Nehemia 1:1-11

  • Berita dari Yerusalem (1-3)

  • Doa Nehemia (4-11)

1  Inilah kata-kata Nehemia*+ anak Hakalia: Pada bulan Kislew* tahun ke-20,* aku berada di kota berkubu* Susan.*+  Pada waktu itu, salah seorang saudaraku, iaitu Hanani,+ datang bersama beberapa orang dari Yehuda. Aku bertanya kepada mereka tentang keadaan di Yerusalem dan keadaan orang Yahudi yang telah dibebaskan daripada tawanan.+  Mereka menjawab, “Orang Yahudi yang tinggal di wilayah itu, iaitu mereka yang dibebaskan daripada pembuangan, hidup dalam keadaan yang teruk dan memalukan.+ Tembok-tembok Yerusalem yang roboh masih belum dibina semula,+ dan pintu-pintu gerbangnya yang telah dibakar juga belum dibaiki.”+  Sebaik sahaja aku mendengar jawapan mereka, aku duduk dan mula menangis. Selama berhari-hari, aku berkabung, berpuasa,+ dan berdoa kepada Tuhan di syurga.  Aku berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan yang di syurga, Engkau Tuhan yang agung dan dihormati. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan menunjukkan kasih setia kepada orang yang mengasihi-Mu dan mematuhi hukum-Mu.+  Semoga Engkau menumpukan perhatian dan mendengar doa hamba-Mu hari ini. Siang dan malam,+ aku berdoa kepada-Mu tentang umat-Mu Israel. Sepanjang masa ini, aku mengakui bahawa kami, orang Israel, telah berdosa terhadap-Mu. Ya, aku dan keluarga bapaku telah berdosa terhadap-Mu.+  Kami telah berbuat jahat dan membuat Engkau murka,+ kerana kami tidak mematuhi hukum, peraturan, dan ketetapan yang telah Engkau sampaikan menerusi hamba-Mu Musa.+  “Ingatlah apa yang telah Engkau katakan* kepada hamba-Mu, Musa. Engkau telah berfirman, ‘Jika kamu tidak setia kepada-Ku, Aku akan mencerai-beraikan kamu dalam kalangan bangsa-bangsa lain.+  Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan mematuhi hukum-Ku serta hidup selaras dengannya, Aku akan mengumpulkan kamu+ meskipun kamu telah dicerai-beraikan ke seluruh bumi. Ya, Aku akan membawa kamu ke tempat yang telah Aku pilih untuk memuliakan nama-Ku.’+ 10  Mereka ialah umat-Mu dan hamba-Mu, yang telah Engkau selamatkan* dengan kuasa dan tangan-Mu yang perkasa.+ 11  Ya Yehuwa, dengarlah doa hamba-Mu ini, dan dengarlah doa hamba-hamba-Mu yang ingin menghormati* nama-Mu. Berkatilah segala usaha hamba-Mu hari ini, dan semoga raja berbelas kasihan terhadapku.”+ Pada masa itu, aku bertugas sebagai pengurus minuman raja.+

Nota Kaki

Maksudnya “Yah Melegakan Hati.”
Iaitu, tahun ke-20 pemerintahan Raja Artahsasta.
Atau “di istana.”
Atau “Susa.”
Atau “Ingatlah amaran yang telah Engkau berikan.”
Harfiah, “tebus.”
Harfiah, “ingin takut akan.”