Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 60

Kerajaan yang Akan Kekal Selama-lamanya

Kerajaan yang Akan Kekal Selama-lamanya

Pada suatu malam, Raja Nebukadnezar mendapat satu mimpi yang aneh. Dia sangat resah dan tidak dapat tidur. Jadi dia memanggil tukang sihir dan berkata, “Jelaskan maksud mimpi beta.” Mereka menjawab, “Tuanku, beritahulah kami mimpi tuanku.” Tetapi raja berkata, “Tidak! Kamu yang harus beritahu apa yang beta mimpikan. Jika tidak, kamu semua akan mati!” Kemudian, mereka berkata lagi, “Tolonglah beritahu kami mimpi tuanku, dan kami akan jelaskan ertinya.” Maka, raja berkata, “Kamu mahu tipu beta. Cepat beritahu apa mimpi beta!” “Tuanku, tiada orang yang dapat berbuat demikian. Permintaan tuanku mustahil dilakukan,” kata para tukang sihir.

Raja naik marah lalu ingin menghukum mati semua orang yang bijaksana di Babilon, termasuk Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya. Tetapi, Daniel meminta agar raja memberinya sedikit masa lagi. Kemudian, dia dan rakan-rakannya berdoa meminta bantuan Yehuwa. Apakah yang dilakukan Yehuwa?

Dalam sebuah penglihatan, Yehuwa menunjukkan mimpi raja dan maksudnya kepada Daniel. Keesokan harinya, Daniel berkata kepada pembantu raja, “Jangan bunuh sesiapa dulu. Saya dapat jelaskan mimpi raja.” Lelaki itu membawa Daniel kepada raja. Daniel berkata, “Tuhan telah menunjukkan masa depan tuanku. Dalam mimpi tuanku, ada sebuah patung yang besar. Kepalanya diperbuat daripada emas, dada dan lengannya daripada perak, perut dan pahanya daripada tembaga, dan betisnya daripada besi. Kakinya pula ialah campuran besi dan tanah liat. Kemudian, sebuah batu dipotong dari sebuah gunung lalu menimpa kaki patung itu. Patung itu hancur dan ditiup angin. Tetapi batu itu menjadi sebuah gunung yang besar dan memenuhi seluruh bumi.”

Daniel berkata lagi, “Inilah ertinya: Kerajaan tuanku ialah kepala emas itu.  Bahagian perak ialah kerajaan yang bangkit selepas kerajaan tuanku. Kemudian, kerajaan yang seperti tembaga akan memerintah bumi. Kerajaan seterusnya pula sekuat besi. Akhirnya, akan ada sebuah kerajaan yang berpecah belah. Sesetengah bahagiannya kuat seperti besi, tetapi sesetengahnya pula lemah seperti tanah liat. Batu yang menjadi gunung melambangkan Kerajaan Tuhan. Kerajaan ini akan musnahkan semua kerajaan lain dan kekal selama-lamanya.”

Selepas itu, Nebukadnezar bersujud dan berkata, “Tuhanmu telah memberitahu kamu mimpi beta. Memang tiada tuhan yang seperti Dia.” Akhirnya, raja tidak membunuh Daniel. Sebaliknya, Daniel dilantik sebagai penguasa wilayah di Babilon dan ketua atas semua orang yang bijaksana. Dapatkah adik melihat cara Yehuwa menjawab doa Daniel?

“Raja-raja itu dikumpulkan ke tempat yang disebut Armagedon dalam bahasa Ibrani.”​—Wahyu 16:16