Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 45

Kerajaan Israel Dibahagikan

Kerajaan Israel Dibahagikan

Keadaan di Israel aman semasa Salomo menyembah Yehuwa. Tetapi, dia telah mengahwini ramai wanita dari negeri lain yang menyembah berhala. Lama-kelamaan, Salomo berubah dan mula menyembah berhala. Yehuwa sangat marah lalu memberitahu Salomo, “Israel akan dirampas daripada keluargamu dan dibahagikan menjadi dua. Bahagian yang besar akan diberikan kepada hamba kamu, manakala bahagian yang kecil untuk keluarga kamu.”

Yehuwa ingin menjelaskan keputusan-Nya sekali lagi. Pada suatu hari, hamba Salomo, iaitu Yerobeam, bertemu dengan Nabi Ahia. Nabi Ahia mengoyakkan jubahnya menjadi 12 bahagian lalu memberitahu Yerobeam, “Yehuwa akan mengambil kerajaan Israel daripada keluarga Salomo dan menjadikannya dua bahagian. Ambillah 10 bahagian jubah ini kerana kamu akan menjadi raja kepada 10 suku bangsa Israel.” Selepas mengetahui hal ini, Raja Salomo ingin membunuh Yerobeam. Jadi, Yerobeam melarikan diri ke Mesir. Setelah Salomo meninggal, anaknya Rehabeam menjadi raja. Barulah Yerobeam berasa selamat untuk kembali ke Israel.

Para penasihat memberitahu Rehabeam, “Jika tuanku menjaga rakyat, mereka akan setia kepada tuanku.” Tetapi Rehabeam  mengikut nasihat kawan-kawannya yang muda. Mereka berkata, “Tuanku perlu tegas. Suruhlah rakyat bekerja dengan lebih keras lagi!” Oleh sebab Rehabeam sangat kejam, rakyat memberontak lalu memilih Yerobeam sebagai raja. Jadi, Yerobeam memerintah 10 suku Israel yang kemudiannya dikenali sebagai kerajaan Israel. Dua suku yang lain pula dikenali sebagai kerajaan Yehuda, dan mereka tetap setia kepada Rehabeam. Kini, 12 suku Israel telah dibahagikan.

Yerobeam tidak mahu rakyatnya menyembah Yehuwa di Yerusalem yang terletak di kawasan kerajaan Rehabeam. Tahukah adik mengapa? Sebab Yerobeam takut orang Israel akan memberontak dan menyokong Rehabeam. Jadi dia membuat dua buah patung lembu jantan emas dan berkata, “Yerusalem terlalu jauh. Sembahlah Tuhan di sini.” Maka, orang Israel mula menyembah patung-patung itu. Sekali lagi, mereka melupakan Yehuwa.

“Janganlah memikul kuk bersama orang yang tidak percaya, kerana kuk sedemikian tidak seimbang. Apakah hubungan antara kebaikan dengan kejahatan? . . . Atau apakah persamaan antara orang yang percaya dengan orang yang tidak percaya?”​—2 Korintus 6:14, 15