Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 83

Yesus Memberi Banyak Orang Makanan

Yesus Memberi Banyak Orang Makanan

Sekarang sudah tahun 32 M. Perayaan Paska akan disambut tidak lama lagi. Para rasul Yesus baru kembali selepas menginjil di pelbagai tempat. Mereka sangat penat, jadi Yesus membawa mereka ke Betsaida untuk berehat. Apabila perahu mereka menghampiri pinggir tasik, ribuan orang sedang menunggu di sana. Mereka telah mengikut Yesus dan murid-muridnya. Walaupun Yesus ingin berehat, dia tidak menghalau mereka. Sebaliknya, dia menyambut mereka dengan ramah dan menyembuhkan orang sakit. Sepanjang hari, Yesus mengajar mereka tentang Kerajaan Tuhan. Apabila hari mula senja, para rasul berkata kepadanya, “Mereka mesti sangat lapar. Suruhlah mereka pergi makan dulu.”

Tetapi Yesus berkata, “Mereka tidak perlu pergi. Kamu berilah mereka makanan.” Para rasul pun bertanya, “Guru mahu kami membeli roti untuk mereka?” Salah seorang rasul yang bernama Filipus berkata, “Walaupun kita ada wang, kita tidak mampu beli roti untuk semua orang.”

Yesus pun bertanya, “Berapa banyak makanan yang kita ada?” Andreas menjawab, “Kita ada lima ketul roti dan dua ekor ikan. Tapi, itu tidak mencukupi.” Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepadaku.” Kemudian, dia menyuruh semua orang untuk duduk secara berkumpulan, kira-kira 50 orang dan 100 orang dalam setiap kumpulan. Yesus mengambil roti dan ikan itu lalu memandang ke langit dan berdoa. Selepas itu, para rasulnya mula mengedarkan makanan itu.  Sebanyak 5,000 orang lelaki serta semua wanita dan kanak-kanak makan sehingga kenyang. Setelah itu, para rasul mengumpulkan baki makanan supaya tidak membazir. Baki makanan itu telah mengisi 12 buah bakul! Bukankah ini suatu mukjizat yang hebat?

Semua orang berasa kagum dan ingin menjadikan Yesus sebagai raja. Tetapi, Yesus tahu bahawa ini bukanlah masa baginya untuk menjadi raja. Selepas semua orang pulang, para rasulnya menyeberangi Tasik Galilea. Yesus pula pergi ke sebuah gunung seorang diri. Mengapa? Dia ingin berdoa kepada Bapanya. Biarpun Yesus sangat sibuk, dia masih meluangkan masa untuk berdoa.

“Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal. Anak Manusia akan memberi kamu makanan ini.”​—Yohanes 6:27