Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 89

Petrus Berpura-pura Tidak Mengenal Yesus

Petrus Berpura-pura Tidak Mengenal Yesus

Sewaktu Yesus dan para rasul berada di sebuah bilik, dia berkata, “Malam ini, kamu semua akan meninggalkan saya.” Petrus berkata, “Walaupun yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan buat begitu.” Tetapi Yesus berkata, “Sebelum ayam berkokok, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak kenal saya.”

Apabila para askar membawa Yesus ke rumah Kayafas, dua orang rasul mengikut Yesus dari belakang. Salah seorangnya ialah Petrus. Rasul-rasul yang lain pula melarikan diri. Petrus mengikut Yesus sehingga halaman rumah Kayafas. Semasa Petrus memanaskan badannya dekat unggun api, seorang hamba melihatnya lalu berkata, “Saya kenal kamu! Kamu kawan Yesus!”

Petrus menjawab, “Saya bukan kawan Yesus! Saya tidak tahu apa yang kamu katakan!” Petrus pergi dari situ, tetapi seorang hamba perempuan yang lain ternampak dia dan berkata, “Lelaki ini pernah bersama Yesus!” Petrus menjawab, “Saya tidak kenal Yesus!” Kemudian, seorang lelaki berkata, “Kamu ialah rasulnya! Saya tahu kamu dari Galilea kerana kamu bercakap seperti Yesus.” Tetapi Petrus bersumpah, “Saya tidak kenal dia!”

Pada saat itu, seekor ayam berkokok. Petrus melihat Yesus memandang ke arahnya, dan dia teringat akan kata-kata Yesus. Petrus pun keluar dan menangis kerana sedih.

Di rumah Kayafas, Majlis Orang Yahudi ingin mencari bukti untuk menuduh Yesus supaya dia dihukum bunuh. Tetapi mereka tidak dapat menjumpai apa-apa bukti. Akhirnya, Kayafas menanya Yesus, “Adakah kamu Anak Tuhan?” Yesus menjawab, “Ya.” Kemudian, Kayafas berkata, “Kita tidak perlu bukti lagi. Dia telah menghina Tuhan!” Mereka pun bersetuju bahawa Yesus patut dihukum bunuh. Mereka menampar Yesus, meludahinya, menutup matanya, dan memukulnya. Mereka berkata, “Jika kamu seorang nabi, beritahulah kami siapa yang pukul kamu!”

 Keesokan harinya, Yesus dibawa ke dewan Majlis Orang Yahudi. Mereka menanya Yesus, “Adakah kamu Anak Tuhan?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang kata bahawa saya ialah Anak Tuhan.” Kemudian mereka menuduhnya bersalah kerana menghina Tuhan. Mereka menyerahkannya kepada Pontius Pilatus, seorang gabenor Roma. Mari kita lihat apa yang berlaku seterusnya.

“Masanya . . . sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan lalu pulang ke rumah masing-masing. Kamu akan meninggalkan aku seorang diri, tetapi aku tidak sendirian, kerana Bapa menyertai aku.”​—Yohanes 16:32