Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB ENAM

Dia Mencurahkan Isi Hatinya kepada Tuhan

Dia Mencurahkan Isi Hatinya kepada Tuhan

1, 2. (a) Mengapakah Hana berdukacita? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

HANA menyibukkan dirinya dengan membuat persediaan untuk perjalanan ke Silo agar tidak dibelenggu oleh masalahnya. Setiap tahun, suaminya Elkana akan membawa mereka sekeluarga ke Silo untuk beribadat di khemah suci Tuhan. Peristiwa ini sepatutnya merupakan sesuatu yang menggembirakan, dan Yehuwa pun ingin umat-Nya bersukacita semasa perayaan-perayaan ini. (Baca Ulangan 16:15.) Sejak kecil lagi, Hana suka menyambut perayaan-perayaan ini, tetapi segala-galanya berubah sejak kebelakangan ini.

2 Elkana amat menyayangi isterinya Hana, tetapi dia juga mempunyai seorang lagi isteri yang bernama Penina. Penina suka menyakiti hati Hana, dan dia menggunakan musim perayaan sebagai kesempatan untuk mencemuh Hana. Apakah yang telah dilakukan oleh Penina? Lebih penting lagi, dalam situasi yang nampaknya tiada penyelesaian ini, bagaimanakah iman Hana terhadap Yehuwa membantunya? Jika anda menghadapi cabaran yang melemahkan semangat seperti Hana, kisahnya dapat membantu anda.

“Kenapa Begitu Sedih?”

3, 4. Apakah dua masalah besar yang dihadapi Hana? Jelaskan.

3 Bible menyatakan bahawa Hana menghadapi dua masalah besar. Kedua-dua masalah ini berada di luar kawalannya. Masalah pertama ialah suaminya mempunyai seorang lagi isteri, dan madunya itu membencinya dan selalu menyusahkan hidupnya. Masalah kedua ialah dia mandul. Dia pasti sangat terseksa kerana dia amat menginginkan anak-anak. Lagipun pada zamannya, kemandulan merupakan sesuatu yang amat memalukan, kerana setiap keluarga harus mempunyai anak-anak untuk memastikan agar garis keturunan mereka tidak lenyap.

 4 Hana mungkin dapat memikul beban ini dengan tabah jika Penina tidak menyusahkan hidupnya. Sebenarnya perkahwinan poligami bukanlah kehendak Tuhan. Di Taman Eden, Tuhan mengasaskan perkahwinan monogami, iaitu perkahwinan antara satu orang lelaki dengan satu orang wanita. (Kej. 2:24) Apabila menyebut tentang perkahwinan poligami, Bible selalu menggambarkan keluarga yang dirundung masalah, seperti yang berlaku dalam keluarga Elkana. Ya, persaingan, persengketaan, dan rasa sakit hati, merupakan norma dalam perkahwinan poligami.

5. Mengapakah Penina menyakiti hati Hana? Bagaimanakah dia berbuat demikian?

5 Elkana lebih mencintai Hana daripada Penina. Menurut kisah turun-temurun orang Yahudi, Elkana mengahwini Hana terlebih dahulu, dan beberapa tahun kemudian barulah dia mengahwini Penina. Penina amat cemburu dengan Hana, maka dia berusaha untuk menyakiti hatinya. Penina tahu bahawa Hana amat sedih kerana dia mandul, tetapi Penina langsung tidak mengasihani Hana atau mencuba melegakan hatinya. Seraya bilangan anak Penina bertambah, egonya juga semakin besar. Bible menyatakan bahawa Penina “terus-menerus mencemuh Hana untuk menyakiti hatinya.” (1 Sam. 1:6) Ya, Penina sengaja menyakiti hati Hana, dan hasrat jahatnya memang tercapai.

Hana amat sedih kerana kemandulannya, dan Penina asyik menyakiti hatinya

6, 7. (a) Apabila Elkana mencuba memujuk Hana, mengapakah Hana tidak memberitahu suaminya apa yang telah berlaku? (b) Jelaskan maksud ungkapan “Yehuwa tidak memberikan anak kepada Hana.” (Lihat nota kaki.)

6 Nampaknya Penina mengambil kesempatan untuk menyakiti hati Hana semasa mereka sekeluarga pergi ke Silo. Pada waktu itu, Penina dan “semua anak lelaki dan anak perempuannya” masing-masing menerima satu bahagian korban yang dipersembahkan, tetapi Hana hanya mendapat satu bahagian. Oleh sebab Hana tidak mempunyai anak, Penina sengaja mengingatkan Hana tentang kemandulannya. Hal itu membuat Hana begitu sedih sehingga dia menangis dan tidak lalu makan. Elkana nampak bahawa Hana sangat sedih, maka dia memujuknya dengan berkata, “Hana, kenapa kamu menangis? Kenapa tidak mahu makan? Kenapa begitu sedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada 10 orang anak lelaki?”​—1 Sam. 1:4-8.

7 Elkana seorang suami yang baik. Dia dapat menyimpulkan bahawa kesedihan Hana berkaitan dengan kemandulannya, maka dia  mencuba menenangkan hati Hana. * Bible tidak mencatatkan bahawa Elkana tahu tentang kelakuan buruk Penina. Jadi nampaknya Hana tidak memberitahu suaminya apa yang telah berlaku. Hana tahu bahawa jika dia mendedahkan perbuatan jahat Penina, situasinya mungkin akan bertambah buruk. Dia mungkin berfikir bahawa meskipun Elkana tahu apa yang sedang berlaku, Elkana bukannya dapat melakukan apa-apa. Lagipun Penina mungkin akan lebih membencinya, dan anak-anak serta hamba Penina juga akan membencinya. Jika hal ini terjadi, Hana pasti akan berasa lebih tersisih.

Sewaktu Hana dilayan dengan buruk di rumah, dia mencari kelegaan hati daripada Yehuwa

8. Mengapakah anda dapat berasa lega meskipun dilayan dengan buruk?

8 Tidak kira sama ada Elkana tahu tentang perbuatan buruk Penina atau tidak, Yehuwa tahu akan segala-galanya. Dia telah mencatatkan peristiwa ini dalam Firman-Nya sebagai amaran kepada orang yang melakukan hal-hal yang jahat kerana rasa cemburu. Selain itu, hal ini mengingatkan kita bahawa orang yang tidak bersalah dan suka berdamai, seperti Hana, dapat berasa lega kerana Tuhan itu adil dan Dia akan membetulkan keadaan mengikut masa yang telah ditetapkan-Nya. (Baca Ulangan 32:4.) Hana mungkin sedar akan hal ini kerana dia berseru kepada Yehuwa untuk meminta bantuan.

“Mukanya Tidak Sedih Lagi”

9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Hana?

9 Semua orang dalam keluarga Elkana, termasuk anak-anak kecil, pasti sangat sibuk pada pagi mereka akan bertolak ke Silo. Mereka semua perlu merentasi pergunungan Efraim dan membuat perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer, * dan perjalanan itu mengambil masa satu atau dua hari. Meskipun Hana tahu bahawa Penina akan menyakiti hatinya, dia masih pergi ke Silo. Para penyembah Tuhan dewasa ini patut mencontohi teladan Hana. Kita tidak patut membenarkan perbuatan buruk orang lain untuk menghalang kita daripada menyembah Tuhan. Jika tidak, kita akan kehilangan berkat yang dapat membantu kita untuk bertabah.

10, 11. (a) Mengapakah Hana segera pergi ke khemah suci? (b) Bagaimanakah Hana mencurahkan isi hatinya kepada Bapanya?

10 Selepas berjalan sehari suntuk, mereka tiba di Silo. Kota Silo terletak di atas sebuah bukit yang dikelilingi gunung-gunung yang  lebih tinggi. Seraya mereka mendekati kota itu, Hana mungkin berfikir tentang apa yang ingin didoakannya. Setibanya di situ, mereka sekeluarga makan. Setelah itu, Hana segera meninggalkan mereka dan pergi ke khemah suci Yehuwa. Pada masa itu, Imam Agung Eli sedang duduk berhampiran tiang pintu khemah itu, tetapi Hana tidak menyedari kehadirannya kerana dia sedang berfikir tentang Yehuwa. Dia yakin bahawa Bapanya yang di syurga akan mendengar doanya dan memahami keperitannya. Dia tunduk untuk berdoa dan mula menitiskan air mata.

11 Bahunya bergoyang-goyang kerana menahan sebak di dada, dan bibirnya terketar-ketar seraya dia berdoa dalam hatinya. Dia berdoa lama sekali dan mencurahkan isi hatinya kepada Bapanya. Dia meminta Tuhan agar mengabulkan keinginannya untuk mempunyai seorang anak. Tetapi dia tidak mementingkan diri. Dia berikrar bahawa jika dia mendapat seorang anak lelaki, dia akan menyerahkan anak itu kepada Yehuwa, dan anak itu akan berkhidmat kepada Tuhan seumur hidupnya.​—1 Sam. 1:9-11.

12. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Hana semasa kita berdoa?

12 Semua penyembah Tuhan patut mencontohi cara Hana berdoa. Yehuwa ingin kita mencurahkan isi hati kepada-Nya dalam doa, sepertimana seorang anak mencurahkan isi hatinya kepada ibu bapanya. (Baca Mazmur 62:8; 1 Tesalonika 5:17.) Berkenaan doa, Petrus menulis, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 Ptr. 5:7.

13, 14. (a) Mengapakah Eli menyimpulkan bahawa Hana mabuk? (b) Bagaimanakah Hana menetapkan teladan baik untuk kita?

13 Tetapi manusia tidak begitu bertimbang rasa dan bersimpati seperti Yehuwa. Semasa Hana masih berdoa, dia dikejutkan oleh suara Imam Agung Eli. Eli nampak bahu Hana bergoyang-goyang, dan bibirnya terketar-ketar. Maka tanpa usul periksa, Eli menyimpulkan bahawa Hana mabuk dan berkata kepadanya, “Sampai bila kamu akan terus mabuk? Jangan minum wain lagi.”​—1 Sam. 1:12-14.

14 Hana pasti terkejut dan sedih dengan tuduhan yang tidak berasas itu. Lebih-lebih lagi, orang yang menuduhnya ialah imam agung yang dihormati orang! Biarpun begitu, Hana tetap memberikan teladan yang baik. Dia tidak membenarkan ketidaksempurnaan orang untuk menghalangnya daripada menyembah Yehuwa. Dia menjawab Eli dengan nada yang penuh hormat dan menjelaskan apa yang berlaku. Setelah mendengarnya, Eli mungkin menjawabnya dengan nada yang lebih lembut, “Pergilah dengan sejahtera dan semoga Tuhan orang Israel mengabulkan permohonanmu.”​—1 Sam. 1:15-17.

15, 16. (a) Apakah perasaan Hana setelah dia meluahkan isi hatinya kepada Yehuwa? (b) Apabila kita bergelut dengan perasaan negatif, bagaimanakah kita dapat meniru teladan Hana?

 15 Apakah perasaan Hana setelah dia meluahkan isi hatinya kepada Yehuwa? Bible menyatakan, “Hana beredar dari situ, lalu dia makan dan mukanya tidak sedih lagi.” (1 Sam. 1:18) Ya, setelah Hana menyerahkan beban emosinya kepada Bapanya yang di syurga, dia tidak bersedih lagi. (Baca Mazmur 55:22.) Tidakkah anda berasa lega kerana dapat melemparkan apa-apa beban kepada Yehuwa?

16 Apabila kita dibebani masalah atau dibelenggu perasaan sedih, kita patut meniru teladan Hana dan mencurahkan isi hati kita kepada Yehuwa, iaitu “Pendengar doa.” (Mzm. 65:2) Jika kita berdoa dengan iman yang teguh, kesedihan kita akan digantikan dengan “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.”​—Flp. 4:6, 7.

“Tiada Batu yang Kukuh seperti Engkau”

17, 18. (a) Bagaimanakah Elkana menunjukkan bahawa dia bersetuju dengan ikrar Hana? (b) Apakah yang disedari oleh Penina?

17 Pada keesokan paginya, Hana kembali ke khemah suci bersama Elkana. Barangkali Hana telah memberitahu suaminya tentang ikrarnya, kerana Hukum Musa menyatakan bahawa seorang suami berhak untuk membatalkan ikrar yang dibuat oleh isterinya tanpa persetujuannya. (Bil. 30:10-15) Tetapi Elkana tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia dan Hana bersama-sama menyembah Yehuwa di khemah suci sebelum mereka berangkat pulang.

18 Bilakah Penina sedar bahawa tindakannya tidak mempengaruhi Hana lagi? Kita tidak tahu kerana selepas peristiwa itu, Bible tidak menyebut tentang Penina lagi. Tetapi ungkapan “tidak sedih lagi” menunjukkan bahawa sejak masa itu, Hana lebih bersemangat dan tidak lagi dipengaruhi oleh cemuhan Penina.

19. Apakah berkat yang diterima oleh Hana? Bagaimanakah dia menunjukkan bahawa dia bersyukur kepada Tuhan?

19 Selepas beberapa bulan, Hana mendapati bahawa dia hamil! Biarpun begitu, dia tidak pernah lupa bahawa anak itu ialah kurniaan Tuhan. Apabila anak itu dilahirkan, dia menamakannya Samuel, yang bererti “Nama Tuhan,” untuk menunjukkan bahawa dia telah berseru kepada Tuhan untuk meminta anak. Pada tahun itu, Hana tidak pergi ke Silo bersama Elkana dan keluarga mereka. Selama tiga tahun, dia tinggal di rumah bersama Samuel, iaitu sehingga anak itu bercerai susu. Kemudian dia menguatkan hatinya agar dia dapat bertabah apabila hari dia harus berpisah dengan anak kesayangannya tiba.

20. Bagaimanakah Hana dan Elkana menunaikan ikrar mereka kepada Yehuwa?

 20 Hana tahu bahawa Samuel akan dijaga dengan baik di Silo, mungkin oleh para wanita yang berkhidmat di khemah suci. Tetapi anaknya masih kecil dan dia pasti ingin berada di sisi anaknya. Maka perpisahan itu pasti menyayat hatinya. Biarpun Hana dan Elkana akan merindui Samuel, mereka masih bersyukur kepada Tuhan dan sudi membawa Samuel ke Silo. Apabila mereka sampai di khemah suci, mereka mempersembahkan korban kepada Tuhan. Kemudian mereka membawa Samuel kepada Eli, dan mengingatkannya tentang ikrar yang dibuat oleh Hana tiga tahun sebelumnya.

Hana ialah seorang ibu yang baik

21. Bagaimanakah doa yang diucapkan oleh Hana menunjukkan imannya kepada Yehuwa? (Lihat juga kotak “ Dua Doa yang Istimewa.”)

21 Selepas itu, Hana berdoa kepada Tuhan. Doanya tulus dan begitu bermakna sehingga Tuhan telah mencatatkan doanya di 1 Samuel 2:1-10. Apabila anda membaca doanya, anda dapat melihat betapa teguhnya iman Hana. Hana memuji Yehuwa kerana Dia maha kuasa. Dia mengakui bahawa Tuhan dapat merendahkan orang yang angkuh dan memberkati orang yang ditindas, dan dapat mengambil nyawa seseorang atau menyelamatkan nyawa orang itu. Selain itu, Hana memuji Yehuwa atas kesucian-Nya, keadilan-Nya, dan kesetiaan-Nya. Hana berkata, “Ya Tuhan, tiada batu yang kukuh seperti Engkau.” Sesungguhnya Yehuwa dapat dipercayai dan Dia tidak akan berubah. Dia ialah tempat perlindungan bagi semua orang yang ditindas dan yang patah hati.

22, 23. (a) Bagaimanakah kita tahu bahawa Samuel dapat merasai kasih ibu bapanya seraya dia membesar? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati Hana?

22 Samuel pasti sangat bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang beriman kepada Yehuwa. Biarpun dia merindui ibunya,  dia masih dapat merasai kasih ibunya. Setiap tahun, ibunya akan melawatnya di Silo, dan memberinya sehelai jubah yang tidak berlengan. Setiap lembaran benang pada jubah itu menyingkapkan kasih Hana terhadap Samuel. (Baca 1 Samuel 2:19.) Bayangkanlah Hana mengenakan jubah itu pada Samuel sambil mengucapkan kata-kata yang lembut untuk menggalakkannya. Oleh sebab Samuel diberkati dengan ibu yang sangat beriman, dia dapat menjadi berkat kepada ibu bapanya dan seluruh bangsa Israel pada kemudian hari.

23 Yehuwa juga memberkati Hana dengan memberinya lima orang anak lagi. (1 Sam. 2:21) Tetapi bagi Hana, berkat terbesar ialah ikatan persahabatannya dengan Yehuwa, yang bertambah kuat seraya masa berlalu. Jika anda meniru iman Hana, anda juga dapat memupuk persahabatan yang erat dengan Yehuwa dan diberkati-Nya.

^ per. 7 Meskipun Bible menyatakan bahawa “Yehuwa tidak memberikan anak kepada Hana,” hal ini tidak bererti bahawa Tuhan menghukum Hana dan membuatnya mandul. (1 Sam. 1:5) Kadangkala sewaktu Bible menyebutkan bahawa Tuhan menyebabkan sesuatu kejadian, Bible memaksudkan bahawa Dia sekadar mengizinkannya terjadi buat suatu jangka masa.

^ per. 9 Jika kampung Elkana, iaitu Rama, ialah tempat yang sama dengan Arimatea pada zaman Yesus, maka jarak di antara Silo dan Rama ialah kira-kira 30 kilometer.