Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB EMPAT

“Ke Mana Saja Mak Pergi, ke Sanalah Saya Hendak Pergi Juga”

“Ke Mana Saja Mak Pergi, ke Sanalah Saya Hendak Pergi Juga”

1, 2. (a) Gambarkan keadaan Rut dan Naomi. Mengapakah mereka bersedih? (b) Semasa dalam perjalanan ke Betlehem, apakah yang bermain dalam fikiran mereka?

RUT dan Naomi sedang membuat perjalanan merentasi padang gurun Moab yang luas. Hari kian senja, dan kerisauan terpapar pada wajah Rut. Dia mungkin tertanya-tanya di mana dia dan ibu mentuanya dapat bermalam di padang gurun yang sunyi itu. Rut amat mengasihi Naomi dan sanggup melakukan apa sahaja deminya.

2 Naomi dirundung kesedihan. Hidupnya bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Bertahun-tahun dahulu, dia kehilangan suaminya yang tercinta, dan baru-baru ini, Kilyon dan Mahlon, anak-anak lelakinya, turut meninggal. Rut juga sedang berkabung kerana Mahlon ialah suaminya. Kedua-dua wanita yang berhiba hati ini sedang dalam perjalanan ke Betlehem, tetapi apa yang bermain dalam fikiran mereka amat berbeza. Bagi Naomi, perjalanan ini akan membawanya pulang ke kampung halamannya. Bagi Rut pula, perjalanan ini akan membawanya ke suatu tempat asing yang jauh daripada bangsanya, budayanya, dan tuhan-tuhannya.​—Baca Rut 1:3-6.

3. Apakah soalan-soalan yang akan membantu kita meniru iman Rut?

3 Mengapakah Rut sanggup membuat perubahan yang drastik ini? Bagaimanakah dia akan menyesuaikan diri dengan kehidupan yang baharu di Israel dan menjaga Naomi? Seraya kita mencari jawapannya, kita akan mempelajari cara untuk meniru iman Rut. (Lihat kotak “ Mahakarya yang Kecil.”) Tetapi sebelum itu, marilah kita ketahui mengapa kedua-dua wanita ini membuat keputusan untuk pergi ke Betlehem.

Keluarga yang Ditimpa Tragedi

4, 5. (a) Mengapakah keluarga Naomi berpindah ke Moab? (b) Apakah cabaran yang dihadapi oleh Naomi di Moab?

4 Rut membesar di Moab, sebuah negeri kecil yang terletak  di timur Laut Mati. Negeri itu terdiri daripada banyak dataran tinggi dan lembah yang dalam. Negeri itu juga mempunyai tanah yang subur. Semasa Israel dilanda kebuluran, keluarga Mahlon berpindah ke Moab kerana negeri itu masih melimpah dengan makanan. Nampaknya pada masa itulah Rut berjumpa dengan Mahlon.​—Rut 1:1.

5 Selaku ketua keluarga, Elimelekh telah membuat keputusan untuk membawa isterinya, iaitu Naomi, dan dua orang anak lelaki mereka ke Moab dan tinggal di situ sebagai orang asing. Tetapi orang Israel perlu beribadat di tempat suci yang telah dipilih oleh Yehuwa, maka tidak mudah bagi mereka untuk memelihara iman mereka. (Ul. 16:16, 17) Namun Naomi berusaha menjaga imannya. Meskipun begitu, dia masih bersedih apabila suaminya meninggal.​—Rut 1:2, 3.

6, 7. (a) Mengapakah Naomi mungkin susah hati apabila anak-anaknya mengahwini wanita Moab? (b) Mengapakah cara Naomi melayan menantunya patut dipuji?

6 Selain itu, Naomi mungkin susah hati apabila kedua-dua orang anak lelakinya mengahwini wanita Moab. (Rut 1:4) Dia tahu bahawa nenek moyangnya, Abraham, telah bersusah payah mencari seorang isteri yang berbangsa Israel dan yang menyembah Yehuwa untuk anaknya Ishak. (Kej. 24:3, 4) Hukum Musa juga memberikan amaran kepada orang Israel agar tidak mengahwinkan anak mereka dengan orang asing, kerana hal ini mungkin akan menyebabkan orang Israel menyembah tuhan-tuhan palsu.​—Ul. 7:3, 4.

7 Biarpun begitu, Mahlon dan Kilyon telah mengahwini wanita berbangsa Moab. Naomi pasti berasa risau dan kecewa, tetapi dia masih berusaha untuk mengasihi menantunya, Rut dan Orpa, dan melayan mereka dengan baik. Barangkali dia berharap agar suatu hari nanti, mereka akan menyembah Yehuwa. Memandangkan mereka mempunyai hubungan yang baik, mereka dapat menyokong satu sama lain sewaktu Mahlon dan Kilyon meninggal. Pada waktu itu, Rut dan Orpa masih tidak mempunyai anak.​—Rut 1:5.

8. Mengapakah Rut mungkin berminat untuk belajar tentang Yehuwa?

8 Adakah agama Rut dapat membantunya menghadapi tragedi ini? Nampaknya tidak. Orang Moab menyembah banyak dewa, dan Kamos ialah dewa utama mereka. (Bil. 21:29) Seperti bangsa-bangsa di sekeliling mereka, upacara agama orang Moab tidak berperikemanusiaan dan berbaur keganasan. Contohnya, mereka mempersembahkan anak-anak sendiri sebagai korban. Tetapi Yehuwa jauh berbeza daripada dewa dewi Moab yang kejam. Dia berbelas kasihan dan melayan para penyembah-Nya dengan penuh  kasih. (Baca Ulangan 6:5.) Setelah Rut kehilangan suaminya, dia mungkin menjadi lebih rapat dengan Naomi dan lebih sudi mendengar Naomi bercakap tentang Yehuwa, kasih-Nya, dan perbuatan-Nya yang menakjubkan.

Rut mendapat kelegaan hati daripada Naomi

9-11. (a) Apakah keputusan Naomi, Rut, dan Orpa? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Naomi, Rut, dan Orpa?

9 Pada suatu hari, Naomi mendapat berita bahawa bala kebuluran di Israel sudah berakhir dan Yehuwa sedang memberkati umat-Nya, maka dia membuat keputusan untuk pulang ke Betlehem. Betlehem bermaksud “Rumah Makanan,” dan kini kampung halamannya betul-betul melimpah dengan makanan.​—Rut 1:6.

10 Bagaimana pula dengan Rut dan Orpa? (Rut 1:7) Rut tertarik dengan kebaikan hati Naomi dan imannya kepada Yehuwa. Dia dan Orpa menjadi semakin rapat dengan Naomi selepas kematian suami mereka. Oleh itu, mereka membuat keputusan untuk pergi ke Yehuda bersama Naomi.

11 Kisah Rut mengingatkan kita bahawa malang tidak berbau, dan malapetaka dapat menimpa semua orang, tidak kira mereka baik atau jahat. (Pkh. 9:2, 11) Kisah ini juga mengajar kita bahawa semasa kita kehilangan orang tersayang, kita tidak patut menyisihkan diri. Kita seharusnya mencari rakan seiman yang dapat menyokong dan melegakan hati kita.​—Ams. 17:17.

Kasih Setia Rut

12, 13. Mengapakah Naomi ingin Rut dan Orpa pulang ke rumah mereka? Apakah reaksi mereka?

12 Dalam perjalanan, Naomi mula berasa risau tentang masa depan Rut dan Orpa. Dia tahu bahawa mereka mengasihinya dan anak-anak lelakinya. Tetapi jika mereka meninggalkan Moab dan pergi ke Betlehem bersamanya, apakah yang dapat dilakukannya untuk mereka?

13 Akhirnya Naomi berkata, “Pulanglah ke rumah ibu kamu masing-masing. Semoga Yehuwa menunjukkan kasih setia kepada kamu, sebagaimana kamu telah menunjukkan kasih setia kepadaku  dan kepada suami kamu yang telah meninggal.” Dia juga berkata, “Semoga Yehuwa memberkati kamu dengan seorang suami supaya kamu akan mendapat ketenangan di rumahnya.” Kemudian “Naomi mencium mereka dan mereka pun menangis dengan kuat.” Rut dan Orpa tidak mahu meninggalkan Naomi kerana dia baik hati dan tidak mementingkan diri. Mereka berkata kepada Naomi berkali-kali, “Tidak! Kami akan ikut mak balik kepada bangsa mak.”​—Rut 1:8-10.

14, 15. (a) Apakah keputusan Orpa? Hal ini menyingkapkan apa? (b) Bagaimanakah Naomi mencuba memujuk Rut untuk meninggalkannya?

14 Tetapi Naomi tetap dengan pendiriannya. Dia amat susah hati kerana jika mereka mengikutnya, mereka akan menderita. Oleh itu, dia memujuk mereka untuk pulang ke tanah air mereka. Dia mengingatkan mereka bahawa dia sudah terlalu tua untuk berkahwin lagi, dan tidak dapat melahirkan anak lelaki untuk menjadi suami mereka. Akhirnya Orpa mengalah, maka dengan sedih, dia mencium Naomi lalu pulang kepada keluarga dan rumahnya di Moab.​—Rut 1:11-14.

15 Bagaimana pula dengan Rut? Dia tetap enggan meninggalkan Naomi. Apabila Naomi mendapati bahawa Rut masih mengekorinya, dia berkata, “Lihatlah, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pulanglah bersamanya juga.” (Rut 1:15) Kata-kata Naomi menyingkapkan bahawa Orpa bukan sahaja pulang kepada bangsanya, dia bahkan juga pulang kepada “dewa-dewanya.” Ya, Orpa kembali menyembah Kamos dan dewa dewi yang lain. Apakah reaksi Rut?

16-18. (a) Bagaimanakah Rut menunjukkan kasih setia? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada Rut tentang kasih setia? (Lihat juga gambar Rut dan Naomi.)

 16 Hati Rut melimpah dengan kasih kepada Naomi dan kepada Tuhan yang disembah Naomi. Maka dengan penuh nekad, dia berkata kepada Naomi, “Janganlah suruh saya meninggalkan mak. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, ke sanalah saya hendak pergi juga. Di mana saja mak tinggal, di situlah saya hendak tinggal juga. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang mak sembah, akan saya sembah juga. Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah Yehuwa menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.”​—Rut 1:16, 17.

“Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang mak sembah, akan saya sembah juga”

17 Tidakkah hati anda tersentuh dengan kata-kata yang diucapkan oleh Rut kepada Naomi? Meskipun 3,000 tahun sudah berlalu, kata-katanya ini masih menyentuh hati ramai orang! Ya, Rut menunjukkan kasih setia kepada Naomi. Dia berpaut pada Naomi dan sudi mengikut Naomi ke mana sahaja Naomi pergi. Dia bahkan berkata bahawa hanya kematian dapat memisahkan mereka. Dia sanggup meninggalkan segala-galanya di Moab, termasuk tuhan-tuhan palsunya, dan menjadikan bangsa Naomi bangsanya. Tidak seperti Orpa, Rut ingin Yehuwa menjadi Tuhannya. *

18 Mereka berdua meneruskan perjalanan ke Betlehem. Perjalanan mereka mungkin telah mengambil masa selama satu minggu. Sepanjang masa itu, mereka pasti dapat menggalakkan dan melegakan hati satu sama lain.

19. Bagaimanakah kita dapat meniru kasih setia Rut dalam hubungan sesama ahli keluarga, sahabat handai, dan saudara saudari Kristian?

19 Kehidupan kita dalam dunia yang diselubungi kegelapan ini memang penuh dengan keperitan. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible menyatakan bahawa kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Tim. 3:1) Oleh itu, kita perlu memupuk sifat kasih setia. “Kasih setia” merujuk kepada sifat rela berpaut pada seseorang atau sesuatu sehingga matlamatnya tercapai. Jika kita meniru kasih setia Rut, kita akan terus mengasihi seseorang dan tidak akan meninggalkannya atau berputus asa. Kita perlu menunjukkan kasih setia kepada pasangan hidup, ahli keluarga, sahabat  handai, dan saudara saudari Kristian.​—Baca 1 Yohanes 4:7, 8, 20.

Rut dan Naomi di Betlehem

20-22. (a) Bagaimanakah kehidupan Naomi di Moab mempengaruhinya? (b) Apakah pandangan Naomi tentang pengalaman pahitnya? (Lihat juga Yakobus 1:13.)

20 Kasih setia bukanlah sekadar ucapan di bibir. Kasih setia perlu dibuktikan dengan tindakan, dan Rut telah membuktikan kasih setianya kepada Naomi dan kepada Yehuwa.

21 Akhirnya mereka berdua tiba di Betlehem, iaitu sebuah kampung yang terletak kira-kira 10 kilometer di selatan Yerusalem. Naomi mungkin berasal daripada keluarga yang berkedudukan, maka apabila dia tiba di Betlehem, semua penduduk di situ menjadi heboh dan para wanita bertanya, “Betulkah dia itu Naomi?” Nampaknya mereka hampir tidak dapat mengecam wajahnya kerana riak wajahnya memancarkan penderitaan yang ditanggungnya selama bertahun-tahun.​—Rut 1:19.

22 Naomi menceritakan pengalaman pahitnya kepada saudara-mara dan jiran tetangganya. Dia bahkan berkata bahawa namanya harus diubah daripada Naomi, yang bererti “Kesenangan,” kepada Mara, yang bererti “Pahit.” Seperti Ayub, dia menyangka bahawa Yehuwa sedang menentangnya dan mendatangkan penderitaan kepadanya.​—Rut 1:20, 21; Ayb. 2:10; 13:24-26.

23. Apakah yang mula difikirkan oleh Rut? Bagaimanakah Hukum Tuhan menjaga kebajikan orang miskin? (Lihat juga nota kaki.)

23 Setelah mereka menetap di Betlehem, Rut mula mencari jalan untuk menampung keperluan dirinya dan Naomi. Dia mendapat tahu bahawa pada musim menuai, Hukum Tuhan mengizinkan orang miskin untuk memungut sisa tuaian dan mengumpulkan hasil tuaian yang tumbuh di pinggir ladang. *​—Im. 19:9, 10; Ul. 24:19-21.

24, 25. Apakah yang dilakukan oleh Rut apabila dia tiba di ladang Boaz? Gambarkan kerja memungut sisa tuaian.

 24 Waktu itu ialah musim menuai barli, yang jatuh sekitar bulan April. Rut pergi ke ladang barli untuk mengumpulkan sisa tuaian. Secara kebetulan, dia tiba di ladang milik Boaz. Boaz sangat kaya, dan dia ialah saudara kepada Elimelekh, mendiang suami Naomi. Meskipun Hukum Tuhan mengizinkan Rut untuk memungut sisa hasil tuaian, dia masih meminta izin daripada ketua pekerja di situ. Selepas itu, barulah dia mula mengumpulkan sisa tuaian.​—Rut 1:22–2:3, 7.

25 Bayangkanlah apa yang berlaku. Selepas para penuai memotong tangkai-tangkai barli dengan sabit, Rut mengikut mereka sambil terbongkok-bongkok memungut barli yang tercicir. Dia terus bekerja tanpa menghiraukan matahari yang semakin terik. Sesekali dia mengesat keringat yang membasahi wajahnya, dan dia hanya berhenti seketika pada waktu tengah hari untuk makan.

Rut sudi bekerja keras untuk menampung keperluan dirinya dan Naomi

26, 27. Apakah keperibadian Boaz? Bagaimanakah dia melayan Rut?

26 Rut mungkin tidak pernah berharap bahawa orang akan memerhatikannya. Tetapi kelakuan baiknya diperhatikan oleh Boaz, dan Boaz bertanya kepada ketua pekerjanya tentang Rut. Boaz ialah seorang lelaki yang beriman kepada Tuhan. Dia menyapa semua pekerjanya, termasuk pekerja sambilan dan orang asing, dengan berkata, “Semoga Yehuwa menyertai kamu semua.” Seperti seorang bapa yang pengasih, Boaz prihatin terhadap Rut.​—Rut 2:4-7.

27 Boaz memanggil Rut “anakku” dan menyuruhnya untuk terus memungut sisa barli di ladangnya. Dia juga menasihati Rut supaya bekerja bersama pekerja wanitanya agar pekerja lelaki tidak  mengganggunya. Selain itu, dia memastikan agar Rut mendapat makanan pada waktu makan tengah hari. (Baca Rut 2:8, 9, 14.) Yang terpenting, dia telah memuji dan menggalakkan Rut. Bagaimana?

28, 29. (a) Apakah reputasi Rut? (b) Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Rut dan bernaung di bawah sayap Yehuwa?

28 Rut hairan kerana Boaz melayannya dengan baik, maka dia berkata kepada Boaz, “Mengapakah tuan berbelas kasihan dan mengambil berat terhadap saya? Saya hanyalah orang asing.” Boaz menjawab, “Aku telah mendengar segala sesuatu yang kamu lakukan untuk ibu mentuamu.” Naomi mungkin telah memuji Rut di depan orang, dan pujian itu telah sampai ke telinga Boaz. Boaz juga mendapat tahu bahawa Rut telah menjadi penyembah Yehuwa, maka dia berkata, “Semoga Yehuwa memberkatimu sesuai dengan segala perbuatanmu. Semoga Yehuwa, Tuhan orang Israel, memberikan ganjaran yang sepenuhnya kepadamu kerana kamu telah bernaung di bawah sayap-Nya.”​—Rut 2:12.

29 Pastinya kata-kata itu menggugah semangat Rut! Dia telah memilih untuk bernaung di bawah sayap Yehuwa, seperti seekor burung kecil yang bernaung di bawah sayap induknya. Dia berterima kasih kepada Boaz kerana Boaz telah melegakan hatinya. Kemudian dia terus bekerja sehingga petang hari.​—Rut 2:13, 17.

30, 31. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kasih setia Rut, sikapnya terhadap kerja, dan cara dia menunjukkan penghargaan?

30 Kita patut meniru iman Rut semasa berhadapan dengan masalah ekonomi. Dia tidak mengharapkan bantuan orang lain, tetapi apabila orang membantunya, dia menunjukkan penghargaan. Demi menjaga Naomi, dia sudi bekerja keras sehari suntuk, dan tidak berasa malu untuk melakukan kerja fizikal. Dia juga menyambut baik nasihat orang lain. Contohnya, dia mendengar nasihat Boaz dan bekerja bersama pekerja wanitanya. Yang terpenting, dia tidak pernah lupa bahawa hanya Tuhan Yehuwa yang dapat memberikan perlindungan sejati.

31 Jika kita meniru teladan Rut dan menunjukkan kasih setia, kerendahan hati, kerajinan, dan kesyukuran, kita juga dapat menetapkan teladan baik untuk orang lain. Tetapi bagaimanakah Yehuwa menjaga Rut dan Naomi? Marilah kita belajar tentang hal ini dalam bab seterusnya.

^ per. 17 Tidak seperti orang daripada bangsa-bangsa lain, Rut bukan sekadar menggunakan gelaran “Tuhan” semasa merujuk kepada Yehuwa. Sebaliknya dia menggunakan nama peribadi-Nya. Sebuah buku menyatakan, “Penulis [buku Rut] menekankan bahawa wanita berbangsa asing ini ialah penyembah Tuhan yang benar.”​—The Interpreter’s Bible.

^ per. 23 Rut kagum dengan hukum ini kerana pada zaman itu, balu-balu di sekitar negeri Israel dilayan dengan buruk. Sebuah buku rujukan menyatakan, “Selepas seorang wanita kehilangan suaminya, dia harus bergantung pada anak-anak lelakinya. Jika dia tidak mempunyai anak, dia mungkin perlu menjadi hamba atau pelacur.”