Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB TIGA BELAS

Dia Belajar daripada Kesilapannya

Dia Belajar daripada Kesilapannya

1, 2. (a) Apakah musibah yang menimpa Yunus dan semua anak kapal? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Yunus?

YUNUS rimas dengan bunyi di sekelilingnya yang membingitkan telinga. Angin ribut yang menderu menyebabkan kayu-kayu kapal berkeriang-keriut, dan ombak laut yang ganas menghempas sisi kapal. Suara teriakan kapten dan anak-anak kapal yang berusaha mengemudi kapal jelas kedengaran. Kapal yang dinaiki mereka hampir hancur dipukul ombak, dan Yunus tahu bahawa mereka semua ditimpa musibah itu gara-gara tindakannya!

2 Yunus telah melakukan suatu kesalahan yang serius. Apakah yang telah dilakukannya? Dapatkah dia membetulkan kesalahannya itu? Jawapan kepada soalan-soalan ini dapat membantu kita. Contohnya, kisah Yunus mengajar kita bahawa bahkan orang yang mempunyai iman sejati pun mungkin tersimpang, dan mereka dapat belajar daripada kesilapan mereka.

Seorang Nabi dari Galilea

3-5. (a) Apakah yang cenderung difikirkan orang apabila kita menyebut tentang Yunus? (b) Apakah yang kita ketahui tentang latar belakang Yunus? (Lihat juga nota kaki.) (c) Mengapakah tidak mudah bagi Yunus untuk menjalankan tugasnya sebagai nabi?

3 Sesetengah orang cenderung bertumpu kepada sifat-sifat buruk Yunus, seperti sikap keras kepalanya dan keingkarannya terhadap Tuhan. Tetapi dia juga mempunyai sifat-sifat yang baik. Ingatlah bahawa Yunus ialah nabi Yehuwa. Pastinya Yehuwa tidak akan melantiknya menjadi nabi jika dia jahat atau tidak setia.

Yunus juga mempunyai banyak sifat yang baik

4 Bible hanya mencatatkan sedikit butiran tentang latar belakang  Yunus. (Baca 2 Raja-Raja 14:25.) Yunus berasal dari Gat-hefer, yang terletak kira-kira empat kilometer dari Nasaret, iaitu tempat Yesus akan dilahirkan sekitar 800 tahun kemudian. * Yunus menjadi nabi semasa Raja Yerobeam II memerintah kerajaan Israel yang terdiri daripada 10 suku. Pada zaman itu, Elia sudah lama mati, dan penggantinya Elisa pun sudah mati sewaktu bapa Yerobeam menjadi raja. Meskipun Yehuwa telah menggunakan Elia dan Elisa untuk melenyapkan penyembahan Baal, orang Israel menyimpang sekali lagi di bawah pimpinan seorang raja yang jahat. (2 Raj. 14:24) Maka tidak mudah bagi Yunus untuk menjalankan tugasnya. Biarpun begitu, dia masih berkhidmat dengan setia.

5 Tetapi pada suatu hari, hidup Yunus berubah. Dia menerima tugasan yang mencabar daripada Yehuwa. Apakah tugasan itu?

“Pergilah ke Niniwe”

6. Apakah tugasan yang diberikan oleh Yehuwa kepada Yunus? Mengapakah tugasan itu amat mencabar?

6 Yehuwa memberitahu Yunus, “Pergilah ke Niniwe, kota yang besar itu. Umumkanlah berita penghakiman kepada penduduknya, kerana Aku telah memperhatikan kejahatan yang dilakukan oleh mereka.” (Yun. 1:2) Yunus pasti berasa bahawa tugasan ini amat mencabar. Niniwe terletak kira-kira 800 kilometer dari Israel, dan Yunus harus berjalan selama sebulan untuk sampai ke situ. Selain itu, Yunus perlu menghadapi cabaran yang lebih besar lagi kerana dia harus mengumumkan berita penghakiman kepada orang Assyria yang terkenal dengan sikap ganas mereka. Jika umat Tuhan pun enggan mendengar firman Tuhan, apatah lagi orang Assyria yang kafir itu. Tambahan lagi, Yunus mungkin risau tentang keselamatannya kerana Niniwe dikenali sebagai “kota yang penuh dengan pertumpahan darah.”​—Nah. 3:1, 7.

7, 8. (a) Seberapa kuatkah tekad Yunus untuk melarikan diri daripada tugasannya? (b) Mengapakah kita tidak patut menyimpulkan bahawa Yunus seorang pengecut?

7 Kita tidak tahu apa yang membuat Yunus takut, tetapi Bible menyatakan bahawa dia telah melarikan diri. Yehuwa menyuruhnya pergi ke arah timur, tetapi dia pula pergi ke arah barat. Dia pergi ke sebuah kota pelabuhan yang dipanggil Yope. Di situ, dia  menaiki sebuah kapal yang menuju ke Tarsis. Ada cendekiawan yang mengatakan bahawa Tarsis terletak di Sepanyol. Jika andaian mereka benar, hal ini bererti bahawa destinasi Yunus terletak kira-kira 3,500 kilometer dari Niniwe. Dia perlu belayar merentasi Laut Tengah dan perjalanannya mungkin mengambil masa selama setahun! Nampaknya Yunus memang bertekad untuk melarikan diri sejauh mungkin daripada tugasannya.​—Baca Yunus 1:3.

8 Adakah Yunus seorang pengecut? Tidak, kerana tindakan Yunus yang seterusnya menunjukkan bahawa dia amat berani. Seperti kita, Yunus juga manusia yang tidak sempurna dan perlu bergelut dengan ketidaksempurnaan sendiri. (Mzm. 51:5) Siapakah antara kita yang tidak pernah bergelut dengan perasaan takut?

9. Ada kalanya, apakah perasaan kita apabila Tuhan meminta kita melakukan sesuatu? Apakah hakikat yang perlu kita ingat?

9 Ada kalanya Tuhan mungkin meminta kita melakukan sesuatu yang kita rasa susah atau mustahil dilakukan. Misalnya, kita mungkin berasa bahawa kerja menginjil amat mencabar. (Mat. 24:14) Seperti Yunus, kadangkala kita juga mungkin lupa akan kata-kata Yesus yang berikut: ‘Tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.’ (Mrk. 10:27) Apakah yang berlaku kepada Yunus seterusnya?

Yehuwa Mendisiplinkan Nabi-Nya

10, 11. (a) Apakah yang mungkin difikirkan oleh Yunus seraya kapal yang dinaikinya meninggalkan pelabuhan? (b) Apakah bahaya yang menimpa kapal itu dan anak-anak kapalnya?

10 Yunus mungkin menaiki sebuah kapal kargo Fenisia. Bayangkanlah dia duduk di atas kapal itu dan memperhatikan kaptennya dan anak-anak kapal sibuk membuat persediaan untuk meninggalkan pelabuhan. Seraya daratan semakin menghilang, Yunus mungkin berfikir bahawa dia sudah berjaya melarikan diri daripada tugasannya. Tetapi cuaca berubah secara tiba-tiba.

11 Angin kencang mula bertiup dan menyebabkan permukaan laut bergelora. Kapal mereka terumbang-ambing dipukul ombak yang kian mengganas. Buku Yunus menyatakan, “Kapal itu hampir hancur.” (Yun. 1:4) Pada waktu itu, adakah Yunus sedar bahawa Yehuwalah yang telah mendatangkan ribut yang dahsyat itu? Kita tidak pasti. Yunus nampak anak-anak kapal itu mula berseru kepada tuhan-tuhan mereka, tetapi dia tahu bahawa seruan mereka itu sia-sia sahaja. (Im. 19:4) Yunus mungkin terfikir untuk berdoa kepada Yehuwa, tetapi dia berasa malu untuk berbuat demikian kerana dia telah mengingkari-Nya.

12. (a) Mengapakah Yunus tidur nyenyak semasa ribut melanda? (Lihat juga nota kaki.) (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa penyebab bencana itu ialah Yunus?

 12 Yunus tidak tahu apa yang harus dilakukannya, maka dia turun ke bahagian bawah kapal lalu tertidur dengan nyenyak. * Tetapi kapten kapal itu mengejutkan Yunus lalu menyuruhnya untuk berdoa kepada tuhannya. Pada waktu itu, anak-anak kapal sedar bahawa ribut yang menimpa mereka berasal daripada sumber luar biasa. Oleh itu, mereka membuang undi untuk mengetahui siapa yang menyebabkan mereka ditimpa bencana itu, dan akhirnya mereka mendapati bahawa Yunuslah penyebabnya. Ya, Yehuwa telah mendatangkan bencana itu dan Dia juga mendedahkan bahawa Yunus ialah penyebabnya!​—Baca Yunus 1:5-7.

13. (a) Apakah yang dikatakan oleh Yunus kepada anak-anak kapal? (b) Yunus menyuruh mereka untuk melakukan apa? Mengapa?

13 Yunus memberitahu anak-anak kapal bahawa bencana itu menimpa mereka kerana dia telah melarikan diri daripada Tuhannya, Yehuwa, dan membangkitkan kemurkaan-Nya. Anak-anak kapal itu terkejut dan takut setelah mendengar penjelasannya. Mereka menanya Yunus apa yang harus dilakukan agar mereka dan kapal mereka terselamat. Yunus menjawab, “Buanglah aku ke dalam laut lalu ribut ini tentu akan reda.” (Yun. 1:12) Ya, Yunus mungkin takut semasa memikirkan bahawa dia bakal mati lemas dalam laut yang bergelora itu, tetapi dia tidak sanggup berpeluk tubuh dan membiarkan mereka semua mati.

14, 15. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru iman Yunus? (b) Apakah reaksi anak-anak kapal terhadap permintaan Yunus?

14 Yehuwa pasti tersentuh apabila melihat keberanian dan semangat rela berkorban yang ditunjukkan oleh Yunus pada saat yang genting itu. Kisah ini menunjukkan betapa teguhnya iman Yunus. Dewasa ini, kita dapat meniru imannya dengan mengutamakan kepentingan orang lain. (Yoh. 13:34, 35) Apabila kita nampak seseorang memerlukan bantuan fizikal, emosi, atau rohani, adakah kita sudi membuat pengorbanan dan membantu mereka? Jika kita berbuat demikian, Yehuwa pasti senang hati!

15 Barangkali anak-anak kapal itu juga tersentuh dengan kata-kata Yunus kerana mereka enggan mencampakkannya ke dalam laut. Mereka berusaha bermati-matian untuk mendayung kapal ke  daratan, tetapi laut semakin bergelora dan usaha mereka sia-sia sahaja. Akhirnya, mereka tiada pilihan. Maka mereka berseru kepada Yehuwa untuk meminta belas kasihan-Nya lalu mengangkat Yunus dan mencampakkannya ke dalam laut.​—Yun. 1:13-15.

Atas permintaan Yunus, anak-anak kapal mencampakkannya ke dalam laut

Yunus Diselamatkan oleh Tuhan

16, 17. Gambarkan apa yang berlaku kepada Yunus apabila dia dicampakkan ke dalam laut. (Lihat juga gambar-gambar.)

16 Yunus terhempas ke dalam ombak yang mengamuk itu. Barangkali dia menggapai-gapai dan berusaha untuk mengapung. Di antara gelembung-gelembung buih dan semburan ombak, dia nampak bahawa kapal itu semakin jauh daripadanya. Dia berusaha untuk berenang, tetapi ombak yang ganas terus menghempasnya dan menenggelamkannya. Seraya dia tenggelam ke dasar laut, harapannya untuk hidup juga semakin malap.

17 Kilasan-kilasan bayangan muncul dalam benaknya. Dia sedih apabila memikirkan bahawa dia tidak dapat menatap Rumah Tuhan lagi. Dia berasa bahawa dia sedang turun ke dasar laut dan rumpai laut melilitnya. Ya, nampaknya Yunus berasa bahawa tempat itu bakal menjadi kuburannya.​—Baca Yunus 2:2-6.

18, 19. Apakah yang berlaku kepada Yunus di dasar lautan? Apakah yang telah menelannya? Siapakah yang menyebabkan semua kejadian itu? (Lihat juga nota kaki.)

 18 Tetapi tiba-tiba, suatu makhluk hidup yang besar berenang ke arahnya. Makhluk itu mendekati Yunus lalu membuka rahangnya dan menelannya!

“Yehuwa menyebabkan seekor ikan besar menelan Yunus”

19 Namun sesuatu yang menakjubkan terjadi! Dia tidak dikunyah atau dicerna oleh makhluk itu. Dia masih hidup! Secara beransur-ansur, Yunus sedar bahawa Yehuwalah yang telah menyelamatkannya dengan ‘menyebabkan seekor ikan besar menelannya.’ *​—Yun. 1:17.

20. Apakah yang dapat kita pelajari daripada doa Yunus?

20 Saat berganti minit, dan minit berganti jam. Dalam kegelapan pekat, Yunus berdoa kepada Yehuwa, dan doanya dicatatkan dalam bab dua buku Yunus. Doa itu menunjukkan bahawa Yunus mempunyai banyak pengetahuan Bible kerana dia selalu memetik ayat Mazmur. Doa itu juga menyingkapkan kesyukurannya. Yunus mengakhiri doanya dengan berkata, “Tetapi bagi aku, aku akan melaungkan pujian kepada-Mu dan mempersembahkan korban kepada-Mu. Aku akan menepati segala janjiku kepada-Mu. Ya Yehuwa, Engkaulah Penyelamatku.”​—Yun. 2:9.

21. Apakah hakikat penting berkenaan penyelamatan yang dipelajari oleh Yunus? Apakah pengajaran penting yang dapat kita raih daripada kisah ini?

21 Sewaktu Yunus “berada di dalam perut ikan,” dia mempelajari satu hakikat penting: Yehuwa dapat menyelamatkan sesiapa sahaja, tidak kira waktu atau tempatnya. Meskipun Yunus berada di dalam perut ikan, Yehuwa masih dapat mencarinya dan menyelamatkannya. (Yun. 1:17) Hanya Yehuwa yang dapat memelihara nyawa Yunus semasa dia berada di dalam perut ikan itu. Ya, Yehuwa  ialah “Tuhan yang dapat menentukan hidup mati” kita. (Dan. 5:23) Kita wujud dan hidup kerana Tuhan. Maka bukankah kita patut bersyukur kepada-Nya dan mentaati-Nya?

22, 23. (a) Bagaimanakah kesyukuran Yunus diuji? (b) Bagaimanakah teladan Yunus dapat membantu kita jika kita telah melakukan kesilapan?

22 Bagaimana pula dengan Yunus? Selepas tiga hari dan tiga malam berlalu, ikan itu “memuntahkan Yunus ke darat.” (Yun. 2:10) Bayangkanlah setelah segala-gala yang telah berlaku, Yunus tidak perlu berenang ke darat pun! Kemudian kesyukuran Yunus diuji. Yunus 3:1, 2 menyatakan, “Yehuwa berfirman kepada Yunus untuk kali kedua, ‘Pergilah ke Niniwe, kota besar itu. Beritahulah penduduk kota itu perkhabaran yang Aku sampaikan kepadamu.’” Apakah yang akan dilakukan oleh Yunus? Adakah dia sudi menunjukkan kesyukurannya kepada Yehuwa melalui kepatuhannya?

23 Ya, Yunus mentaati firman Yehuwa dan segera pergi ke kota Niniwe. (Yun. 3:3) Jelaslah bahawa dia telah belajar daripada kesilapannya. Kita juga patut meniru iman Yunus. Kita semua berdosa dan melakukan kesilapan. (Rm. 3:23) Tetapi adakah kita akan berputus asa, atau adakah kita akan belajar daripada kesilapan kita dan berusaha untuk mematuhi Tuhan?

24, 25. (a) Apakah berkat yang diraih oleh Yunus? (b) Apakah berkat yang menantikannya pada masa depan?

24 Adakah Yehuwa memberkati Yunus kerana kepatuhannya? Ya. Pada kemudian hari, Yunus mendapat tahu bahawa anak-anak kapal itu terselamat. Selepas mereka mencampakkannya ke dalam laut, laut menjadi tenang semula. Oleh itu, mereka “menjadi sangat takut akan Yehuwa” lalu mempersembahkan korban kepada-Nya, dan bukan kepada tuhan-tuhan palsu mereka.​—Yun. 1:15, 16.

25 Yunus akan menerima berkat yang lebih besar pada masa depan. Yesus telah menggunakan jangka masa Yunus berada di dalam perut ikan yang besar untuk menggambarkan jangka masa dia akan berada dalam Kuburan. (Baca Matius 12:38-40.) Yunus pasti sangat gembira untuk mendengar tentang hal ini apabila dia dibangkitkan di bumi kelak. (Yoh. 5:28, 29) Jika anda meniru teladan Yunus dengan belajar daripada kesilapan anda, mentaati Yehuwa, dan menunjukkan sikap rela berkorban, Yehuwa juga akan memberkati anda.

^ per. 4 Berkenaan Yesus, orang Farisi pernah berkata, “Selidikilah Ayat-Ayat Suci dan kamu akan mendapati bahawa tiada nabi yang akan berasal dari Galilea.” (Yoh. 7:52) Sebenarnya Yunus berasal dari sebuah kota di daerah Galilea. Menurut banyak penterjemah dan pengkaji Bible, orang Farisi sedang membuat kesimpulan secara umum bahawa tiada nabi yang pernah muncul dari Galilea. Jika begitu, nampaknya orang Farisi langsung tidak menghiraukan sejarah atau nubuat Bible.​—Yes. 9:1, 2.

^ per. 12 Buku Septuagint menyatakan bahawa Yunus bahkan berdengkur. Tetapi kita tidak patut menyalahkan Yunus dan berkata bahawa dia bersikap acuh tak acuh. Kadangkala apabila seseorang berasa kecewa dan sedih, dia mungkin berasa sangat mengantuk. Contohnya, semasa Yesus menghabiskan saat-saat terakhirnya di Taman Getsemani, Petrus, Yakobus, dan Yohanes, juga tertidur kerana “terlalu sedih.”​—Luk. 22:45.

^ per. 19 Perkataan Ibrani bagi “ikan” yang diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani membawa erti “raksasa laut,” atau “ikan yang besar.” Kita tidak tahu secara tepat makhluk yang digunakan oleh Yehuwa untuk menelan Yunus. Meskipun begitu, ada kajian yang menunjukkan bahawa di Laut Mediterranean, terdapat ikan yu yang sangat besar dan berupaya untuk menelan bulat-bulat seorang manusia. Di tempat lain, terdapat ikan yu yang jauh lebih besar, yang panjangnya dapat mencapai lebih daripada 15 meter!