Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB DUA

“Nuh Hidup Akrab dengan Tuhan yang Benar”

“Nuh Hidup Akrab dengan Tuhan yang Benar”

1, 2. Nuh dan keluarganya melakukan projek apa? Apakah cabaran yang dihadapi oleh mereka?

NUH berdiri dan meregangkan ototnya yang lesu, lalu melabuhkan punggungnya di atas sebatang tiang kayu yang besar untuk berehat seketika. Bau tar menusuk hidungnya, dan bunyi pertukangan membingitkan telinganya. Di antara tiang-tiang kayu yang menopang rangka bahtera, dia dapat melihat anak-anak lelakinya sibuk bekerja. Isterinya, anak-anak lelakinya, dan menantu-menantunya, telah membanting tulang bersamanya selama berpuluh-puluh tahun dalam projek pembinaan yang besar ini. Tetapi masih ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan!

2 Selama ini, hujan tidak pernah membasahi bumi. Jadi semua orang tidak dapat membayangkan bahawa seluruh bumi akan dibanjiri air! Semakin maju kerja pembinaan bahtera, semakin kuat sindiran orang ramai. Mereka berfikir bahawa Nuh dan keluarganya sudah gila kerana sanggup mensia-siakan kehidupan mereka untuk melakukan projek yang nampaknya tidak berguna. Tetapi Tuhan Yehuwa tidak berfikir sedemikian.

3. Bagaimanakah Nuh hidup akrab dengan Tuhan?

3 Firman Tuhan menyatakan, “Nuh hidup akrab dengan Tuhan yang benar.” (Baca Kejadian 6:9.) Bagaimanakah Nuh dapat berbuat demikian? Adakah Tuhan turun ke bumi, atau adakah Nuh naik ke syurga? Tidak. Nuh dikatakan hidup akrab dengan Tuhan kerana dia begitu taat kepada Tuhan dan begitu mengasihi-Nya sehingga dia menjadi seperti sahabat karib-Nya. Ribuan tahun kemudian, Bible menyatakan, “Melalui imannya, Nuh menunjukkan bahawa dunia ini patut dihukum.” (Ibr. 11:7) Apakah maksudnya? Apakah yang dapat kita pelajari daripada iman Nuh?

Nuh Hidup dalam Dunia yang Jahat

4, 5. Mengapakah keadaan bumi bertambah teruk pada zaman Nuh?

4 Nuh membesar dalam persekitaran yang buruk. Sejak zaman moyangnya Henokh, dunia sudah sarat dengan kejahatan. Meskipun  begitu, Henokh tetap taat kepada Tuhan, dan dia telah bernubuat bahawa Tuhan akan menghukum semua pendosa di bumi. Tetapi kejahatan semakin menular pada zaman Nuh. Sebenarnya dalam pandangan Tuhan, bumi sudah rosak dan penuh dengan keganasan. (Kej. 5:22; 6:11; Yud. 14, 15) Mengapakah keadaan bumi bertambah teruk?

5 Lama sebelum zaman Nuh, sebuah tragedi yang buruk menimpa keluarga Tuhan di syurga. Salah satu malaikat telah memberontak melawan Yehuwa. Dia diberi gelaran Syaitan Si Iblis kerana dia memfitnah Tuhan dan menggoda Adam dan Hawa untuk berdosa. Kemudian pada zaman Nuh, malaikat-malaikat yang lain menyertai pemberontakan Syaitan. Mereka meninggalkan syurga dan turun ke bumi lalu mengambil gadis-gadis manusia yang cantik sebagai isteri. Para malaikat yang angkuh dan mementingkan diri ini menjadi pengaruh yang buruk kepada umat manusia.​—Kej. 6:1, 2; Yud. 6, 7.

6. Apakah yang dilakukan oleh Nefilim? Yehuwa bertekad untuk melakukan apa?

6 Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh isteri malaikat-malaikat itu lebih besar dan lebih kuat daripada anak-anak biasa. Bible memanggil mereka Nefilim, yang bermaksud “Yang Menjatuhkan,” kerana mereka jahat dan suka membuli orang. Mereka menyebabkan keadaan dunia menjadi lebih ganas dan mempengaruhi orang untuk memberontak terhadap Tuhan. Itulah sebabnya Bible menyatakan, “Yehuwa nampak bahawa manusia di bumi sangat jahat. Hati dan fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.” Maka Yehuwa bertekad untuk melenyapkan semua orang yang jahat dalam masa 120 tahun.​—Baca Kejadian 6:3-5.

7. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Nuh dan isterinya semasa mereka membesarkan anak-anak mereka?

7 Adakah mudah bagi Nuh untuk menjaga dan melindungi keluarganya?  Tidak. Tetapi Nuh telah menetapkan teladan yang baik bagi kita. Dia mencari seorang isteri yang baik. Selepas dia berusia 500 tahun, isterinya melahirkan tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet. * Nuh dan isterinya melindungi anak-anak mereka daripada pengaruh jahat kaum Nefilim. Anak-anak mereka pasti kagum dengan cerita-cerita tentang Nefilim yang kuat dan terkenal. Biarpun begitu, mereka berusaha mengajar anak-anak mereka tentang Yehuwa. Mereka membantu anak-anak mereka untuk memahami bahawa Yehuwa membenci keganasan, dan Dia kecewa serta sakit hati dengan manusia yang ganas dan suka memberontak.​—Kej. 6:6.

Nuh dan isterinya perlu melindungi anak-anak mereka daripada pengaruh yang jahat

8. Bagaimanakah ibu bapa dewasa ini dapat mencontohi Nuh dan isterinya?

8 Dewasa ini, ibu bapa menghadapi cabaran yang sama. Keganasan dan semangat suka memberontak semakin menular, dan fenomena geng remaja semakin menjadi-jadi. Dunia hiburan juga sering menyajikan filem dan rancangan TV yang sarat dengan keganasan. Ibu bapa yang bijaksana akan mengajar anak-anak mereka tentang Yehuwa, Tuhan yang mencintai kedamaian, dan tentang bagaimana Dia akan mengakhiri keganasan pada masa depan. Dengan demikian, anak-anak akan dapat melawan anasir-anasir jahat ini. (Mzm. 11:5; 37:10, 11) Para ibu bapa, anda dapat berjaya seperti Nuh dan isterinya! Anak-anak mereka membesar menjadi orang yang baik dan mengahwini gadis-gadis yang menyembah Yehuwa dan mengutamakan-Nya dalam kehidupan mereka.

“Buatlah Sebuah Bahtera”

9, 10. (a) Apakah yang dikatakan oleh Yehuwa kepada Nuh? (b) Apakah yang difirmankan oleh Yehuwa tentang reka bentuk dan tujuan bahtera?

9 Pada suatu hari, Yehuwa memberitahu Nuh bahawa Dia akan membinasakan semua manusia pada zaman itu. Dia juga memberikan perintah berikut kepadanya: “Buatlah sebuah bahtera daripada kayu keras.”​—Kej. 6:14.

10 Bahtera bukanlah sebuah kapal. Bahtera kelihatan seperti sebuah kotak besar yang berbentuk segi empat tepat. Yehuwa memberitahu Nuh ukuran bahtera itu, dan menyuruhnya melapisi bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar. Dia berfirman, “Aku akan mendatangkan banjir atas bumi . . . Segala hidupan di darat akan dilenyapkan.” Dia juga berfirman kepada Nuh, “Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera bersama isterimu dan anak-anakmu serta isteri mereka.” Selain itu, Nuh juga disuruh untuk membawa semua jenis binatang ke dalam bahtera supaya binatang-binatang itu terselamat semasa Banjir melanda.​—Kej. 6:17-20.

Nuh dan keluarganya bekerjasama untuk melaksanakan perintah Tuhan

11, 12. Mengapakah tugasan Nuh sangat mencabar? Apakah reaksinya terhadap tugasan itu?

 11 Nuh mendapat tugasan yang sangat mencabar. Dia harus membina sebuah bahtera besar yang berukuran sekitar 134 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi. Bahtera ini lebih besar daripada kapal-kapal kayu zaman moden. Tetapi adakah Nuh melarikan diri daripada tugasan ini? Adakah dia bersungut-sungut, atau mengubah reka bentuk bahtera untuk memudahkan kerjanya? Tidak. Bible menyatakan, “Dia melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Tuhan.”​—Kej. 6:22.

12 Nuh dan keluarganya mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 tahun untuk membina bahtera itu. Mereka perlu menebang pokok, mengangkut balak-balak ke tapak pembinaan, dan kemudian membelah balak-balak itu dan membentuknya. Bahtera itu harus mempunyai tiga tingkat, bilik-bilik, dan pintu masuk. Bahtera itu juga harus mempunyai tingkap pada bahagian atasnya, dan bumbungnya perlu mencondong ke bawah agar air hujan dapat mengalir ke bawah.​—Kej. 6:14-16.

13. Selain membina bahtera, apakah tugasan lain yang perlu dilakukan oleh Nuh? Apakah reaksi orang?

13 Dengan peredaran masa, projek pembinaan itu semakin berkembang maju. Nuh pasti sangat gembira atas sokongan keluarganya. Tetapi dia perlu melakukan satu lagi tugasan yang lebih mencabar. Bible menyatakan bahawa Nuh ‘menyebarkan apa yang benar di mata Tuhan.’ (Baca 2 Petrus 2:5.) Ya, dengan berani, Nuh memberitahu orang lain bahawa Tuhan akan memusnahkan dunia yang jahat itu tidak lama lagi. Apakah reaksi mereka? Yesus Kristus menggambarkan keadaan pada zaman Nuh dengan berkata, “Mereka tidak ambil peduli.” Dia berkata bahawa mereka begitu sibuk dengan aktiviti harian, seperti makan, minum, dan berkahwin, sehingga mereka tidak mempedulikan amaran Nuh. (Mat. 24:37-39) Selain itu, ramai telah mentertawakan Nuh dan keluarganya. Ada yang mungkin mengugut Nuh atau menganiayanya, dan bahkan ada yang mencuba merosakkan bahtera yang sedang dibina.

Meskipun orang nampak Tuhan memberkati Nuh, mereka masih mencelanya dan tidak menghiraukan mesejnya

14. Apakah pengajaran yang dapat diraih oleh keluarga Kristian daripada Nuh dan keluarganya?

14 Nuh dan keluarganya tidak pernah berputus asa. Mereka tetap setia meskipun orang di sekeliling mereka mencemuh usaha mereka. Keluarga Kristian pada hari ini dapat mencontohi Nuh dan keluarganya. Seperti yang disebutkan dalam Bible, kita hidup “pada hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1) Yesus berkata bahawa sikap orang pada zaman ini serupa dengan sikap orang pada zaman Nuh. Mereka tidak mempedulikan mesej Kerajaan Tuhan, dan bahkan ada yang  menentang kerja kita. Semasa menghadapi situasi ini, kita patut mengingat contoh baik Nuh.

“Masuklah ke dalam Bahtera”

15. Apakah cabaran yang menimpa Nuh apabila dia hampir berusia 600 tahun?

15 Selepas beberapa dekad, bahtera akhirnya siap dibina. Apabila Nuh hampir berusia 600 tahun, dia kehilangan bapanya Lamekh. * Lima tahun kemudian, datuknya Metuselah yang berusia 969 tahun juga meninggal. Metuselah ialah manusia yang hidup paling lama dalam sejarah manusia. (Kej. 5:27) Metuselah dan Lamekh pernah hidup sezaman dengan manusia pertama, iaitu Adam.

16, 17. (a) Apakah perintah baharu yang diterima oleh Nuh sewaktu dia berusia 600 tahun? (b) Gambarkan apa yang disaksikan oleh Nuh dan keluarganya.

16 Sewaktu Nuh berusia 600 tahun, dia menerima perkhabaran yang baharu daripada Tuhan Yehuwa. Tuhan berfirman, “Masuklah ke dalam bahtera bersama-sama seluruh keluargamu.” Tuhan juga menyuruhnya untuk membawa semua jenis binatang ke dalam bahtera; tujuh ekor daripada setiap binatang yang halal, iaitu binatang yang sesuai untuk dijadikan korban, dan dua ekor daripada setiap binatang yang lain.​—Kej. 7:1-3.

17 Nuh dan keluarganya pasti tidak dapat melupakan apa yang mereka nampak! Bayangkanlah beribu-ribu jenis binatang datang ke arah  bahtera. Ada yang berjalan, terbang, merayap, terkedek-kedek, dan ada juga yang mengengsot. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang jinak, dan ada yang liar. Tetapi Nuh tidak perlu bersusah payah menggiring atau memimpin semua binatang itu ke dalam bahtera, kerana Bible menyatakan bahawa semua binatang itu “masuk ke dalam bahtera dan pergi kepada Nuh.”​—Kej. 7:9.

18, 19. (a) Jelaskan mengapa kita tidak patut meragui kebolehan Yehuwa untuk melakukan setiap perkara yang dicatatkan dalam kisah Nuh. (b) Bagaimanakah cara yang digunakan oleh Yehuwa untuk menyelamatkan binatang menonjolkan kebijaksanaan-Nya?

18 Ada orang mungkin tertanya-tanya, “Bagaimana mungkin hal ini terjadi? Bagaimanakah semua binatang itu dapat hidup harmoni dalam sebuah bahtera?” Cuba fikirkan: Semua binatang di bumi diciptakan oleh Tuhan Yehuwa. Maka bukankah Pencipta alam semesta berupaya untuk mengawal semua ciptaan-Nya? Dia pasti dapat mengawal semua binatang itu agar menjadi jinak dan mendengar arahan manusia. Tambahan lagi, Bible juga menyatakan bahawa pada kemudian hari, Tuhan membelah Laut Merah dan membuat matahari berhenti di tengah-tengah langit. Oleh itu, kita tidak patut meragui kebolehan Tuhan untuk melakukan setiap perkara yang dicatatkan dalam kisah Nuh.

19 Meskipun Tuhan boleh menggunakan cara yang lain untuk menyelamatkan binatang di bumi, Dia masih memilih Nuh untuk berbuat demikian. Mengapa? Kerana Dia telah mengamanahkan tanggungjawab untuk menjaga semua makhluk hidup di bumi kepada manusia. (Kej. 1:28) Bukankah hal ini menonjolkan kebijaksanaan-Nya? Para ibu bapa boleh menggunakan kisah Nuh untuk  mengajar anak-anak mereka bahawa Yehuwa amat menghargai semua binatang dan manusia yang telah diciptakan oleh-Nya.

20. Seminggu sebelum Banjir melanda, apakah yang dilakukan oleh Nuh dan keluarganya?

20 Yehuwa telah memberitahu Nuh bahawa Banjir akan melanda dalam masa satu minggu lagi. Maka Nuh dan keluarganya pasti sangat sibuk. Mereka harus membawa semua binatang ke tempat yang telah ditentukan, dan mereka juga harus membawa bahan makanan untuk binatang dan untuk diri mereka. Barang keperluan mereka juga perlu dibawa ke dalam bahtera dan disusun dengan rapi. Isteri Nuh dan tiga orang menantu perempuannya mungkin berusaha menjadikan bahtera itu sebuah tempat penginapan yang selesa.

21, 22. (a) Mengapakah kita tidak seharusnya hairan dengan reaksi orang pada zaman Nuh? (b) Bilakah para pencela itu terbungkam?

21 Bagaimana pula dengan orang lain? Mereka pasti nampak binatang yang datang berpusu-pusu kepada Nuh. Ya, biarpun mereka nampak Yehuwa memberkati usaha Nuh, mereka masih “tidak ambil peduli.” Kita tidak seharusnya hairan dengan reaksi mereka, kerana orang pada hari ini juga bersikap sedemikian meskipun mereka nampak banyak bukti yang menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Petrus menubuatkan bahawa “akan muncul orang yang suka memperolok-olokkan hal-hal yang baik.” (Baca 2 Petrus 3:3-6.) Orang pada zaman Nuh juga mengejek Nuh dan keluarganya.

22 Selepas Nuh, keluarganya, dan semua binatang masuk ke dalam bahtera, “Yehuwa menutup pintu bahtera.” Kejadian ini pasti membuat para pencela itu terbungkam. Kemudian tepat seperti yang difirmankan oleh Yehuwa, hujan mula turun tanpa henti sehingga seluruh bumi ditenggelami air.​—Kej. 7:16-21.

23. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa tidak suka melihat orang jahat mati? (b) Mengapakah kita patut meniru iman Nuh?

23 Yehuwa tidak suka melihat orang jahat mati. (Yeh. 33:11) Dia memberikan banyak peluang kepada orang pada zaman Nuh untuk mengubah haluan hidup dan melakukan apa yang benar. Tetapi mampukah mereka berbuat demikian? Ya. Kisah hidup Nuh menunjukkan bahawa mereka memang dapat berbuat demikian. Nuh telah menyelamatkan dirinya dan keluarganya kerana dia beriman kepada Tuhan, hidup akrab dengan-Nya, dan mematuhi-Nya. Jika anda meniru iman Nuh, anda juga dapat menyelamatkan diri sendiri dan orang yang tersayang. Seperti Nuh, anda dapat menjadi sahabat Tuhan buat selama-lamanya!

^ per. 7 Jangka hayat manusia pada zaman itu lebih panjang. Nampaknya hal ini demikian kerana mereka hidup lebih dekat dengan zaman Adam dan Hawa.

^ per. 15 Lamekh menamakan anak lelakinya Nuh, yang bermaksud “Rehat” atau “Kelegaan,” dan menubuatkan bahawa anaknya ini akan membawa kelegaan kepada manusia yang bekerja keras untuk mengusahakan tanah yang dikutuk Tuhan. (Kej. 5:28, 29) Lamekh tidak berpeluang melihat nubuatnya menjadi kenyataan. Ibu Nuh dan adik-beradiknya pula mungkin mati semasa Banjir melanda.