Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 22

Mukjizat di Laut Merah

Mukjizat di Laut Merah

Tidak lama selepas orang Israel meninggalkan Mesir, Firaun mengubah fikirannya lagi. Dia berkata, “Sediakan semua kereta kuda! Mari kita kejar mereka! Kita tidak patut biarkan mereka pergi.” Firaun dan askar-askarnya mula mengejar orang Israel.

Pada siang hari, Yehuwa memimpin orang Israel dengan awan. Pada malam hari pula, Dia menggunakan api. Setibanya di Laut Merah, Yehuwa menyuruh mereka memasang khemah.

Tiba-tiba, orang Israel nampak Firaun dan askar-askarnya mengejar mereka. Tetapi mereka terperangkap di antara laut dengan askar Mesir. Mereka sangat risau lalu berkata kepada Musa, “Kita akan mati! Kamu tidak patut bawa kami keluar dari Mesir.” Tetapi Musa berkata, “Jangan takut. Tunggulah dan lihatlah bagaimana Yehuwa akan selamatkan kita.” Sememangnya, Musa sangat mempercayai Yehuwa!

Yehuwa menyuruh orang Israel untuk meneruskan perjalanan. Pada malam itu, Yehuwa memindahkan awan dan meletakkannya di antara askar Mesir dengan orang Israel. Kawasan askar Mesir terus menjadi gelap, tetapi kawasan orang Israel pula diterangi cahaya.

Yehuwa memberitahu Musa untuk menghulurkan tangannya ke arah laut. Kemudian, Yehuwa menyebabkan angin bertiup dengan kencang  sepanjang malam. Selepas itu, air laut terbelah dan menjadi seperti dua dinding yang tinggi. Jutaan orang Israel menyeberangi laut itu melalui jalan yang kering.

Askar-askar Firaun masih mengejar mereka. Kemudian, Yehuwa mengelirukan askar-askar Firaun lalu menyebabkan roda kereta kuda mereka tercabut. Maka, askar-askar itu berteriak, “Mari kita lari! Yehuwa sedang membantu mereka.”

Selepas itu, Yehuwa memberitahu Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke laut.” Lalu air laut jatuh menimpa askar Mesir. Akibatnya, Firaun dan semua askarnya mati. Tiada seorang pun yang selamat.

Orang Israel yang melihat kejadian itu menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan, “Bernyanyilah untuk Yehuwa kerana Dia telah mendapat kemenangan yang cemerlang. Dia telah melemparkan kuda dan penunggangnya ke dalam laut.” Semasa mereka menyanyi, para wanita menari sambil memainkan tamborin. Semua orang berasa sangat gembira kerana sekarang mereka benar-benar bebas.

“Oleh itu, dengan penuh keberanian kita dapat berkata, ‘Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?’”​—Ibrani 13:6