Yosua 7:1-26

  • Orang Israel dikalahkan di Ai (1-5)

  • Doa Yosua (6-9)

  • Orang Israel kalah kerana berdosa (10-15)

  • Perbuatan Akhan terdedah; dia direjam (16-26)

7  Namun orang Israel tidak setia kepada Tuhan. Mereka mengingkari perintah tentang benda-benda yang mesti dimusnahkan. Seorang lelaki yang bernama Akhan+ telah mengambil sesuatu yang mesti dimusnahkan,+ dan menyebabkan Yehuwa murka terhadap orang Israel.+ Akhan ialah anak Karmi dan cucu Zabdi. Dia merupakan keturunan Zerah daripada suku Yehuda.  Yosua mengutus beberapa orang dari Yerikho ke Ai,+ iaitu sebuah kota berhampiran Bet-awen, yang terletak di sebelah timur Bethel.+ Dia berkata kepada mereka, “Pergilah mengintip negeri itu.” Maka mereka pergi mengintip kota Ai.  Kemudian mereka kembali dan berkata kepada Yosua, “Penduduk kota Ai sedikit sahaja. Jadi dua atau tiga ribu orang pun sudah cukup untuk mengalahkan mereka. Tidak perlu kita menyusahkan seluruh angkatan tentera dan menyuruh mereka semua pergi.”  Oleh itu kira-kira 3,000 orang telah pergi ke Ai, tetapi mereka terpaksa melarikan diri daripada orang di situ.+  Dari luar pintu gerbang kota, orang Ai mengejar orang Israel sepanjang lereng bukit sehingga mereka turun ke Shebarim,* dan 36 orang Israel telah dibunuh. Oleh itu, orang Israel hilang keberanian dan mereka dicengkam rasa takut.*  Yosua dan para pemimpin Israel mengoyakkan pakaian kerana sedih, lalu sujud di hadapan tabut Yehuwa sehingga matahari terbenam. Mereka terus menghamburkan tanah ke atas kepala mereka.  Yosua berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, mengapakah Engkau membawa umat ini menyeberangi Sungai Yordan lalu menyerahkan kami kepada orang Amori untuk dibinasakan? Bukankah lebih baik jika kami tinggal di sebelah timur Sungai Yordan sahaja?  Ya Yehuwa, maafkanlah aku, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel melarikan diri daripada musuh mereka?  Orang Kanaan dan semua penduduk di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami dan melenyapkan nama kami dari muka bumi. Ketika itu, bagaimanakah Engkau akan mempertahankan nama-Mu yang agung?”+ 10  Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Bangunlah! Mengapa engkau bersujud? 11  Orang Israel telah berdosa. Mereka melanggar perjanjian+ yang Aku suruh mereka patuhi. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang mesti dimusnahkan.+ Mereka mencuri+ barang-barang itu dan menyembunyikannya bersama barang kepunyaan mereka sendiri.+ 12  Itulah sebabnya orang Israel tidak akan berjaya mengalahkan musuh. Mereka akan berpaling dan melarikan diri daripada musuh, kerana mereka sudah menjadi sesuatu yang mesti dimusnahkan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi selagi kamu tidak menyingkirkan apa-apa sahaja yang mesti dimusnahkan daripada kalangan kamu.+ 13  Bangunlah dan sucikan umat itu!+ Beritahulah mereka, ‘Sucikanlah diri kamu untuk hari esok kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, “Hai orang Israel, dalam kalangan kamu ada sesuatu yang mesti dimusnahkan. Kamu tidak akan berjaya mengalahkan musuh selagi kamu tidak menyingkirkan apa-apa sahaja yang mesti dimusnahkan daripada kalangan kamu. 14  Esok pagi kamu semua harus tampil ke depan, suku demi suku. Suku yang dipilih oleh Yehuwa+ akan tampil, puak demi puak. Puak yang dipilih oleh Yehuwa akan tampil, keluarga demi keluarga. Kemudian, keluarga yang dipilih oleh Yehuwa akan tampil, seorang demi seorang. 15  Orang yang didapati mengambil barang-barang yang mesti dimusnahkan, harus mati dan dibakar+ bersama segala miliknya, kerana dia telah melanggar perjanjian+ Yehuwa dan melakukan sesuatu yang memalukan dalam kalangan orang Israel.”’” 16  Keesokan paginya, Yosua bangun awal dan menyuruh orang Israel tampil suku demi suku. Lalu suku Yehuda yang dipilih. 17  Dia menyuruh suku Yehuda tampil, puak demi puak, lalu puak Zerah+ yang dipilih. Kemudian dia menyuruh semua lelaki dalam puak Zerah tampil, seorang demi seorang, lalu Zabdi yang dipilih. 18  Selepas itu, Yosua menyuruh keluarga Zabdi tampil, seorang demi seorang. Akhirnya, Akhan yang dipilih. Akhan ialah anak Karmi, cucu Zabdi yang merupakan keturunan Zerah, daripada suku Yehuda.+ 19  Lalu Yosua berkata kepada Akhan, “Hai anakku, berikanlah kemuliaan kepada Yehuwa, Tuhan orang Israel, dan akuilah perbuatanmu kepada-Nya. Beritahulah aku apa yang telah kamu lakukan. Jangan sembunyikan perkara itu daripadaku.” 20  Akhan menjawab, “Sesungguhnya akulah yang telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan orang Israel. Inilah yang aku lakukan: 21  Antara barang-barang yang dirampas, aku melihat sehelai pakaian istimewa yang cantik dari Shinar,+ emas yang beratnya 570 gram,* dan perak yang beratnya lebih daripada dua kilogram.* Aku begitu menginginkan barang-barang itu sehingga aku mengambilnya. Barang-barang itu disembunyikan di dalam tanah, di khemahku, dan wang itu terletak di bawah sekali.” 22  Yosua segera menyuruh beberapa orang berlari ke khemah itu. Mereka mendapati pakaian itu disembunyikan di dalam khemahnya, dan wang itu disimpan di bawah sekali. 23  Mereka mengambil barang-barang itu keluar dari khemah lalu membawanya kepada Yosua dan semua umat Israel. Mereka meletakkan barang-barang itu di hadapan Yehuwa. 24  Kemudian Akhan+ daripada puak Zerah, bersama dengan wang perak, pakaian istimewa, dan emas+ itu dibawa oleh Yosua dan semua umat Israel ke Lembah* Akhor.+ Segala milik Akhan, termasuk semua anak lelaki dan anak perempuannya, lembu, keldai, biri-biri, kambing, dan khemahnya, juga dibawa ke situ. 25  Yosua berkata, “Mengapakah kamu menyebabkan kami ditimpa malapetaka?+ Hari ini, Yehuwa akan mendatangkan malapetaka kepadamu.” Maka semua orang Israel merejam Akhan, anggota keluarganya, dan segala miliknya, lalu membakar semuanya.+ Ya, mereka semua direjam sampai mati.+ 26  Kemudian, mereka menimbuni mayat Akhan dengan batu sehingga menjadi satu timbunan besar. Lalu kemarahan Yehuwa yang membara pun reda.+ Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Lembah Akhor* sehingga hari ini. Timbunan batu itu masih ada di sana sampai hari ini.

Nota Kaki

Maksudnya “Kuari.”
Harfiah, “hati umat itu mencair dan menjadi seperti air.”
Harfiah, “50 syekel.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “200 syekel.” Lihat Lampiran B14.
Atau “Dataran Rendah.”
Maksudnya “Malapetaka.”