Zakharia 4:1-14
4 Malaikat yang bercakap kepada aku tadi datang lagi dan mengejutkan aku, seolah-olah mengejutkan orang yang sedang tidur.
2 Dia bertanya kepadaku, “Apa yang kamu nampak?”
Aku menjawab, “Aku nampak sebuah kaki pelita yang diperbuat sepenuhnya daripada emas.+ Ada sebuah mangkuk di atas kaki pelita itu. Terdapat juga tujuh buah pelita di bahagian atas kaki pelita itu,+ dan tujuh buah pelita itu mempunyai tujuh saluran yang dihubungkan dengan mangkuk tersebut.
3 Di sebelah kiri kaki pelita itu ada sebatang pokok zaitun,+ dan di sebelah kanan pun ada sebatang pokok zaitun.”
4 Kemudian aku bertanya kepada malaikat yang bercakap kepadaku, “Apakah maksud benda-benda itu tuan?”
5 Malaikat tersebut bertanya, “Tidakkah kamu tahu?”
Aku menjawab, “Tidak tuan.”
6 Lalu dia berkata kepadaku, “Inilah firman Yehuwa kepada Zerubabel: ‘Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, “Semua perkara ini akan berlaku bukan dengan kekuatan+ tentera ataupun kekuatan manusia, melainkan dengan kuasa suci-Ku.”*+
7 Di hadapan Zerubabel,+ halangan yang setinggi gunung pun akan diratakan.+ Dia akan membawa keluar batu puncak Rumah Tuhan, dan orang akan berseru, “Betapa indahnya!”’”
8 Kemudian aku menerima perkhabaran daripada Yehuwa lagi. Dia berfirman,
9 “Zerubabel telah meletakkan asas Rumah-Ku+ dengan tangannya sendiri, dan dia juga akan menyelesaikan pembinaan itu dengan tangannya sendiri.”+ Barulah kamu akan tahu bahawa Yehuwa telah mengutus aku kepada kamu.
10 “Janganlah meremehkan permulaan yang kecil itu,+ kerana umat-Ku akan melihat tali unting* yang dipegang Zerubabel lalu bersukacita. Tujuh mata Aku, Yehuwa, yang mengawasi seluruh bumi, juga akan melihat hal itu.”+
11 Kemudian aku bertanya kepada malaikat itu, “Apakah makna dua batang pokok zaitun yang terletak di sebelah kiri dan kanan kaki pelita?”+
12 Aku bertanya kepadanya lagi, “Apakah maksud dua ranting* pokok zaitun yang mengeluarkan minyak kuning keemasan melalui dua saluran emas itu?”
13 Malaikat tersebut bertanya, “Tidakkah kamu tahu?”
Aku menjawab, “Tidak tuan.”
14 Dia berkata, “Kedua-duanya melambangkan dua orang yang diurapi. Mereka sedang berdiri di sisi Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi.”+
Nota Kaki
^ Alat yang digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu benda tegak atau tidak.
^ Iaitu, ranting-ranting yang sarat dengan buah.