Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB ENAM BELAS

Dia Bertindak dengan Bijak dan Berani

Dia Bertindak dengan Bijak dan Berani

1-3. (a) Gambarkan perasaan Ester seraya dia menghampiri takhta suaminya. (b) Apakah reaksi raja terhadap kedatangan Ester?

ESTER berasa cemas dan hatinya berdegup dengan kencang seraya dia menghampiri takhta raja. Ketibaannya menyebabkan semua orang di situ diam. Keadaannya begitu senyap sehingga Ester dapat mendengar bunyi derap kakinya sendiri dan gemeresik pakaian dirajanya. Meskipun istana itu dihiasi dengan indah, matanya tertumpu kepada lelaki yang sedang duduk di atas takhta itu, kerana hidup matinya ada dalam tangan lelaki itu.

2 Raja menghulurkan tongkat emasnya kepada Ester. Tindakan yang ringkas ini menunjukkan bahawa raja mengampuni Ester yang telah menghadapnya tanpa dijemput. Seraya Ester mendekati takhta, dia menghulurkan tangannya untuk menyentuh hujung tongkat itu.​—Est. 5:1, 2.

Dengan rendah hati, Ester menunjukkan rasa syukurnya atas belas kasihan raja

3 Segala-gala tentang Raja Ahasweros menunjukkan kekayaan dan kekuasaannya. Pakaian diraja Persia pada zaman itu dianggarkan bernilai berjuta-juta dolar. Namun daripada cara suaminya memandangnya, Ester tahu bahawa suaminya mengasihinya. Raja berkata kepadanya, “Ada apa, permaisuriku? Apakah hajat adinda? Katakanlah. Beta akan memberikan apa sahaja kepada adinda meskipun setengah daripada kerajaan beta!”​—Est. 5:3.

4. Apakah yang perlu dilakukan oleh Ester?

4 Ester telah menunjukkan iman dan keberanian kerana dia sudi mengorbankan nyawanya demi bangsanya. Tetapi dia bakal menghadapi cabaran yang lebih besar. Dia perlu meyakinkan raja bahawa penasihatnya telah menipunya dan memperalatkannya untuk melenyapkan bangsa Ester. Bagaimanakah Ester akan berbuat demikian? Apakah yang dapat kita pelajari daripadanya?

 Dia Memilih “Waktu untuk Bercakap”

5, 6. (a) Bagaimanakah Ester menerapkan prinsip di Pengkhutbah 3:1, 7? (b) Bagaimanakah Ester bertindak dengan bijak?

5 Ester tidak mendedahkan muslihat Haman di hadapan semua orang. Jika dia berbuat demikian, raja mungkin akan dimalukan, dan Haman akan berpeluang untuk membela diri. Maka apakah yang patut dilakukan oleh Ester? Berabad-abad sebelum ini, Salomo menulis kata-kata berikut: ‘Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu. Ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap.’ (Pkh. 3:1, 7) Mordekhai mungkin telah mengajar Ester tentang prinsip ini sewaktu dia membesar. Maka Ester sedar akan pentingnya memilih waktu yang sesuai untuk bercakap.

6 Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan, hamba ingin menjemput tuanku dan Haman ke jamuan yang akan hamba adakan hari ini.” (Est. 5:4) Raja bersetuju lalu memanggil Haman untuk menghadapnya. Ya, Ester telah bertindak dengan bijak. Dia menjaga maruah suaminya dan mewujudkan peluang yang sesuai untuk memberitahu suaminya tentang kerisauannya.​—Baca Amsal 10:19.

7, 8. (a) Apakah yang berlaku semasa jamuan Ester yang pertama? (b) Adakah Ester sedang berlengah-lengah? Jelaskan.

 7 Pastinya Ester merancang jamuan itu dengan teliti agar semuanya menyenangkan hati suaminya. Dia juga menghidangkan wain yang bermutu tinggi untuk menggembirakan hati suaminya. (Mzm. 104:15) Raja amat suka dengan jamuan Ester, dan dia sekali lagi menanya Ester tentang permintaannya. Adakah sekarang waktu yang sesuai bagi Ester untuk bercakap?

8 Ester berasa bahawa itu bukan masa yang sesuai. Maka dia menjemput raja dan Haman ke satu lagi jamuan pada keesokan harinya. (Est. 5:7, 8) Adakah dia berlengah-lengah? Tidak. Ingatlah bahawa nyawa seluruh bangsa Ester terancam. Maka dia perlu memastikan bahawa waktu yang dipilihnya betul-betul sesuai. Dengan berbuat demikian, dia juga dapat menunjukkan bahawa dia amat menghormati suaminya.

9. Mengapakah kesabaran penting? Bagaimanakah kita dapat meniru kesabaran Ester?

9 Kesabaran ialah sifat yang amat bernilai dan sukar ditemui.  Meskipun Ester runsing dan ingin meluahkan kerisauannya, dia menunggu waktu yang sesuai dengan sabar. Kita patut meniru teladannya, terutamanya apabila kita melihat suatu perkara yang harus dibetulkan. Jika kita ingin pihak berkuasa untuk menyelesaikan suatu masalah, kita perlu bersabar seperti Ester. Amsal 25:15 menyatakan, “Kesabaran dapat melembutkan hati orang yang berkuasa, dan kata-kata yang lembut dapat menawan segala tentangan.” Jika kita menunggu waktu yang sesuai dengan sabar dan bercakap dengan lemah lembut seperti Ester, kita akan dapat mengatasi segala tentangan. Adakah Yehuwa memberkati kesabaran dan kebijaksanaan Ester?

Kesabaran Membawa Berkat

10, 11. Mengapakah Haman naik berang setelah dia pulang dari jamuan Ester? Apakah nasihat yang diberikan oleh isteri dan sahabat-sahabatnya?

10 Oleh sebab Ester bersabar, beberapa peristiwa yang luar biasa telah berlaku. Haman pulang dari jamuan Ester “dengan hati  yang riang dan gembira.” (Est. 5:9) Tetapi ketika Haman lalu di pintu gerbang istana, dia ternampak Mordekhai, dan Mordekhai masih enggan bersujud kepadanya. Oleh itu, Haman naik berang. Tetapi seperti yang dibincangkan dalam bab sebelum ini, Mordekhai bukannya tidak menghormati Haman. Dia enggan berbuat demikian kerana ingin menjaga hati nuraninya dan persahabatannya dengan Yehuwa.

11 Apabila Haman memberitahu isterinya dan sahabat-sahabatnya tentang perbuatan Mordekhai, mereka menasihatinya agar mendirikan tiang yang tingginya kira-kira 22 meter, lalu meminta kebenaran raja untuk menggantung Mordekhai pada tiang itu. Haman suka dengan cadangan mereka, maka dia pun segera berbuat demikian.​—Est. 5:12-14.

12. Mengapakah raja menyuruh orang untuk membaca buku catatan rasmi kepadanya? Apakah yang diketahuinya daripada pembacaan itu?

12 Selepas raja pulang dari jamuan Ester, dia “tidak dapat tidur.” Maka dia menyuruh orang untuk membaca buku catatan rasmi kepadanya. Buku itu mencatatkan bahawa Mordekhai telah mendedahkan komplot pembunuhan raja. Raja ingat bahawa mereka yang merancang pembunuhan itu telah ditangkap dan dihukum mati. Kemudian raja bertanya kepada para pelayan peribadinya, “Sudahkah Mordekhai diberi penghormatan dan ganjaran untuk jasa baiknya itu?” Mereka menjawab, “Belum tuanku.”​—Baca Ester 6:1-3.

13, 14. (a) Ceritakan peristiwa buruk yang terjadi kepada Haman. (b) Apakah yang dikatakan oleh isteri dan sahabat-sahabat Haman?

13 Pada waktu itu, Haman berada di halaman luar istana kerana dia ingin mendapat kebenaran raja untuk menghukum Mordekhai. Tetapi sebelum dia sempat memberitahu raja apa-apa, raja bertanya kepada Haman cara terbaik untuk menghormati seseorang yang mendapat perkenan raja. Haman menyangka bahawa orang yang dimaksudkan ialah dirinya. Maka dia berkata bahawa orang itu harus dikenakan dengan pakaian kebesaran, lalu diarak di sekeliling Susan dengan kuda diraja sambil diiringi seorang pegawai yang menyerukan kata-kata penghormatan di hadapan semua orang. Bayangkanlah reaksi Haman semasa dia diberitahu bahawa orang yang dimaksudkan itu ialah Mordekhai. Siapakah yang perlu menyerukan kata-kata penghormatan itu? Tidak lain tidak bukan, Haman!​—Est. 6:4-10.

14 Haman melaksanakan tugas yang memuakkan baginya itu lalu bergegas pulang ke rumahnya dengan malu. Isteri dan sahabat-sahabatnya memberitahunya bahawa kejadian itu merupakan  petanda yang buruk baginya, dan dia tidak akan dapat mengalahkan Mordekhai.​—Est. 6:12, 13.

15. (a) Apakah yang berlaku kerana Ester bersikap sabar? (b) Mengapakah kita digalakkan untuk ‘menantikan Yehuwa dengan sabar’?

15 Oleh sebab Ester bersikap sabar, Haman telah merancang sesuatu yang memalukan dirinya sendiri. Selain itu, nampaknya raja tidak dapat tidur kerana campur tangan Yehuwa. (Ams. 21:1) Itulah sebabnya kita sering digalakkan untuk ‘menantikan Yehuwa dengan sabar.’ (Baca Mikha 7:7.) Jika kita bersabar dan menunggu Tuhan untuk bertindak, kita akan nampak bahawa cara Tuhan menyelesaikan masalah kita jauh lebih baik daripada cara kita menyelesaikannya.

Dia Memperlihatkan Keberanian

16, 17. (a) Bilakah “waktu untuk bercakap” bagi Ester tiba? (b) Bagaimanakah Ester berbeza daripada Wasti?

16 Pada jamuannya yang kedua, Ester membuat keputusan untuk memberitahu raja tentang rancangan Haman. Tetapi bagaimanakah Ester dapat berbuat demikian? Raja bertanya lagi kepada Ester tentang permohonannya, maka Ester tahu bahawa itulah ‘waktunya untuk bercakap’ kepada raja.​—Est. 7:2.

17 Kita dapat membayangkan Ester berdoa dalam hatinya sebelum berkata, “Jika tuanku berkenan dan jika tuanku sudi menunaikan hajat dan permohonan hamba, hamba memohon agar hamba dan bangsa hamba dibenarkan untuk terus hidup.” (Est. 7:3) Ester tidak seperti Wasti. Ester menunjukkan bahawa dia menghormati kedudukan suaminya sebagai raja dan tidak memalukan suaminya. (Est. 1:10-12) Selain itu, dia merayu agar raja melindungi nyawanya,  dan dia tidak mengkritik raja kerana telah mempercayai Haman.

18. Bagaimanakah Ester menyampaikan masalahnya kepada raja?

18 Permintaan Ester pasti membuat raja terkejut. Siapakah yang berani mengancam nyawa isterinya? Ester menyambung, “Hamba dan bangsa hamba telah dijual untuk dibunuh, dihapuskan, dan dilenyapkan. Jika kami hanya dijual untuk dijadikan hamba abdi, hamba akan berdiam diri. Tetapi malapetaka ini tidak patut dibiarkan, kerana malapetaka ini merugikan tuanku.” (Est. 7:4) Perhatikan bahawa Ester menjelaskan masalahnya dengan terus terang. Dia juga berkata bahawa jika masalah itu tidak serius dan tidak merugikan raja, dia sudi berdiam diri.

19. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Ester tentang cara untuk menyampaikan sesuatu perkara?

19 Teladan Ester mengajar kita tentang cara untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada seseorang. Jika kita perlu menjelaskan masalah yang serius kepada seseorang yang dikasihi ataupun kepada saudara yang mengambil pimpinan, kita harus berbuat demikian dengan sabar, penuh hormat, dan terus terang.​—Ams. 16:21, 23.

20, 21. (a) Bagaimanakah Ester mendedahkan rancangan Haman? (b) Apakah reaksi raja? (c) Apakah yang dilakukan oleh Haman apabila kejahatannya didedahkan?

20 Raja menuntut penjelasan, “Siapa yang berani berbuat demikian? Di mana orang itu?” Bayangkan Ester menuding jari ke arah Haman sambil berkata, “Musuh yang menentang kami ialah Haman, lelaki jahat ini.” Situasi pada masa itu pasti amat tegang. Raja amat marah kerana penasihat yang dipercayainya itu telah  memperdayakannya untuk menandatangani perintah yang akan membuat isterinya yang tercinta terbunuh. Dengan kemarahan yang berapi-api, raja bergegas keluar ke taman untuk menenangkan dirinya.​—Est. 7:5-7.

Ester mendedahkan kejahatan Haman dengan berani

21 Ya, rancangan Haman telah didedahkan! Seperti seorang pengecut, dia menjatuhkan dirinya dekat kaki Ester untuk memohon belas kasihannya. Apabila raja masuk dan nampak Haman merebahkan dirinya ke atas tempat duduk Ester, dia menuduh Haman hendak memperkosa isterinya di rumahnya sendiri. Sebaik sahaja raja berkata demikian, para pegawai istana masuk dan menutupi muka Haman lalu menyeretnya keluar. Kemudian raja diberitahu bahawa Haman telah mendirikan sebatang tiang yang tinggi untuk menggantung Mordekhai. Maka raja memerintahkan agar Haman sendiri digantung pada tiang itu.​—Est. 7:8-10.

22. Bagaimanakah teladan Ester membantu kita?

22 Dalam dunia yang jahat ini, keadilan jarang ditegakkan. Tetapi seperti Ester, kita tidak mahu berputus asa, hilang iman, atau bersikap sinis. Pada waktu yang sesuai, Ester telah bercakap untuk mendapatkan keadilan lalu menyerahkan hal yang selebihnya kepada Yehuwa. Yehuwa tidak pernah berubah. Dia dapat menggunakan rancangan orang yang jahat untuk memerangkap dan menjerat diri mereka sendiri, seperti yang dilakukan-Nya dengan Haman.​—Baca Mazmur 7:11-16.

Mempertaruhkan Nyawa demi Yehuwa dan Umat-Nya

23. (a) Apakah ganjaran yang diberikan oleh raja kepada Mordekhai dan Ester? (b) Bagaimanakah nubuat Yakub tentang keturunan Benyamin menjadi kenyataan? (Lihat kotak “ Nubuat Menjadi Kenyataan.”)

23 Akhirnya raja mendapat tahu bahawa Mordekhai bukan sahaja orang yang melindunginya daripada dibunuh, dia bahkan juga merupakan bapa angkat Ester. Maka raja memberikan kedudukan Haman sebagai perdana menteri kepada Mordekhai. Rumah Haman​—termasuk hartanya yang berlimpah-limpah—diberikan kepada Ester. Ester kemudiannya melantik Mordekhai untuk mengurus segala harta itu.​—Est. 8:1, 2.

24, 25. (a) Meskipun nyawa Ester tidak lagi terancam, mengapakah dia tidak bersukacita? (b) Bagaimanakah Ester mempertaruhkan nyawanya sekali lagi?

 24 Sekarang nyawa Ester dan Mordekhai tidak lagi terancam, tetapi Ester tidak hanya berfikir tentang dirinya sendiri. Pada waktu itu, perintah yang dikeluarkan oleh Haman untuk membunuh semua orang Yahudi sedang disebarkan ke seluruh pelosok negara. Haman telah membuang undi, atau “Pur,” yang nampaknya ada kaitan dengan ilmu ghaib, untuk menentukan masa yang terbaik untuk membunuh semua orang Yahudi. (Est. 9:24-26) Masih ada berbulan-bulan sebelum hari itu tiba. Tetapi dapatkah rancangan Haman digagalkan?

25 Sekali lagi Ester mempertaruhkan nyawanya dengan menghadap raja tanpa dijemput. Kali ini Ester merayu agar raja membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Haman. Tetapi menurut undang-undang Persia, perintah yang dikeluarkan atas nama raja tidak boleh diubah. (Dan. 6:12, 15) Maka raja memberi Ester dan Mordekhai kuasa untuk menggubal undang-undang baharu yang membenarkan orang Yahudi untuk mempertahankan diri. Para utusan raja bergegas ke seluruh pelosok negara untuk menyebarkan berita baik itu kepada orang Yahudi. (Est. 8:3-16) Kita dapat membayangkan semua orang Yahudi mula bersiap sedia untuk  melawan musuh mereka. Tetapi, adakah “Yehuwa, ketua angkatan syurga,” akan menyertai umat-Nya?​—1 Sam. 17:45.

Ester dan Mordekhai mengeluarkan perintah kepada semua orang Yahudi di Empayar Persia

26, 27. (a) Bagaimanakah Yehuwa memberikan kemenangan yang besar kepada umat-Nya? (b) Apakah nubuat yang menjadi kenyataan?

26 Apabila hari yang ditentukan itu tiba, umat Tuhan sudah bersedia. Selepas berita tentang pelantikan Mordekhai sebagai perdana menteri tersebar luas, banyak pegawai Persia mula berpihak kepada mereka. Yehuwa telah memberi umat-Nya kemenangan yang besar. Ya, Dia memastikan bahawa musuh umat-Nya dilenyapkan dengan sepenuhnya agar mereka tidak mengganggu umat-Nya lagi. *​—Est. 9:1-6.

27 Mordekhai tidak akan dapat mengurus harta milik Haman jika 10 orang anak lelaki Haman masih hidup. Maka mereka pun dibunuh. (Est. 9:7-10) Dengan demikian, nubuat Tuhan yang menyatakan bahawa bangsa Amalek akan dilenyapkan sama sekali telah menjadi kenyataan. (Ul. 25:17-19) Nampaknya anak-anak lelaki Haman merupakan antara orang terakhir dalam bangsa yang telah dikutuk itu.

28, 29. (a) Mengapakah Yehuwa mahu agar Ester dan bangsanya terlibat dalam peperangan? (b) Mengapakah teladan Ester penting bagi kita hari ini?

28 Meskipun Ester masih muda, dia perlu membuat keputusan yang bersangkut-paut dengan isu perang. Sudah pasti hal itu tidak mudah. Tetapi Yehuwa mahu umat-Nya terselamat kerana Mesias yang dijanjikan, iaitu satu-satunya harapan sejati umat manusia, akan datang daripada bangsa Israel. (Kej. 22:18) Selepas Yesus datang ke bumi, dia telah melarang para pengikutnya daripada melibatkan diri dalam perang.​—Mat. 26:52.

29 Meskipun demikian, orang Kristian tetap terlibat dalam peperangan rohani kerana Syaitan semakin berazam untuk menghancurkan iman kita. (Baca 2 Korintus 10:3, 4.) Semoga kita terus mencontohi teladan Ester dengan menunjukkan kebijaksanaan, kesabaran, keberanian, dan sikap tidak mementingkan diri semasa membela umat Tuhan!

^ per. 26 Raja mengizinkan orang Yahudi untuk melawan musuh mereka pada hari yang kedua juga. (Est. 9:12-14) Sampai hari ini, orang Yahudi memperingati kemenangan itu setiap tahun pada bulan Adar, yang jatuh pada akhir bulan Februari atau awal bulan Mac. Perayaan itu dinamakan Perayaan Purim, sempena “Pur,” atau undi, yang digunakan oleh Haman semasa hendak melenyapkan orang Israel.