yang dilakukan oleh Yunus setelah dia meninggalkan kota Niniwe? (b) Apakah reaksi Yunus terhadap sepohon labu air yang bertumbuh secara mukjizat?

17 Yunus meninggalkan kota Niniwe dengan kecewa. Tetapi dia tidak pulang. Sebaliknya dia pergi ke kawasan pergunungan berdekatan dengan kota itu. Dia membina sebuah pondok dan duduk di situ sambil melihat ke arah kota itu. Barangkali dia masih berharap agar kota itu akan dimusnahkan. Bagaimanakah Yehuwa akan mengajar lelaki yang degil ini untuk menunjukkan sifat belas kasihan?

18 Pada malam itu, Yehuwa menumbuhkan sepohon labu air secara mukjizat. Apabila Yunus bangun keesokan paginya, dia “sangat senang hati” kerana dia mendapat tempat berteduh yang lebih baik daripada pondoknya. Dia mungkin berfikir bahawa tanaman itu ialah berkat Tuhan dan tanda perkenan-Nya. Tetapi Yehuwa bukan sekadar ingin melindungi Yunus daripada sinaran matahari yang terik dan menenangkan perasaan marahnya, Dia  bahkan juga ingin mengajar Yunus untuk berbelas kasihan. Oleh itu, Dia melakukan satu lagi mukjizat. Dia menyebabkan seekor ulat menyerang tanaman itu sehingga tanaman itu layu. Kemudian Dia mendatangkan “angin timur yang panas” sehingga Yunus hampir pengsan. Yunus sekali lagi berasa kecewa dan meminta Tuhan agar mengambil nyawanya.​—Yun. 4:6-8.

19, 20. Bagaimanakah Yehuwa membantu Yunus untuk mempunyai pandangan yang betul?

19 Sekali lagi Yehuwa menanya Yunus sama ada dia patut menjadi begitu marah atau tidak. Yunus masih tidak menyesali perbuatannya, sebaliknya dia membela diri dengan berkata, “Memang aku patut marah. Aku sangat marah sehingga aku mahu mati!” Bagaimanakah Yehuwa akan membantunya?​—Yun. 4:9.

Tuhan menggunakan tanaman labu air untuk mengajar Yunus tentang belas kasihan

20 Dia membantu Yunus untuk mempunyai pandangan yang betul dengan berkata, “Labu air itu tumbuh dalam satu malam dan mati dalam satu malam. Engkau langsung tidak menumbuhkannya atau memeliharanya, tetapi engkau masih berasa kasihan terhadap tanaman itu. Maka, tidak patutkah Aku berasa kasihan terhadap Niniwe, kota besar itu? Ada banyak binatang di kota itu dan ada lebih  daripada 120,000 orang di kota itu yang tidak tahu membezakan apa yang benar daripada apa yang salah.”​—Yun. 4:10, 11.

21. (a) Apakah pengajaran penting yang ingin disampaikan oleh Yehuwa kepada Yunus? (b) Bagaimanakah kisah Yunus membantu kita untuk memeriksa hati kita masing-masing?

21 Dapatkah anda memahami pengajaran penting yang ingin disampaikan oleh Yehuwa? Yunus tidak pernah melakukan apa-apa pun untuk menjaga tanaman itu. Sebaliknya Yehuwa ialah Sumber kehidupan semua orang Niniwe dan Dia telah menjaga mereka, sebagaimana Dia telah menjaga semua makhluk hidup di bumi. Jadi mengapakah Yunus boleh berfikir bahawa tanaman itu lebih penting daripada nyawa 120,000 orang penduduk Niniwe dan binatang ternakan mereka? Adakah Yunus telah membiarkan sikap mementingkan diri bercambah dalam hatinya? Sebenarnya Yunus berasa kasihan terhadap tanaman itu semata-mata kerana tanaman itu memberinya teduh. Yunus juga marah kepada orang Niniwe kerana dia ingin menjaga air muka sendiri. Kisah Yunus membantu kita untuk memeriksa hati kita masing-masing. Siapakah antara kita yang tidak pernah bersikap mementingkan diri? Biarpun begitu, Yehuwa masih mengajar kita dengan sabar. Dia ingin kita meniru-Nya dengan menjaga kepentingan orang lain dan lebih berbelas kasihan.

22. (a) Adakah Yunus menerima ajaran Yehuwa tentang sikap belas kasihan? Jelaskan. (b) Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada kisah Yunus?

22 Adakah Yunus menerima ajaran Yehuwa? Buku Yunus berakhir dengan pertanyaan yang diajukan oleh Yehuwa kepadanya tanpa sebarang jawapan. Ada orang yang mengkritik Yunus kerana dia tidak mencatatkan jawapannya dalam buku Yunus. Tetapi sebenarnya jawapannya sudah ada. Jawapannya ialah buku itu sendiri. Setelah Yunus kembali ke tanah airnya, dia telah menulis buku itu. Bayangkanlah Yunus yang lebih tua, lebih bijak, dan yang lebih rendah hati, menggeleng-gelengkan kepalanya seraya dia menulis tentang kesilapannya, pemberontakannya, dan keengganannya untuk menunjukkan belas kasihan. Ya, Yunus telah belajar untuk menunjukkan belas kasihan. Adakah kita juga akan menunjukkan sikap ini?​—Baca Matius 5:7.

^ per. 6 Pada zaman Yunus, kota Samaria, iaitu ibu kota kerajaan Israel di utara, dianggarkan mempunyai kira-kira 20,000 hingga 30,000 orang penduduk. Angka ini kurang daripada satu perempat penduduk di Niniwe. Pada zaman kegemilangannya, Niniwe mungkin merupakan kota yang terbesar di dunia.

^ per. 8 Perintah ini nampaknya aneh. Tetapi hal ini pernah berlaku pada zaman kuno. Herodotus, seorang sejarawan Yunani, berkata bahawa semasa orang Persia kuno berkabung untuk jeneral mereka, binatang-binatang ternakan mereka juga perlu dilibatkan dalam adat perkabungan.