Yeremia 7:1-34
7 Yehuwa berfirman kepada Yeremia,
2 “Berdirilah di pintu gerbang Rumah Yehuwa dan umumkanlah perkhabaran ini: ‘Dengarlah firman Yehuwa, hai semua orang Yehuda yang memasuki pintu-pintu gerbang ini untuk menyembah Yehuwa.
3 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Ubahlah haluan dan kelakuan kamu, maka Aku akan mengizinkan kamu untuk terus tinggal di sini.+
4 Jangan mempercayai kata-kata dusta dan berkata, ‘Inilah* Rumah Yehuwa! Inilah Rumah Yehuwa! Inilah Rumah Yehuwa!’+
5 Jika kamu betul-betul mengubah haluan dan kelakuan kamu, jika kamu menegakkan keadilan dalam suatu perkara yang melibatkan seseorang dan jirannya,+
6 jika kamu tidak menindas penduduk asing, anak yatim, dan balu,+ jika kamu tidak menumpahkan darah orang yang tidak berdosa di tempat ini, dan jika kamu tidak mendatangkan malapetaka atas diri sendiri dengan menyembah tuhan-tuhan lain,+
7 Aku akan mengizinkan kamu untuk terus tinggal di sini. Ya, Aku akan mengizinkan kamu untuk tinggal di tanah yang telah Aku berikan kepada nenek moyang kamu buat selama-lamanya.”’”
8 “Tetapi kamu mempercayai kata-kata dusta+ yang tidak membawa sebarang manfaat.
9 Kamu mencuri,+ membunuh, berzina, membuat sumpah palsu,+ mempersembahkan korban* kepada Baal,+ dan menyembah tuhan-tuhan yang tidak kamu kenal.
10 Biarpun kamu telah melakukan semua perbuatan jijik itu, kamu masih datang dan menghadap Aku di rumah ini, rumah yang dibina untuk nama-Ku, dan kamu berkata, ‘Kami akan selamat.’
11 Rumah ini dibina untuk nama-Ku, tetapi adakah rumah ini telah menjadi sarang perompak?+ Ya, Aku nampak semua ini,” firman Yehuwa.
12 “‘Sekarang pergilah ke tempat-Ku di Silo,+ iaitu tempat pertama yang telah Aku pilih untuk memuliakan nama-Ku.+ Lihatlah apa yang telah Aku lakukan terhadap tempat itu kerana kejahatan umat-Ku Israel.+
13 Tetapi kamu terus melakukan semua kejahatan ini,’ firman Yehuwa, ‘dan meskipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu enggan mendengar.+ Sudah berkali-kali Aku memanggil kamu, tetapi kamu tidak menjawab.+
14 Oleh itu, apa yang telah Aku lakukan terhadap Silo akan Aku lakukan terhadap rumah yang dibina untuk nama-Ku,+ iaitu tempat yang kamu harapkan.+ Ya, tempat yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu akan Kuperlakukan seperti Silo.+
15 Aku akan mengusir kamu dari hadapan-Ku seperti Aku mengusir semua saudaramu, iaitu semua keturunan Efraim.’+
16 “Hai Yeremia, janganlah berdoa bagi pihak umat ini. Jangan berseru kepada-Ku atau merayu kepada-Ku atau berdoa bagi pihak mereka+ kerana Aku tidak akan mendengar engkau.+
17 Adakah engkau tidak nampak apa yang dilakukan oleh mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem?
18 Anak-anak lelaki mengumpulkan kayu, bapa-bapa menyalakan api, dan isteri-isteri mencampurkan adunan lalu membuat roti untuk dipersembahkan kepada Ratu Syurga.*+ Mereka juga mencurahkan korban wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku.+
19 ‘Tetapi adakah mereka menyakiti Aku?’ firman Yehuwa. ‘Bukankah mereka sedang menyakiti diri mereka sehingga mereka sendiri dimalukan?’+
20 Maka inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Lihatlah! Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku dan kemurkaan-Ku terhadap tempat ini,+ terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok di padang dan hasil tanah. Kemarahan-Ku membara seperti api yang tidak dapat dipadamkan.’+
21 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Pergilah, persembahkanlah korban bakar kamu bersama korban-korban yang lain, dan makanlah daging korban itu.+
22 Pada hari Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku tidak berfirman kepada mereka atau memberikan peraturan tentang korban bakar dan korban-korban yang lain.+
23 Sebaliknya Aku memberikan perintah berikut kepada mereka: “Patuhilah firman-Ku. Maka Aku akan menjadi Tuhan kamu dan kamu akan menjadi umat-Ku.+ Kamu mesti hidup menurut haluan yang telah Aku tetapkan bagi kamu supaya kamu hidup sejahtera.”’+
24 Tetapi mereka menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar.+ Mereka berkeras untuk hidup menurut fikiran dan keinginan hati mereka yang jahat.+ Mereka berundur dan tidak membuat kemajuan
25 sejak nenek moyang mereka keluar dari Mesir sehingga hari ini.+ Oleh itu, Aku selalu mengutus semua hamba-Ku, iaitu para nabi, kepada mereka. Aku berbuat demikian setiap hari tanpa henti.+
26 Namun mereka tetap menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar.+ Mereka berdegil dan bertindak lebih teruk daripada nenek moyang mereka!
27 “Engkau akan menyampaikan firman-Ku kepada mereka,+ tetapi mereka tidak akan mendengar. Engkau akan memanggil mereka, tetapi mereka tidak akan menjawab.
28 Oleh itu, engkau akan berkata kepada mereka, ‘Inilah bangsa yang enggan mematuhi firman Yehuwa, Tuhan mereka, dan enggan menerima disiplin. Kesetiaan mereka sudah lenyap, malah mereka tidak menyebut tentangnya lagi.’+
29 “Potonglah rambut kamu yang panjang* dan buanglah rambut kamu itu. Nyanyikanlah lagu ratapan di bukit-bukit yang gondol kerana Yehuwa telah menolak generasi ini, dan Dia akan meninggalkan generasi ini yang telah membuat-Nya sangat marah.
30 ‘Bangsa Yehuda telah melakukan apa yang jahat di mata-Ku,’ firman Yehuwa. ‘Mereka telah meletakkan patung-patung berhala yang jijik di dalam rumah yang dibina untuk nama-Ku. Mereka berbuat demikian untuk menajiskan Rumah-Ku.+
31 Mereka telah membina tempat-tempat ibadat* di Tofet, yang terletak di Lembah Hinom,*+ supaya mereka dapat membakar anak-anak mereka di dalam api,+ padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian. Hal itu bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran-Ku.’*+
32 “‘Lihatlah! Akan tiba masanya,’ firman Yehuwa, ‘apabila tempat ini tidak lagi dipanggil sebagai Tofet atau Lembah Hinom,* melainkan Lembah Pembunuhan. Mereka akan mengebumikan mayat di Tofet sehingga tiada lagi ruang kosong di situ.+
33 Mayat umat ini akan dimakan oleh burung di langit dan binatang liar di bumi. Tiada sesiapa pun yang akan mengusir burung dan binatang itu.+
34 Aku akan menghentikan suara kegembiraan, suara sukacita, suara pengantin lelaki, dan suara pengantin perempuan+ yang kedengaran di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem, kerana negeri itu akan menjadi reruntuhan.’”+
Nota Kaki
^ Merujuk kepada semua bangunan di dalam kawasan Rumah Tuhan.
^ Atau “membakar korban sehingga asap naik.”
^ Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.
^ Atau “yang dikhaskan.”
^ Atau “timbul dalam hati-Ku.”