Ulangan 1:1-46
1 Musa telah berkata-kata kepada umat Israel dekat Sungai Yordan, di kawasan padang belantara yang terletak di hadapan Suf, dekat Paran, Tofel, Laban, Hazerot, dan Dizahab.
2 (Perjalanan dari Horeb ke Kades-barnea+ melalui jalan yang menuju ke Gunung Seir mengambil masa 11 hari.)
3 Pada hari pertama, bulan ke-11, tahun ke-40+ selepas umat Israel keluar dari Mesir, Musa memberitahu umat Israel segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya, untuk disampaikan kepada mereka.
4 Hal ini berlaku selepas Sihon,+ raja orang Amori yang memerintah di Hesybon, dan Og,+ raja Basan yang memerintah Asytarot dan Edrei,+ dikalahkan.
5 Musa telah menjelaskan Hukum Tuhan+ kepada umat Israel di kawasan Moab, dekat Sungai Yordan. Musa telah berkata,
6 “Semasa kita berada di Horeb, Yehuwa, Tuhan kita, telah berfirman, ‘Sudah cukup lama kamu tinggal di kawasan pergunungan ini.+
7 Sekarang bersedialah untuk pergi ke kawasan pergunungan orang Amori+ dan ke kawasan-kawasan di sekitarnya, iaitu ke Araba,+ kawasan pergunungan, Syefela, Negeb, kawasan persisiran laut,+ Kanaan, dan ke Lebanon,*+ sampai ke Sungai Efrat, sungai yang besar itu.+
8 Aku, Yehuwa, telah bersumpah untuk memberikan tanah itu kepada nenek moyang kamu, iaitu kepada Abraham, Ishak,+ dan Yakub,+ serta keturunan mereka. Sekarang pergilah dan taklukilah tanah itu yang akan Aku berikan kepada kamu.’+
9 “Pada masa itu, aku telah berkata kepada kamu, ‘Aku tidak mampu memimpin kamu seorang diri.+
10 Yehuwa, Tuhan kamu, sudah melipatgandakan keturunan kamu sehingga menjadi banyak, seperti bintang di langit.+
11 Semoga Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, melipatgandakan keturunan kamu+ sampai seribu kali ganda, dan semoga Dia memberkati kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya.+
12 Tetapi bagaimana mungkin aku dapat memikul tanggungjawab ini seorang diri? Aku tidak mampu menyelesaikan semua masalah dan pertikaian kamu seorang diri.+
13 Maka pilihlah beberapa orang yang bijaksana, cekap, dan berpengalaman, daripada setiap suku. Aku akan melantik mereka menjadi ketua kamu.’+
14 Kamu telah berkata, ‘Apa yang kamu katakan itu baik.’
15 Oleh itu, aku telah memilih beberapa orang ketua yang bijak dan berpengalaman daripada setiap suku. Selepas itu, aku telah melantik mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang, serta untuk menjadi pegawai-pegawai suku.+
16 “Pada masa itu, aku telah memberikan perintah ini kepada para hakim kamu: ‘Jika ada pertikaian yang timbul, baik antara saudara-saudara kamu sendiri mahupun antara saudara kamu dengan orang asing+ yang tinggal dalam kalangan kamu, kamu mesti menghakimi perkara itu dengan adil.+
17 Tidak kira seseorang berkedudukan tinggi atau rendah,+ kamu tidak boleh bersikap berat sebelah.+ Semasa menghakimi, janganlah takut terhadap sesiapa pun+ kerana kamu bertindak sebagai wakil Tuhan.+ Jika timbul perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku, dan aku akan mengadilinya.’+
18 Pada masa itu, aku juga telah memberitahu kamu segala perkara yang harus kamu lakukan.
19 “Kemudian seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, kita meninggalkan Horeb dan pergi ke kawasan pergunungan orang Amori.+ Kita telah berjalan melalui padang belantara yang luas dan menakutkan+ lalu tiba di Kades-barnea.+
20 Di situ aku telah berkata kepada kamu, ‘Kita akan tiba di kawasan pergunungan orang Amori, iaitu tanah yang hendak diberikan oleh Yehuwa kepada kita.
21 Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan memberikan tanah itu kepada kamu. Maka, pergilah dan taklukilah tempat itu seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu.+ Janganlah takut atau gentar!’
22 “Tetapi kamu semua telah datang kepadaku dan berkata, ‘Utuslah beberapa orang untuk mengintip tanah itu bagi kita, supaya kita mengetahui jalan yang harus diikuti dan supaya kita mengetahui keadaan kota-kota di sana.’+
23 Cadangan kamu itu nampaknya baik. Maka aku telah memilih 12 orang antara kamu, iaitu seorang daripada setiap suku.+
24 Mereka telah pergi ke kawasan pergunungan+ dan sampai di Lembah* Eskol lalu menjelajahi tempat itu.
25 Mereka mengambil hasil tanah di situ lalu membawanya kepada kita. Mereka berkata, ‘Tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kita itu memang baik.’+
26 Tetapi kamu enggan mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu, dan kamu tidak mahu pergi ke tanah itu.+
27 Kamu bersungut-sungut di dalam khemah kamu dan berkata, ‘Yehuwa membenci kita. Itulah sebabnya Dia membawa kita keluar dari Mesir dan menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita.
28 Kita tidak berani+ pergi ke sana kerana para pengintip itu berkata, “Penduduk di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Kota-kota mereka sangat besar dan tembok-tembok mereka menjulang tinggi sampai ke langit.+ Kami juga nampak keturunan Enak+ di sana.”’
29 “Tetapi aku telah berkata kepada kamu, ‘Janganlah takut atau gentar terhadap mereka.+
30 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memimpin kamu dan berjuang untuk kamu,+ sebagaimana yang telah dilakukan-Nya di Mesir, di depan mata kamu sendiri.+
31 Kamu sendiri telah melihat bagaimana Yehuwa memelihara kamu di padang belantara. Seperti seorang bapa menggendong anaknya, Dia telah menjaga kamu sepanjang perjalanan sehingga kamu tiba ke tempat ini.’
32 Meskipun begitu, kamu tidak beriman kepada Yehuwa, Tuhan kamu,+
33 yang telah berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia memimpin kamu dengan tiang api pada waktu malam dan dengan tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu.+
34 “Sepanjang masa itu, Yehuwa mendengar sungutan kamu dan Dia menjadi murka terhadap kamu. Dia telah bersumpah,+
35 ‘Tiada seorang pun antara generasi yang jahat ini yang akan pergi ke tanah yang subur itu, yang telah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu,+
36 kecuali Kaleb anak Yefune. Dia akan pergi ke tanah itu, dan Aku akan memberikan tanah yang sudah dijelajahinya itu kepadanya dan kepada keturunannya, kerana dia telah mengikut Aku, Yehuwa, dengan sepenuh hati.+
37 (Yehuwa juga murka terhadapku kerana kamu semua, dan Dia berfirman, “Engkau pun tidak akan masuk ke tanah itu.+
38 Yosua+ anak Nun, pembantumu, yang akan masuk ke tanah itu.+ Kuatkanlah hatinya*+ kerana dialah yang akan memimpin umat Israel untuk menduduki tanah itu.”)
39 Kamu semua berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan,+ tetapi anak-anak kamu yang tidak mengetahui apa yang baik atau yang jahat itu akan memasuki tanah tersebut. Aku akan memberikan tanah itu kepada mereka sebagai milik mereka.+
40 Tetapi, kamu semua harus kembali ke padang belantara melalui Jalan Laut Merah.’+
41 “Kemudian kamu berkata kepadaku, ‘Kami tahu bahawa kami sudah berdosa terhadap Yehuwa. Tetapi sekarang kami bersedia untuk pergi berperang seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan kami.’ Maka setiap orang dalam kalangan kamu bersiap-siap untuk berperang. Kamu semua berfikir bahawa mudah sahaja untuk menakluki kawasan pergunungan itu.+
42 Tetapi Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Beritahulah mereka, “Jangan pergi berperang kerana Aku tidak akan menyertai kamu.+ Jika kamu pergi, kamu pasti akan dikalahkan oleh musuh.”’
43 Aku menyampaikan firman-Nya itu kepada kamu, tetapi kamu tidak mempedulikannya. Sebaliknya kamu memberontak terhadap Yehuwa, dan dengan angkuh kamu pergi ke kawasan pergunungan itu.
44 Kemudian orang Amori yang tinggal di kawasan pergunungan tersebut keluar untuk menyerang kamu. Seperti kawanan lebah, mereka mengejar kamu lalu menyebabkan kamu lari sampai ke Seir dan Horma.
45 Selepas itu, kamu kembali dan menangis di hadapan Yehuwa, tetapi Yehuwa tidak mendengarkan dan tidak mempedulikan kamu.
46 Maka kamu terus tinggal di Kades untuk waktu yang lama.
Nota Kaki
^ Nampaknya merujuk kepada banjaran Lebanon.
^ Atau “Wadi.”
^ Atau mungkin, “Aku akan menguatkan hatinya.”