Yeremia 39:1-18

  • Kejatuhan Yerusalem (1-10)

    • Zedekia melarikan diri dan ditangkap (4-7)

  • Yeremia harus dijaga dengan baik (11-14)

  • Ebed-melekh akan diselamatkan (15-18)

39  Pada bulan ke-10 tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia dari Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilon dan seluruh angkatan tenteranya datang ke Yerusalem dan mengepungnya.+  Mereka berjaya menembusi tembok kota itu pada hari kesembilan, bulan keempat, tahun ke-11 pemerintahan Zedekia.+  Semua pegawai raja Babilon masuk ke dalam kota itu dan duduk di Pintu Gerbang Tengah.+ Antara mereka ialah Samgar* Nergal-sarezer, ketua pegawai istana* yang bernama Nebo-sarsekim,* Rabmag* Nergal-sarezer, dan semua pegawai raja Babilon yang lain.  Ketika Zedekia, iaitu raja Yehuda, dan semua askarnya nampak apa yang berlaku, mereka melarikan diri.+ Pada malam hari, mereka keluar melalui pintu gerbang di antara dua tembok yang berdekatan taman di istana lalu mengambil jalan yang menuju ke Araba.+  Tetapi tentera Kasdim mengejar mereka dan menemui Zedekia di padang gurun Yerikho.+ Zedekia ditangkap dan dibawa menghadap Nebukadnezar, raja Babilon. Dia dibawa ke Ribla,+ yang terletak di tanah Hamat,+ dan raja Babilon menjatuhkan hukuman atasnya di situ.  Di Ribla, raja Babilon membunuh anak-anak lelaki Zedekia di depan mata Zedekia. Raja Babilon juga membunuh semua bangsawan Yehuda.+  Kemudian raja membutakan mata Zedekia dan mengikatnya dengan rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon.+  Orang Kasdim membakar istana dan rumah-rumah orang,+ dan merobohkan tembok Yerusalem.+  Nebuzaradan,+ iaitu ketua pengawal istana, menawan rakyat yang masih tinggal di kota Yerusalem, orang yang telah membelot dan memihak kepadanya, dan penduduk lain yang masih hidup. Dia membawa mereka semua ke Babilon. 10  Tetapi Nebuzaradan meninggalkan penduduk yang paling miskin di negeri Yehuda, iaitu penduduk yang tidak memiliki apa-apa. Pada hari itu, dia juga memberi mereka kebun anggur dan ladang untuk diusahakan.*+ 11  Berkenaan Yeremia, Raja Nebukadnezar dari Babilon memberikan perintah berikut kepada Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu: 12  “Bawalah Yeremia, dan jagalah dia. Jangan apa-apakan dia, dan penuhilah segala permintaannya.”+ 13  Oleh itu, Nebuzaradan bersama ketua pegawai istana* yang bernama Nebusyazban, Rabmag* Nergal-sarezer, dan semua pembesar raja Babilon menghantar utusan 14  untuk membawa Yeremia keluar dari Halaman Pengawal.+ Kemudian Yeremia diserahkan kepada Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan,+ supaya dia dapat tinggal di rumah Gedalia. Demikianlah Yeremia tinggal dalam kalangan rakyat. 15  Ketika Yeremia masih ditahan di Halaman Pengawal,+ Yehuwa berfirman kepadanya, 16  “Pergilah dan beritahulah Ebed-melekh,+ orang Etiopia* itu, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Aku telah berfirman bahawa Aku akan membawa malapetaka atas kota ini, dan bukannya berkat, dan Aku pasti akan melaksanakannya. Pada hari hal ini berlaku, engkau akan menyaksikannya.”’ 17  “‘Tetapi Aku akan menyelamatkan engkau pada hari itu,’ firman Yehuwa, ‘dan engkau tidak akan diserahkan kepada orang yang engkau takuti.’ 18  “‘Aku pasti akan membuka jalan bagimu untuk melarikan diri, dan engkau tidak akan dibunuh dengan pedang. Engkau pasti akan menyelamatkan nyawamu sendiri+ kerana engkau percaya kepada-Ku,’+ firman Yehuwa.”

Nota Kaki

Nampaknya gelaran bagi Nergal-sarezer.
Atau “Rabsaris.”
Atau menurut teks Ibrani yang lain, “Antara mereka ialah Nergal-sarezer, Samgar-nebo, Sarsekim, Rabsaris.”
Atau “ketua ahli sihir (ahli nujum).”
Atau mungkin, “dan menjadikan mereka buruh paksa.”
Atau “Rabsaris.”
Atau “ketua ahli sihir (ahli nujum).”
Atau “Habsyah.”