Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 17

Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan

Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan

‘Binalah iman kamu yang suci, dan tetaplah berada di bawah naungan kasih Tuhan.’​—YUDAS 20, 21.

1, 2. Bagaimanakah kita dapat tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan?

KITA ingin mempunyai kesihatan yang baik. Maka walaupun susah, kita berusaha memakan makanan yang berkhasiat dan selalu bersenam. Demikian juga, kita perlu berusaha untuk menjaga kesihatan rohani kita.

2 Setelah kita mengenal Yehuwa, kita perlu menguatkan hubungan kita dengan-Nya. Orang Kristian disuruh untuk ‘membina iman yang suci’ agar mereka dapat “tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan.” (Yudas 20, 21) Maka bagaimanakah kita dapat membina iman yang kuat?

TERUS MEMBINA IMAN ANDA

3-5. (a) Syaitan mahu anda mempunyai pandangan apa tentang perintah Yehuwa? (b) Apakah pandangan anda tentang hukum dan prinsip Yehuwa?

3 Anda sendiri perlu yakin bahawa haluan Yehuwa ialah haluan yang terbaik. Syaitan mahu anda berfikir bahawa perintah Tuhan terlalu susah untuk dipatuhi, dan bahawa anda tidak memerlukan bimbingan Tuhan. Sejak di Taman Eden, Syaitan berusaha untuk  mempengaruhi orang supaya berfikir sedemikian.​—Kejadian 3:1-6.

4 Adakah perintah Yehuwa terlalu susah untuk dipatuhi? Tidak. Sebagai contoh, bayangkanlah bahawa anda sedang berjalan-jalan di sebuah taman, dan anda nampak sebuah pagar yang tinggi. Barangkali anda tertanya-tanya, “Kenapa pagar itu ada di sini?” Tetapi tiba-tiba, anda terdengar ngauman seekor singa dari sebelah pagar itu. Apakah perasaan anda? Bukankah anda bersyukur bahawa pagar itu melindungi anda daripada dimakan oleh singa? Prinsip-prinsip Yehuwa adalah seperti pagar itu, dan Syaitan pula seperti singa itu. Bible memberi kita amaran berikut: “Teruslah memelihara daya pemikiran kamu dan berjaga-jagalah. Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.”​—1 Petrus 5:8.

5 Yehuwa ingin kita menikmati hidup yang terbaik, maka Dia memberi kita hukum dan prinsip yang dapat melindungi kita daripada Syaitan. (Efesus 6:11) Yakobus menulis, “Jika seseorang meneliti hukum yang sempurna dan yang membawa kebebasan, dan terus mematuhinya, orang itu akan bahagia.”​—Yakobus 1:25.

6. Bagaimanakah kita dapat yakin bahawa haluan Yehuwa ialah haluan yang terbaik?

6 Jika kita mematuhi perintah Yehuwa, hidup kita akan menjadi lebih bermakna dan hubungan kita dengan-Nya akan bertambah kuat. Contohnya, Yehuwa menyuruh kita untuk berdoa kepada-Nya, menghadiri perjumpaan, menggalakkan satu sama lain, dan pergi menginjil. (Matius 6:5-8; 28:19, 20; Galatia 6:2;  1 Tesalonika 5:17; Ibrani 10:24, 25) Jika kita mematuhi perintah-perintah ini, kita akan meraih banyak manfaat. Apabila kita merenungkan manfaat yang kita raih, kita akan lebih yakin bahawa haluan Yehuwa ialah haluan yang terbaik.

7, 8. Apakah yang dapat membantu kita agar tidak terlalu risau tentang cabaran pada masa depan?

7 Bagaimana pula jika anda risau bahawa anda mungkin tidak dapat mematuhi perintah Yehuwa? Ingatlah kata-kata Yehuwa yang berikut: “Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh. Alangkah baiknya jika kamu memperhatikan perintah-Ku! Jika demikian, kedamaian kamu akan menjadi seperti  sungai, dan perbuatan baik kamu akan menjadi seperti ombak laut.”​—Yesaya 48:17, 18.

8 Apabila kita mematuhi Yehuwa, kedamaian kita akan menjadi seperti sungai yang tidak pernah kering, dan perbuatan baik kita akan menjadi seperti ombak laut yang tidak berhenti. Tidak kira apa yang berlaku, kita dapat tetap setia kepada Yehuwa. Bible memberi kita jaminan berikut: “Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu. Dia tidak sekali-kali membiarkan orang yang baik jatuh.”​—Mazmur 55:22.

BERUSAHA UNTUK MENJADI MATANG

9, 10. Apakah erti menjadi matang?

9 Apabila hubungan anda dengan Yehuwa bertambah erat, anda akan “menjadi matang.” (Ibrani 6:1) Apakah erti “menjadi matang”?

10 Untuk menjadi matang, kita mesti menjadi sahabat rapat Yehuwa dan memupuk pandangan-Nya. (Yohanes 4:23) Paulus menulis, “Bagi orang yang hidup menurut keinginan tubuh, fikiran mereka tertumpu kepada keinginan tubuh, tetapi bagi orang yang hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan, fikiran mereka tertumpu kepada hal-hal yang selaras dengan kuasa suci Tuhan.” (Roma 8:5) Orang yang matang tidak akan bertumpu kepada kesenangan hidup atau kekayaan. Sebaliknya dia akan berusaha untuk menyembah Yehuwa dan membuat keputusan yang bijak dalam hidup. (Amsal 27:11; baca Yakobus 1:2, 3.) Dia tidak akan terpengaruh untuk berbuat jahat, kerana dia tahu apa yang betul dan bertekad untuk melakukannya.

11, 12. (a) Apakah yang dikatakan oleh Paulus tentang “daya penilaian”? (b) Apakah persamaan antara orang Kristian yang matang dengan ahli sukan yang mahir?

 11 Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang. Paulus menulis, “Orang matang memakan makanan yang keras. Oleh sebab mereka sering menggunakan daya penilaian mereka, daya penilaian mereka sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.” (Ibrani 5:14) Perkataan “terlatih” membuat kita berfikir tentang ahli sukan yang selalu berlatih.

12 Ahli sukan perlu meluangkan banyak masa untuk berlatih. Semasa dia masih bayi, dia tidak tahu cara untuk mengawal pergerakan tangan dan kakinya. Tetapi seraya dia membesar, dia belajar secara beransur-ansur. Dengan latihan yang mencukupi, akhirnya dia dapat menjadi ahli sukan yang mahir. Demikian juga, kita memerlukan masa dan banyak latihan untuk menjadi orang Kristian yang matang.

13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempunyai fikiran Yehuwa?

13 Kita sudah mempelajari bagaimana kita dapat mempunyai fikiran dan pandangan Yehuwa. Kita juga telah belajar untuk menghargai dan mengasihi piawaian-Nya. Apabila kita membuat keputusan, kita harus menanya diri, “Apakah hukum atau prinsip Bible yang berkaitan dengan situasi ini? Bagaimanakah saya dapat menerapkannya? Yehuwa ingin saya melakukan apa?”​—Baca Amsal 3:5, 6; Yakobus 1:5.

14. Apakah yang perlu kita lakukan untuk membina iman kita?

14 Sebagaimana makanan yang berkhasiat dapat membantu kita membina badan yang sihat, pengetahuan  tentang Yehuwa dapat membantu kita membina iman yang kuat. Sewaktu kita mula belajar Bible, kita mengetahui kebenaran asas tentang Yehuwa. Tetapi seraya masa berlalu, kita perlu memahami perkara yang lebih mendalam. Itulah sebabnya Paulus berkata, “Orang matang memakan makanan yang keras.” Dengan menerapkan apa yang kita pelajari, kita mendapat kebijaksanaan. Bible menyatakan, “Kebijaksanaan ialah perkara yang terpenting.”​—Amsal 4:5-7; 1 Petrus 2:2.

15. Seberapa pentingkah kasih kita kepada Yehuwa dan kepada saudara saudari?

15 Jika kita ingin tetap sihat dan kuat, kita perlu terus menjaga kesihatan kita. Begitu juga, jika kita ingin menjadi orang Kristian yang matang, kita perlu terus menjaga hubungan kita dengan Yehuwa. Paulus menyuruh kita, “Teruslah menguji diri kamu sendiri untuk mengetahui sama ada iman kamu teguh atau tidak, dan teruslah memeriksa keadaan kamu yang sebenarnya.” (2 Korintus 13:5) Selain membina iman, kita perlu terus menguatkan kasih kita terhadap Yehuwa dan saudara saudari. Paulus berkata, ‘Meskipun aku memiliki pengetahuan dan iman, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.’​—1 Korintus 13:1-3.

BERTUMPU KEPADA HARAPAN KITA

16. Syaitan mahu kita rasa apa?

16 Syaitan mahu kita berfikir bahawa manusia tidak mungkin dapat menyenangkan hati Yehuwa. Dia mahu kita berasa sedih, kecewa, dan putus asa. Dia juga tidak mahu kita mempercayai saudara saudari. (Efesus 2:2) Dia tahu bahawa jika kita berfikiran negatif, kita akan tawar hati lalu meninggalkan Yehuwa.  Tetapi Yehuwa telah memberi kita sesuatu yang dapat melindungi kita, iaitu harapan.

17. Seberapa pentingkah harapan?

17 Di 1 Tesalonika 5:8, Bible membandingkan “harapan penyelamatan” kita dengan topi besi yang melindungi kepala seorang askar. Jika kita bertumpu kepada harapan yang dijanjikan oleh Yehuwa, kita dapat melindungi minda kita dan melawan fikiran yang negatif.

18, 19. Mengapakah Yesus dapat menghadapi cabaran dengan tabah?

18 Pada malam terakhirnya di bumi, Yesus dikhianati dan ditinggalkan oleh kawan-kawan rapatnya. Orang yang sebangsa dengannya pula menentangnya dan meminta agar dia dihukum mati. Apakah yang membantu Yesus menghadapi semua ini? Ibrani 12:2 menyatakan, “Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya,  dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan dan tidak peduli bahawa hal itu sesuatu yang memalukan. Sekarang, dia duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.”

19 Yesus tahu bahawa jika dia tetap setia, dia dapat memuliakan Yehuwa dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Harapan ini memberinya sukacita. Dia juga tahu bahawa dia akan bersatu semula dengan Bapanya di syurga. Harapan ini membantunya untuk bertabah. Seperti Yesus, kita harus bertumpu kepada harapan kita. Harapan kita akan membantu kita menghadapi apa sahaja cabaran yang melanda dengan tabah.

20. Apakah yang dapat membantu anda untuk berfikiran positif?

20 Yehuwa tahu apabila anda menunjukkan iman dan ketabahan. (Yesaya 30:18; baca Maleakhi 3:10.)  Dia berjanji untuk ‘mengabulkan segala keinginan hati anda.’ (Mazmur 37:4) Maka teruslah bertumpu kepada harapan yang dijanjikan oleh-Nya. Syaitan mahu anda berasa tawar hati dan berfikir bahawa Yehuwa tidak akan menepati janji-janji-Nya. Tetapi anda tidak boleh berfikir sedemikian! Jika anda mula berfikiran negatif, mintalah bantuan Yehuwa. Ingatlah apa yang tertulis di Filipi 4:6, 7: ‘Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.’

21, 22. (a) Apakah tujuan Yehuwa bagi bumi? (b) Apakah tekad anda?

21 Renungkanlah harapan yang menantikan kita! Di dunia baharu, semua orang akan menyembah Yehuwa. (Wahyu 7:9, 14) Syaitan, roh-roh jahat, dan semua kejahatan akan tiada lagi. Anda tidak akan jatuh sakit dan mati. Semua orang akan bekerjasama untuk mengubah bumi ini menjadi sebuah firdaus yang indah. Setiap orang akan mempunyai makanan yang melimpah dan menikmati keamanan. Tiada orang akan bersikap kejam atau ganas. Secara beransur-ansur, semua manusia di bumi akan menjadi sempurna dan dapat “menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.”​—Roma 8:21.

22 Yehuwa mahu anda menjadi kawan baik-Nya. Jadi berusahalah untuk mematuhi-Nya dan menghampiri-Nya setiap hari. Semoga kita semua dapat bernaung di bawah kasih Tuhan buat selama-lamanya!​—Yudas 21.