Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB SEMBILAN

Dia Bertindak dengan Bijak

Dia Bertindak dengan Bijak

1-3. (a) Mengapakah rumah tangga Nabal berada dalam situasi yang berbahaya? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam bab ini?

ABIGAIL nampak ketakutan yang terpancar pada wajah pemuda yang berdiri di depannya. Pemuda itu sangat takut kerana sekitar 400 orang pahlawan sedang datang untuk membunuh setiap lelaki dalam rumah tangga Nabal, iaitu suami Abigail. Mengapa?

2 Semua ini gara-gara Nabal. Dia angkuh dan selalu melayan orang dengan buruk. Tetapi kali ini, orang yang dihinanya bukan orang sembarangan; dia telah menghina seorang panglima tentera yang mengetuai sepasukan pahlawan yang mahir dan setia. Maka sekarang, pemuda itu, yang bekerja untuk Nabal, datang kepada Abigail untuk meminta tolong. Tetapi bagaimanakah seorang wanita dapat menghalang sepasukan tentera?

Bagaimanakah seorang wanita dapat menghalang sepasukan tentera?

3 Sebelum kita menjawab soalan ini, marilah kita belajar lebih banyak tentang Abigail. Siapakah wanita yang menakjubkan ini? Bagaimanakah krisis ini tercetus? Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada kisah Abigail?

“Bijak dan Cantik”

4. Gambarkan keperibadian Nabal.

4 Abigail dan Nabal bukanlah pasangan yang serasi, kerana Nabal jahat sedangkan Abigail baik. Oleh sebab Nabal sangat kaya, dia menganggap dirinya penting. Tetapi apakah tanggapan orang lain terhadap Nabal? Menurut Bible, nama “Nabal” bererti “Tidak Berguna” atau “Bodoh.” Adakah ibu bapanya memberinya nama ini? Atau adakah nama ini julukan yang diberikan kepadanya pada kemudian  hari? Kita tidak tahu, tetapi nama ini memang amat sesuai baginya kerana dia “kasar dan berkelakuan buruk.” Ya, dia seorang kaki buli dan kaki botol yang dibenci dan ditakuti oleh semua orang.​—1 Sam. 25:2, 3, 17, 21, 25.

5, 6. (a) Apakah sifat Abigail yang paling menarik bagi anda? (b) Barangkali apakah sebabnya Abigail berkahwin dengan lelaki yang tidak berguna seperti Nabal?

5 Nama “Abigail” pula bererti “Ayahku Membuat Dirinya Gembira.” Banyak bapa akan berasa bangga jika anak perempuan mereka cantik, tetapi seorang bapa yang bijaksana akan berasa lebih gembira jika anak perempuannya mempunyai kecantikan dalaman. Biasanya orang yang cantik atau kacak tidak memupuk sifat-sifat yang baik seperti pengertian, kebijaksanaan, keberanian, atau iman. Tetapi Bible menyatakan bahawa Abigail bukan sahaja bijak, dia bahkan juga cantik.​—Baca 1 Samuel 25:3.

6 Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah wanita yang bijak ini berkahwin dengan lelaki yang tidak berguna seperti Nabal?” Ingatlah bahawa pada zaman Bible, banyak perkahwinan diatur oleh ibu bapa, dan persetujuan ibu bapa juga sangat penting. Adakah ibu bapa Abigail mengatur perkahwinan ini dan menyetujuinya kerana Nabal kaya dan berkedudukan? Adakah mereka terpaksa berbuat demikian kerana mereka miskin? Kita tidak pasti. Tetapi tidak kira apa pun sebabnya, Nabal bukanlah suami yang baik.

7. (a) Berkenaan perkahwinan, apakah yang tidak patut dilakukan oleh ibu bapa? (b) Apakah tekad Abigail?

7 Ibu bapa yang bijak akan mengajar anak mereka tentang pandangan Tuhan terhadap perkahwinan. Mereka tidak akan memaksa anak mereka untuk berkahwin kerana duit. Mereka juga tidak akan menggalakkan anak untuk berdating jika anak masih terlalu muda dan belum mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri. (1 Kor. 7:36) Tetapi Abigail sudah berkahwin dengan Nabal, dan dia tidak dapat mengubah keadaannya. Meskipun begitu, dia masih bertekad untuk menjadi isteri yang baik.

“Dia Menghina Mereka”

8. Nabal telah menghina siapa? Mengapakah perbuatannya itu sangat bodoh?

8 Nabal baru sahaja membuat hidup Abigail lebih susah. Dia telah menghina Daud, iaitu lelaki yang dipilih oleh Yehuwa untuk menggantikan Saul sebagai raja. (1 Sam. 16:1, 2, 11-13) Daud terpaksa melarikan diri dan tinggal di padang belantara bersama 600 orang pahlawannya yang setia kerana Saul ingin membunuhnya.

9, 10. (a) Gambarkan keadaan hidup Daud dan para pahlawannya. (b) Mengapakah Nabal sepatutnya menghargai perlindungan Daud dan para pahlawannya? (Lihat juga nota kaki di perenggan 10.)

 9 Nabal tinggal di Maon, tetapi nampaknya dia memiliki tanah di Karmel. * Kota-kota di situ dikelilingi padang rumput yang sesuai untuk memelihara biri-biri, dan Nabal mempunyai 3,000 ekor biri-biri. Tetapi kawasan di sekelilingnya tidak berpenghuni. Di selatannya, terdapat padang belantara Paran. Di timurnya pula, terdapat jalan yang menuju ke Laut Mati, dan jalan itu merentasi kawasan terbiar yang mempunyai banyak jurang dan gua. Pastinya tidak senang bagi Daud dan para pahlawannya untuk mencari makanan di kawasan itu. Mereka sering terserempak dengan para pemuda yang menggembala kawanan Nabal di situ.

10 Para gembala dan kawanan biri-biri Nabal perlu menghadapi banyak bahaya. Mereka mungkin diserang binatang buas ataupun kumpulan perompak di sekitar kawasan itu. * Adakah para pahlawan Daud menindas gembala-gembala Nabal dan mencuri biri-biri mereka? Tidak. Sebaliknya, mereka melindungi kawanan Nabal dan para pekerjanya.​—Baca 1 Samuel 25:15, 16.

11, 12. (a) Bagaimanakah Daud meminta bantuan Nabal? (b) Apakah reaksi Nabal terhadap permintaan Daud?

11 Pada suatu hari, Daud mengutus 10 orang anak buahnya kepada Nabal untuk meminta makanan daripadanya. Daud telah memilih masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Masa itu ialah musim menggunting bulu bebiri, dan biasanya orang akan mengadakan pesta dan bersikap lebih murah hati pada masa itu. Selain itu, Daud memilih kata-katanya dengan cermat dan menggunakan gelaran hormat. Apakah reaksi Nabal?​—1 Sam. 25:5-8.

12 Nabal mengamuk dan mula “menghina mereka.” Nabal yang kedekut itu berteriak bahawa dia tidak akan memberikan roti, air, dan daging, kepada Daud. Dia juga menganggap Daud tidak penting dan menyamakannya dengan hamba yang telah melarikan diri. Seperti Saul, Nabal membenci Daud. Mereka tidak mempunyai pandangan Tuhan. Tuhan amat mengasihi Daud dan telah melantiknya menjadi raja Israel yang baharu.​—1 Sam. 25:10, 11, 14.

13. (a) Apakah reaksi pertama Daud terhadap cemuhan Nabal? (b) Bagaimanakah prinsip di Yakobus 1:20 menunjukkan bahawa Daud tidak patut berbuat demikian?

 13 Apabila utusan Daud kembali dan menceritakan apa yang berlaku, Daud menjadi sangat marah dan berkata, “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!” Maka dia dan 400 orang pahlawannya bersiap sedia untuk pergi menyerang Nabal. Dia bersumpah untuk membunuh semua lelaki dalam rumah tangga Nabal. (1 Sam. 25:12, 13, 21, 22) Kita memang tidak hairan bahawa Daud berasa marah, tetapi cara dia menunjukkan kemarahannya itu salah. Bible menyatakan, “Seseorang yang dikuasai kemarahan tidak dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan.” (Yak. 1:20) Tetapi apakah yang dapat dilakukan oleh Abigail untuk menyelamatkan rumah tangganya?

“Diberkatilah Kamu kerana Kebijaksanaanmu”

14. (a) Secara tidak langsung, apakah langkah pertama yang diambil oleh Abigail? (b) Apakah pengajaran yang dapat kita raih daripada Nabal dan Abigail? (Lihat juga nota kaki.)

14 Secara tidak langsung, Abigail telah mengambil langkah pertama untuk menyelesaikan masalah yang dicetuskan oleh Nabal. Tidak seperti Nabal, Abigail sudi mendengar cakap orang lain. Pemuda itu sendiri menjelaskan mengapa dia tidak membawa masalah ini kepada Nabal. Dia berkata, “[Nabal] memang tidak berguna dan tiada sesiapa pun yang berani bercakap dengannya.” * (1 Sam. 25:17) Ya, Nabal berfikir bahawa dirinya terlalu penting dan tidak sudi mendengar cakap orang lain. Banyak orang juga mempunyai sikap sedemikian pada hari ini. Tetapi pemuda itu tahu bahawa Abigail tidak seperti suaminya.

Tidak seperti Nabal, Abigail sudi mendengar kata-kata orang lain

15, 16. (a) Bagaimanakah Abigail menunjukkan bahawa dia seorang isteri yang cekap? (b) Adakah Abigail memberontak terhadap Nabal dan melawan kedudukannya sebagai ketua keluarga? Jelaskan.

15 Abigail berfikir dan bertindak dengan cepat. Di 1 Samuel bab 25, kita membaca sebanyak empat kali bahawa Abigail bertindak dengan segera. Dia menyediakan banyak roti, wain, biri-biri, biji-bijian, kuih kismis, dan kuih buah ara, untuk Daud dan para pahlawannya. Sememangnya Abigail tahu benar hal ehwal dalam rumah tangganya. Dia bijak menguruskan rumah tangganya dan merupakan seorang isteri yang cekap, seperti yang digambarkan di buku Amsal. (Ams. 31:10-31) Dia  menyuruh hambanya untuk menghantar semua makanan itu terlebih dahulu, dan kemudian dia menyusul. Tetapi dia tidak memberitahukan apa-apa kepada suaminya Nabal.​—1 Sam. 25:18, 19.

16 Adakah Abigail memberontak terhadap Nabal dan melawan kedudukannya sebagai ketua keluarga? Tidak. Ingatlah bahawa Nabal telah menghina raja yang dilantik oleh Yehuwa, dan hal ini mungkin menyebabkan kematian banyak orang yang tidak bersalah. Jika Abigail tidak bertindak, dia harus turut menanggung dosa suaminya. Oleh itu, dalam situasi ini, dia patuh kepada Tuhan, dan bukan kepada suaminya.

17, 18. (a) Apakah yang dilakukan oleh Abigail apabila dia nampak Daud? (b) Apakah yang dikatakannya? (c) Mengapakah kata-katanya begitu berkesan?

17 Apabila Abigail nampak Daud dan para pahlawannya, dia segera turun dari keldainya dan bersujud di hadapan Daud. (1 Sam. 25:20, 23) Kemudian dia menceritakan segala-galanya kepada Daud dan merayu agar Daud mengampuni suaminya dan seluruh rumah tangganya. Dia berjaya menenangkan situasi yang genting itu. Mengapakah kata-katanya begitu berkesan?

“Benarkanlah hamba perempuanmu ini bercakap”

18 Dia sudi menanggung kesalahan suaminya, dan meminta Daud untuk mengampuninya. Dia berkata, “Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu, kerana seperti namanya, demikianlah dia.” Kemudian dia mengakui bahawa Daud sedang “berjuang untuk Yehuwa,” dan dia tahu bahawa Daud dipilih oleh Yehuwa untuk menjadi raja. Selain itu, dia merayu Daud agar tidak menumpahkan darah kerana hal itu mungkin akan menyebabkan Daud “berasa bersalah atau menyesal.”​—Baca 1 Samuel 25:24-31.

19. Apakah reaksi Daud terhadap kata-kata Abigail? Mengapakah dia memuji Abigail?

19 Apakah reaksi Daud? Dia menerima pemberian Abigail dan berkata, “Pujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang telah mengutus kamu kepadaku pada hari ini! Diberkatilah kamu kerana kebijaksanaanmu! Semoga kamu diberkati kerana mencegahku daripada menanggung hutang darah.” Daud memuji Abigail yang telah bertindak dengan cepat dan berani. Dia mengakui bahawa Abigail telah mencegahnya daripada menanggung hutang darah. Kemudian dia berkata, ‘Pulanglah ke rumahmu dengan damai. Aku akan menunaikan permintaanmu.’​—1 Sam. 25:32-35.

“Aku Sudi Menjadi Seorang Hamba”

20, 21. (a) Mengapakah kesudian Abigail untuk kembali ke sisi suaminya patut dipuji? (b) Bilakah Abigail memberitahu Nabal apa yang telah berlaku? Mengapakah tindakannya berani dan bijak?

20 Pastinya Abigail sedar betapa besarnya perbezaan antara Daud,  yang setia dan baik hati, dengan suaminya yang kasar dan angkuh. Tetapi dia tidak terus berfokus kepada hal ini. Dia kembali ke rumahnya dan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang baik. Dia perlu memberitahu suaminya tentang apa yang telah diberikannya kepada Daud, kerana selaku ketua keluarga, suaminya berhak mengetahuinya. Nabal juga perlu tahu bahawa sikap buruknya telah mencetuskan masalah yang besar. Jika dia mendengar tentang hal ini daripada orang lain, dia pasti hilang air muka. Tetapi Abigail tidak boleh memberitahunya sekarang kerana dia sedang mabuk dan menikmati jamuan seperti seorang raja.​—1 Sam. 25:36.

Dengan berani, Abigail memberitahu Nabal bagaimana dia telah menyelamatkan nyawanya

21 Abigail menunggu sehingga keesokan paginya apabila Nabal tidak mabuk lagi untuk memberitahunya apa yang berlaku. Pada waktu itu, Nabal pasti dapat memahami penjelasannya, tetapi dia juga mungkin akan mengamuk dan bertindak dengan ganas. Biarpun begitu, Abigail telah memberitahu suaminya segala-galanya. Tetapi setelah mendengar penjelasannya, Nabal hanya duduk diam dan tidak bergerak.​—1 Sam. 25:37.

22. Apakah yang telah berlaku kepada Nabal? Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah ini tentang keganasan rumah tangga?

22 Apakah yang telah berlaku kepada Nabal? Bible menyatakan, “Jantung Nabal menjadi lemah dan dia terbaring lumpuh seperti batu.” Barangkali dia diserang strok, dan dia meninggal kira-kira 10 hari kemudian. Tetapi punca sebenar kematiannya bukanlah kerana strok. Bible menyatakan, “Yehuwa menyebabkan Nabal mati.” (1 Sam. 25:38) Dengan menjatuhkan hukuman mati atas Nabal, Yehuwa telah menyelamatkan Abigail daripada perkahwinannya yang buruk. Hari ini, Yehuwa tidak akan melakukan mukjizat sedemikian. Tetapi kisah ini mengajar kita bahawa Dia nampak keganasan rumah tangga yang berlaku dewasa ini dan Dia akan menegakkan keadilan pada waktu yang telah ditetapkan-Nya.​—Baca Lukas 8:17.

23. Apakah berkat yang diterima oleh Abigail? Bagaimanakah dia menunjukkan bahawa dia tidak menjadi angkuh?

23 Selain diselamatkan daripada perkahwinan yang buruk, Abigail mendapat satu lagi berkat. Apabila Daud mendapat tahu bahawa Nabal sudah mati, dia mengirim utusan untuk melamar Abigail. Apakah jawapan Abigail? Dia berkata, “Aku sudi menjadi seorang hamba yang mencuci kaki hamba-hamba tuan.” Ya, Abigail memang rendah hati. Dia tidak menjadi  angkuh kerana mendapat lamaran Daud. Kemudian Bible menyatakan bahawa dia segera bangun dan pergi kepada Daud.​—1 Sam. 25:39-42.

24. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Abigail setelah dia menjadi isteri Daud? Apakah pandangan Tuhan dan Daud terhadap Abigail?

24 Meskipun Abigail menjadi isteri Daud, hal ini tidak bererti bahawa semua masalahnya hilang dan dia dapat hidup senang. Daud sudah mempunyai seorang isteri, iaitu Ahinoam. Meskipun Tuhan membenarkan perkahwinan poligami pada waktu itu, perkahwinan sedemikian pasti membawa banyak masalah bagi Abigail. Tambahan lagi, Daud masih belum menjadi raja dan perlu menghadapi pelbagai cabaran. Tetapi Abigail terus menyokong Daud dan pada kemudian hari, dia melahirkan seorang anak lelaki untuk Daud. Dia tahu bahawa suaminya menghargainya dan melindunginya. Pernah sekali, Daud telah menyelamatkannya daripada sekumpulan penculik. (1 Sam. 30:1-19) Ya, seperti Yehuwa, Daud mengasihi dan menghormati kaum wanita yang bijak, berani, dan setia.

^ per. 9 Dalam kisah ini, Karmel yang dimaksudkan bukan Gunung Karmel, tempat Nabi Elia mencabar nabi-nabi Baal. (Lihat Bab 10.) Karmel dalam kisah ini ialah sebuah kota yang terletak di pinggir padang belantara di selatan negeri Israel.

^ per. 10 Yehuwa mahu keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub, untuk menetap di negeri Kanaan. Maka jika seseorang melindungi pemilik tanah di negeri itu dan kawanan mereka daripada serangan perompak, hal itu bererti bahawa dia sedang melakukan khidmat suci kepada Yehuwa. Barangkali itulah sebabnya Daud melindungi gembala dan kawanan Nabal.

^ per. 14 Sesetengah terjemahan Bible menyatakan bahawa Nabal “tidak mahu mendengar nasihat sesiapa pun” atau dia “tidak dapat dibawa berbincang.”