Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 CERITA 64

Daniel Dibuang Ke Dalam Gua Singa

Daniel Dibuang Ke Dalam Gua Singa

Darius ialah salah seorang raja yang memerintah Babilon. Dia ialah orang Media. Oleh sebab Daniel berbeza daripada orang lain, dia dilantik sebagai ketua atas lelaki-lelaki yang berpangkat di negerinya. Para lelaki itu cemburu terhadap Daniel dan ingin menghapuskannya. Mereka tahu bahawa Daniel berdoa kepada Yehuwa tiga kali sehari. Jadi, mereka berkata kepada raja, “Tuanku, buatlah undang-undang supaya semua orang hanya berdoa kepada tuanku. Sesiapa yang langgar perintah ini akan dibuang ke dalam gua singa.” Darius bersetuju lalu meluluskan undang-undang itu.

Selepas Daniel mendengar tentang hal itu, dia segera pulang ke rumahnya. Dia bersujud menghadap tingkap lalu berdoa kepada Yehuwa. Para lelaki itu merempuh masuk dan melihat Daniel berdoa. Mereka terus melaporkan hal ini kepada raja: “Daniel mengingkari perintah tuanku. Dia berdoa kepada Tuhannya tiga kali sehari.” Tetapi, Darius tahu bahawa Daniel orang yang baik. Dia tidak ingin Daniel mati. Jadi, dia berusaha untuk menyelamatkannya. Tetapi undang-undang itu tidak dapat dibatalkan. Maka, Daniel terpaksa dibuang ke dalam gua singa.

Darius sangat risau dan tidak dapat tidur semalaman. Pada keesokan hari, dia berlari ke gua singa itu dan  berkata kepada Daniel, “Adakah Tuhan kamu menyelamatkan kamu?”

Tiba-tiba, Darius mendengar suara Daniel! Daniel berkata, “Malaikat Yehuwa menutup mulut singa. Jadi saya tidak tercedera.” Raja sangat gembira lalu memerintahkan agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Dia melihat bahawa Daniel langsung tidak diapa-apakan. Kemudian, dia berkata, “Buanglah lelaki-lelaki yang telah menuduh Daniel ke dalam gua ini.” Akhirnya, mereka mati diterkam singa.

Selepas itu, Darius mengeluarkan perintah ini: “Semua orang mesti hormat dan takut kepada Tuhan yang disembah Daniel. Dia menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.”

Seperti Daniel, adakah adik juga berdoa kepada Yehuwa setiap hari?

“Yehuwa tahu cara untuk menyelamatkan orang yang mengabdikan diri kepada-Nya supaya mereka dibebaskan daripada cubaan.”​—2 Petrus 2:9