Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pengenalan

Pengenalan

“Tirulah contoh mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.”​—IBRANI 6:12.

1, 2. Bagaimanakah seorang penyelia lawatan memandang watak-watak Bible? Mengapakah mereka boleh menjadi sahabat yang baik kepada anda?

“WATAK-WATAK Bible seperti sahabat karibnya,” kata seorang saudari setelah dia mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang penyelia lawatan yang sudah lanjut usia. Penyelia lawatan itu telah mengkaji Firman Tuhan dan mengajarkannya selama berpuluh-puluh tahun, sehingga dia mengenal watak-watak Bible dengan begitu baik. Ya, mereka seolah-olah sudah menjadi sahabat rapatnya.

2 Seperti penyelia lawatan itu, watak-watak Bible seperti Nuh, Abraham, Rut, Elia, dan Ester, juga dapat menjadi sahabat baik anda. Bayangkanlah bahawa anda dapat bergaul dan bercakap dengan mereka. Mereka pasti dapat memberi anda nasihat dan galakan.​—Baca Amsal 13:20.

3. (a) Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat daripada kisah hidup watak-watak Bible? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

3 Anda dapat menjadi sahabat watak-watak Bible itu apabila Tuhan membangkitkan mereka pada masa hadapan. (Kis. 24:15) Tetapi, sekarang pun anda dapat meraih manfaat daripada iman yang ditunjukkan oleh mereka. Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian? Rasul Paulus berkata, “Tirulah contoh mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.” (Ibr. 6:12) Seraya anda mempelajari kisah hidup mereka, anda boleh memikirkan soalan-soalan yang berikut: Apakah itu iman? Mengapakah kita perlu beriman? Bagaimanakah kita dapat meniru iman yang ditunjukkan oleh para lelaki dan wanita yang setia itu?

Apakah Itu Iman? Mengapakah Kita Perlu Beriman?

4. Apakah pandangan orang tentang iman? Mengapakah pandangan mereka itu salah?

4 Iman amat penting dan sangat dihargai oleh lelaki dan wanita yang akan kita pelajari dalam buku ini. Sedih sekali, ramai orang dewasa ini tidak menghargainya. Mereka berpendapat bahawa iman bererti mempercayai sesuatu tanpa usul periksa. Tetapi pandangan mereka itu salah. Iman perlu didasarkan pada bukti yang kukuh. Selain itu, iman bukanlah perasaan yang timbul  dan hilang dalam sekelip mata. Lagipun, sekadar mempercayai bahawa Tuhan wujud tidak mencukupi kerana “roh-roh jahat pun percaya,” tetapi mereka tidak beriman.​—Yak. 2:19.

5, 6. (a) Nyatakan dua aspek iman. (b) Bagaimanakah iman sejati didasarkan pada bukti yang kukuh? Berikan contoh.

5 Bible menjelaskan erti iman sejati. (Baca Ibrani 11:1.) Paulus menunjukkan bahawa iman sejati merangkumi dua aspek. Yang pertama, kita beriman terhadap hal-hal yang “tidak dapat dilihat,” seperti Tuhan Yehuwa, Anak-Nya, dan Kerajaan-Nya di syurga. Yang kedua, kita beriman terhadap “apa yang diharapkan,” iaitu apa yang belum berlaku, seperti kedatangan dunia baharu di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. Jadi adakah hal ini bererti bahawa iman kita tidak berasas?

6 Tidak! Paulus menjelaskan bahawa iman sejati didasarkan pada bukti yang kukuh. Dia menulis, “Iman ialah keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.” Iman boleh disamakan dengan surat hak milik sebuah rumah. Jika kita mempunyai surat hak milik itu, kita yakin bahawa kita merupakan pemiliknya. Memandangkan kita beriman bahawa Tuhan sentiasa menepati janji-Nya, “surat hak milik” ini memberi kita jaminan bahawa janji-janji yang kita nantikan pasti akan menjadi kenyataan.

7. Iman sejati merangkumi apa?

7 Maka iman sejati merangkumi keyakinan teguh yang dibina atas pengetahuan kita tentang Tuhan Yehuwa. Jika kita benar-benar beriman terhadap Yehuwa, kita akan memandang-Nya sebagai Bapa kita yang pengasih dan yakin bahawa semua janji-Nya akan menjadi kenyataan. Selain itu, iman sejati juga merangkumi tindakan kita. Sebagaimana tumbuhan memerlukan nutrien untuk terus bertumbuh, iman kita perlu disertai perbuatan untuk terus bertambah kuat.​—Yak. 2:26.

8. Mengapakah kita perlu beriman?

8 Mengapakah kita perlu beriman? Paulus memberitahu kita sebabnya. (Baca Ibrani 11:6.) Tanpa iman, kita tidak dapat menghampiri Yehuwa atau menyenangkan hati-Nya. Matlamat hidup kita ialah menghampiri Yehuwa dan memuliakan-Nya. Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan iman.

9. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita membina iman?

9 Yehuwa tahu bahawa kita perlu membina iman yang kuat, maka Dia memberikan contoh-contoh yang baik agar kita dapat berbuat demikian. Misalnya, Dia melantik para saudara untuk mengambil pimpinan  dalam sidang, dan kita digalakkan untuk ‘meniru iman mereka.’ (Ibr. 13:7) Paulus juga menyebut tentang “banyak saksi yang bagaikan awan di sekeliling kita.” (Ibr. 12:1) Dia memaksudkan watak-watak Bible yang merupakan teladan baik dalam menunjukkan iman. Sebenarnya mereka yang disebutkan oleh Paulus di Ibrani bab 11 hanyalah sebilangan kecil daripada hamba Tuhan yang beriman. Lembaran Bible sarat dengan kisah benar tentang lelaki dan wanita yang beriman. Ada antara mereka yang tua dan ada yang muda, dan mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Sememangnya mereka merupakan contoh baik bagi kita yang hidup dewasa ini.

Bagaimanakah Kita Dapat Meniru Iman Orang Lain?

10. Bagaimanakah anda dapat melakukan pembelajaran peribadi dengan menggunakan buku ini?

10 Anda perlu memerhatikan seseorang terlebih dahulu sebelum anda dapat menirunya. Buku ini memuatkan hasil kajian yang terperinci tentang watak-watak Bible supaya anda dapat meniru iman mereka. Tetapi semasa anda mempelajari buku ini, anda juga digalakkan untuk menggunakan alat penyelidikan yang ada untuk membuat kajian yang selanjutnya. Semasa melakukan pembelajaran peribadi, renungkanlah apa yang anda baca. Gunakanlah daya imaginasi anda untuk melihat, menghidu, merasa, dan mendengar apa yang berlaku. Yang terpenting, selamilah perasaan watak-watak itu. Jika anda dapat memahami perasaan dan keadaan mereka, mereka akan menjadi lebih nyata, bahkan mereka mungkin akan menjadi sahabat rapat anda.

11, 12. (a) Bagaimanakah Abram dan Sarai dapat menjadi sahabat rapat anda? (b) Bagaimanakah teladan Hana, Elia, dan Samuel dapat membantu anda?

11 Jika anda betul-betul mengenali watak-watak Bible, anda akan mencuba meniru teladan mereka. Bayangkanlah bahawa anda mendapat tugasan yang baharu daripada Yehuwa. Anda mungkin diberi peluang untuk meluaskan khidmat anda, seperti berpindah ke kawasan yang memerlukan lebih banyak bantuan atau menggunakan cara menginjil yang baharu. Apakah yang akan anda lakukan? Anda akan berdoa, tetapi anda juga boleh merenungkan teladan Abram. Dia dan Sarai sudi meninggalkan kehidupan mereka yang selesa di kota Ur, dan Yehuwa memberkati mereka dengan melimpah. Jika anda meniru teladan mereka, anda dapat mengenali mereka dengan lebih mendalam.

12 Bagaimana pula jika seorang saudara atau saudari menyakiti hati anda? Anda  mungkin akan berasa tawar hati dan bahkan tidak mahu pergi ke perjumpaan. Tetapi jika anda merenungkan teladan Hana dan cara dia menghadapi celaan Penina, anda dapat membuat keputusan yang betul. Selain itu, jika anda berasa tidak berguna dan patah semangat, teladan Elia dapat membantu anda. Adakah anda masih muda dan menghadapi tekanan rakan sebaya untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral? Cara Samuel melawan pengaruh buruk anak-anak Eli semasa dia berkhidmat di khemah suci Tuhan dapat membantu anda. Ya, jika anda merenungkan teladan mereka, mereka akan menjadi sahabat rapat anda.

13. Jika anda meniru iman watak-watak Bible, adakah hal ini bermakna bahawa anda kehilangan identiti sendiri? Jelaskan.

13 Jika anda meniru iman watak-watak Bible, adakah hal ini bermakna bahawa anda kehilangan identiti sendiri dan hidup dalam bayangan orang lain? Tidak! Ingatlah bahawa Firman Tuhan menggalakkan kita untuk meniru teladan mereka. (1 Kor. 4:16; 11:1; 2 Tes. 3:7, 9) Tambahan lagi, watak-watak Bible itu juga meniru iman orang lain. Misalnya, dalam Bab 17 buku ini, kita dapat melihat bahawa Maria memetik kata-kata Hana. Ya, Maria sedang meniru teladan Hana. Adakah hal ini bererti bahawa iman Maria tidak sekuat iman Hana? Tidak! Sebaliknya, teladan Hana membantu Maria untuk membina imannya dan mengukir nama yang baik di mata Yehuwa.

14, 15. Nyatakan beberapa ciri buku ini. Bagaimanakah kita dapat menggunakan buku ini?

14 Buku ini bertujuan untuk membantu anda menguatkan iman anda. Bab-bab yang berikutnya dipetik daripada siri rencana “Tirulah Iman Mereka” yang diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal. Tetapi buku ini telah memuatkan maklumat yang baharu. Soalan-soalan telah ditambah untuk membantu anda membuat pembelajaran dan penerapan. Gambar yang sedia ada telah diperbaik, dan gambar-gambar baharu yang berwarna-warni telah ditambah. Selain itu, buku ini juga mengandungi ciri-ciri tambahan, seperti garis masa dan peta. Buku Tirulah Iman Mereka boleh digunakan untuk pembelajaran peribadi, keluarga, dan sidang. Anda dan keluarga anda juga boleh membaca buku ini bersama-sama.

15 Semoga buku ini dapat membantu anda meniru iman hamba-hamba Yehuwa yang setia pada zaman dahulu. Kami juga berharap agar buku ini dapat membantu anda membina iman anda dan menghampiri Yehuwa, Bapa kita yang di syurga!