Yeremia 25:1-38

  • Persengketaan antara Yehuwa dengan bangsa-bangsa (1-38)

    • Bangsa-bangsa menjadi hamba Babilon selama 70 tahun (11)

    • Cawan yang berisi wain kemurkaan Tuhan (15)

    • Malapetaka menimpa bangsa demi bangsa (32)

    • Orang yang dibunuh oleh Yehuwa (33)

25  Pada tahun keempat pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, iaitu pada tahun pertama pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilon, Yeremia menerima perkhabaran tentang semua penduduk Yehuda.  Inilah perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Yeremia tentang* semua penduduk Yehuda dan Yerusalem:  “Sejak tahun ke-13 pemerintahan Yosia+ anak Amon, raja Yehuda, sehingga hari ini, iaitu selama 23 tahun, Yehuwa telah berfirman kepadaku. Aku telah menyampaikan firman-Nya kepada kamu berkali-kali, tetapi kamu enggan mendengar.+  Yehuwa juga berkali-kali mengutus semua hamba-Nya, iaitu nabi-nabi-Nya, kepada kamu, tetapi kamu menutup telinga dan tidak mahu mendengar.+  Nabi-nabi itu berkata, ‘Berbaliklah daripada haluan kamu yang jahat.+ Berhentilah berbuat jahat agar kamu dapat terus menetap di negeri yang telah Aku, Yehuwa, berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu sejak dahulu lagi.  Jangan mengikuti, melayani, dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain. Jangan membangkitkan kemarahan-Ku dengan membuat patung berhala, supaya Aku tidak mendatangkan malapetaka atas kamu.’  “‘Tetapi kamu enggan mendengarkan Aku,’ firman Yehuwa. ‘Sebaliknya kamu membangkitkan kemarahan-Ku dengan membuat patung berhala. Kamu sendiri telah mendatangkan malapetaka atas diri kamu.’+  “Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘“Oleh sebab kamu enggan mematuhi firman-Ku,  Aku akan memanggil semua keluarga dari sebelah utara,”+ firman Yehuwa, “ya Aku akan memanggil hamba-Ku,+ iaitu Raja Nebukadnezar dari Babilon, dan Aku akan menyuruh mereka menyerang negeri kamu+ dan penduduk di negeri kamu serta semua bangsa di sekeliling kamu.+ Aku akan memusnahkan kamu dan semua bangsa itu. Orang yang lalu di hadapan kamu akan berasa takut dan mengejek kamu.* Kamu akan menjadi reruntuhan buat selama-lamanya. 10  Aku akan menghentikan suara kegembiraan, suara sukacita,+ suara pengantin lelaki, suara pengantin perempuan,+ dan bunyi bijirin dikisar. Aku juga akan memadamkan cahaya dari pelita. 11  Seluruh negeri ini akan menjadi reruntuhan dan orang yang lalu di sini akan berasa takut. Bangsa-bangsa ini akan menjadi hamba raja Babilon selama 70 tahun.”’+ 12  “‘Tetapi selepas 70 tahun itu berlalu,+ Aku akan menghukum raja Babilon dan bangsa itu kerana kesalahan mereka,’+ firman Yehuwa, ‘dan Aku akan membuat negeri orang Kasdim menjadi tanah tandus yang tidak berpenghuni buat selama-lamanya.+ 13  Aku akan mendatangkan semua hal yang telah Aku firmankan atas negeri itu, iaitu semua hal yang tertulis dalam kitab ini, seperti yang telah dinubuatkan oleh Yeremia berkenaan bangsa-bangsa itu. 14  Mereka akan menjadi hamba+ kepada banyak bangsa dan raja yang berkuasa.+ Aku akan membalas mereka setimpal dengan tingkah laku dan perbuatan mereka.’”+ 15  Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, kepadaku: “Ambillah cawan yang berisi wain kemurkaan-Ku, lalu pergilah ke mana sahaja Aku mengutus engkau, dan suruhlah bangsa-bangsa di situ untuk minum dari cawan ini. 16  Mereka akan minum lalu mereka akan terhuyung-hayang. Mereka akan berkelakuan seperti orang gila kerana peperangan yang akan Aku datangkan atas mereka.”+ 17  Aku pun mengambil cawan itu dari tangan Yehuwa lalu pergi kepada bangsa-bangsa itu kerana Yehuwa telah mengutus aku kepada mereka. Kemudian aku menyuruh mereka minum dari cawan itu.+ 18  Mula-mula, aku pergi ke Yerusalem dan kota-kota Yehuda,+ dan kepada raja-raja dan para pemimpin di situ. Tempat itu akan menjadi reruntuhan, dan orang yang melihatnya akan menjadi takut. Mereka akan diejek dan dikutuk,+ seperti yang berlaku sampai hari ini. 19  Kemudian aku pergi kepada Firaun, iaitu raja Mesir, pegawainya, pemimpinnya, semua rakyatnya,+ 20  dan semua penduduknya yang berbilang bangsa; semua raja di negeri Uz; semua raja di negeri orang Filistin,+ Askelon,+ Gaza, Ekron, dan orang yang masih tinggal di Asdod; 21  Edom,+ Moab,+ dan orang Ammon;+ 22  semua raja di Tirus, semua raja di Sidon,+ dan semua raja di pulau-pulau; 23  Dedan,+ Tema, Buz, dan semua orang yang memotong rambut pada pelipis mereka;+ 24  semua raja orang Arab+ dan semua raja daripada bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang belantara; 25  semua raja di Zimri, semua raja di Elam,+ dan semua raja di Media;+ 26  dan semua raja di sebelah utara, tidak kira jauh atau dekat. Aku berjumpa dengan mereka satu demi satu. Aku juga pergi ke semua kerajaan yang ada di atas muka bumi ini. Raja Sheshak*+ akan minum dari cawan itu setelah mereka semua minum. 27  “Engkau haruslah berkata kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, ketua angkatan syurga: “Minumlah dari cawan itu sampai kamu mabuk, termuntah-muntah, dan terjatuh. Kamu tidak dapat bangun lagi+ kerana peperangan yang Aku datangkan atas kamu.”’ 28  Jika mereka tidak mahu mengambil cawan itu dari tanganmu dan meminumnya, katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Kamu mesti minum! 29  Aku akan mendatangkan malapetaka bermula dengan kota yang dibina untuk nama-Ku,+ jadi mengapa pula kamu menyangka bahawa kamu tidak akan dihukum?”’+ “‘Kamu pasti akan dihukum kerana Aku akan mendatangkan pedang untuk menyerang semua penduduk bumi,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga. 30  “Engkau haruslah menyampaikan nubuat ini kepada mereka:‘Yehuwa akan mengaum seperti singa dari tempat yang tinggi,Dan Dia akan membuat suara-Nya kedengaran dari tempat kediaman-Nya yang suci. Dia akan mengaum dengan begitu kuat ke arah tempat tinggal-Nya di bumi. Seperti orang yang memeras buah anggur,Dia akan menyanyikan lagu kemenangan kepada semua penduduk bumi.’ 31  ‘Bunyi kekecohan akan kedengaran sampai ke hujung bumi,Kerana terdapat persengketaan antara Yehuwa dengan bangsa-bangsa. Dia akan menghakimi semua manusia,+ Dan membinasakan orang jahat dengan pedang,’ firman Yehuwa. 32  Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Lihatlah! Malapetaka akan menimpa bangsa demi bangsa,+Dan badai yang kuat akan bertiup dari hujung-hujung bumi.+ 33  “‘Pada hari itu, mayat orang yang dibunuh oleh Yehuwa akan bergelimpangan dari satu hujung bumi ke hujung bumi yang lain. Mereka tidak akan diratapi atau dikumpulkan atau dikuburkan, tetapi akan dibiarkan di atas permukaan tanah seperti baja.’ 34  Berteriaklah, hai para gembala, dan berserulah! Berguling-gulinglah di atas tanah, hai para pemimpin kawanan,Kerana sudah tiba waktunya kamu disembelih dan dicerai-beraikan ke tempat-tempat lain.Kamu akan jatuh dan pecah seperti bekas yang bernilai! 35  Ya, para gembala tidak dapat melarikan diri ke mana-mana,Dan para pemimpin kawanan tidak dapat menyelamatkan diri. 36  Dengarlah! Para gembala sedang berseru,Dan para pemimpin kawanan sedang merintih,Kerana Yehuwa sedang memusnahkan padang rumput mereka. 37  Tempat kediaman yang aman kini menjadi tandus*Kerana kemarahan Yehuwa yang meluap-luap. 38  Dia telah meninggalkan tempat kediaman-Nya seperti seekor singa yang muda.+Orang yang lalu di negeri mereka akan berasa takutKerana serangan pedang yang kejam,Dan kerana kemarahan-Nya yang meluap-luap.”

Nota Kaki

Atau “kepada.”
Harfiah, “bersiul.”
Nampaknya nama ini ialah kriptografi (nama rahsia) bagi Babel (Babilon).
Atau “menjadi tidak bernyawa.”