Hakim-Hakim 18:1-31

  • Suku Dan mencari tanah (1-31)

    • Patung-patung Mikha dan imamnya dirampas (14-20)

    • Lais ditawan dan dinamakan Dan (27-29)

    • Penyembahan berhala di Dan (30, 31)

18  Pada masa itu belum ada raja di Israel.+ Suku Dan+ sedang mencari kawasan* untuk dijadikan tempat tinggal, kerana sampai hari itu mereka masih belum mendapat tanah warisan yang secukupnya dalam kalangan suku-suku Israel yang lain.+  Oleh itu, suku Dan memilih lima orang lelaki yang berkelayakan daripada suku mereka dan berkata, “Pergilah menjelajahi negeri itu.” Maka lima orang itu berangkat dari Zora dan Esytaol+ untuk menjelajahi dan mengintip negeri itu. Mereka tiba di rumah Mikha di kawasan pergunungan Efraim lalu bermalam di situ.+  Ketika mereka berada dekat dengan rumah Mikha, mereka mengenal loghat* pemuda Lewi itu. Maka mereka pergi kepadanya lalu bertanya, “Siapa yang membawa kamu ke sini? Apakah urusanmu? Mengapakah kamu tinggal di sini?”  Maka pemuda itu memberitahu mereka apa yang telah dilakukan oleh Mikha. Dia juga memberitahu mereka bahawa Mikha telah mengupah dia untuk menjadi imamnya.+  Kemudian mereka berkata kepadanya, “Tanyalah kepada Tuhan sama ada perjalanan kami akan berjaya atau tidak.”  Imam itu menjawab, “Pergilah dengan damai. Yehuwa menyertai kamu dalam perjalanan ini.”  Maka kelima-lima orang itu meneruskan perjalanan dan tiba di Lais.+ Mereka nampak bahawa penduduk kota itu hidup aman tanpa bergantung pada orang lain, sama seperti orang Sidon. Penduduk Lais hidup dengan tenang dan tidak mencurigai apa-apa pun.+ Tiada musuh yang menceroboh tempat itu dan menindas mereka. Mereka tinggal jauh daripada orang Sidon dan tidak berurusan dengan orang lain.  Apabila lima orang itu kembali ke Zora dan Esytaol,+ saudara-saudara mereka bertanya, “Apakah yang kamu dapati di sana?”  Mereka menjawab, “Kami telah melihat bahawa tempat itu sangat bagus. Marilah kita pergi menyerang mereka. Janganlah ragu-ragu. Cepat! Marilah kita pergi menakluki tempat itu. 10  Apabila kamu tiba di sana, kamu akan mendapati penduduk di situ tidak mencurigai apa-apa pun.+ Tuhan telah menyerahkan tempat itu ke dalam tangan kamu. Tempat itu luas dan tidak kekurangan apa-apa pun.”+ 11  Kemudian 600 orang daripada suku Dan yang siap untuk berperang berangkat dari Zora dan Esytaol.+ 12  Mereka pergi ke sebelah barat Kiryat-yearim+ di Yehuda lalu berkhemah di situ. Itulah sebabnya sehingga hari ini, tempat itu dipanggil Mahane-dan.*+ 13  Dari situ mereka pergi ke kawasan pergunungan Efraim lalu tiba di rumah Mikha.+ 14  Kemudian lima orang lelaki yang telah mengintip tanah di Lais+ berkata kepada saudara-saudara mereka, “Tahukah kamu bahawa terdapat efod, patung-patung terafim,* patung berukir, dan sebuah patung daripada logam di dalam rumah ini?+ Cuba fikir apa yang harus kamu lakukan.” 15  Kemudian mereka singgah di sana lalu pergi ke rumah pemuda Lewi itu+ yang terletak berhampiran dengan rumah Mikha. Mereka bertanyakan khabar kepadanya. 16  Sementara itu, 600 orang daripada suku Dan+ yang siap untuk berperang berdiri di hadapan pintu gerbang. 17  Kelima-lima orang yang telah pergi mengintip negeri itu+ masuk ke dalam rumah untuk mengambil patung berukir, efod,+ patung-patung terafim,+ dan patung logam itu.+ (Imam Lewi itu+ sedang berdiri di hadapan pintu gerbang dengan 600 orang yang siap untuk berperang.) 18  Apabila mereka masuk ke dalam rumah Mikha untuk mengambil patung berukir, efod, patung-patung terafim, dan patung logam itu, imam tersebut bertanya, “Apa yang sedang kamu buat?” 19  Mereka berkata, “Diamlah. Jangan cakap apa-apa pun. Ikutlah kami dan jadilah penasihat* dan imam kami. Bukankah lebih baik kamu menjadi imam bagi satu suku atau puak+ daripada menjadi imam bagi satu keluarga saja?”+ 20  Imam itu suka dengan cadangan itu. Maka dia mengambil efod, patung-patung terafim, dan patung berukir itu+ lalu pergi bersama-sama mereka. 21  Kemudian mereka meneruskan perjalanan, didahului oleh kanak-kanak, ternakan, dan barang-barang mereka yang bernilai. 22  Setelah mereka pergi agak jauh dari rumah Mikha, jiran-jiran Mikha berkumpul dan pergi mengejar orang daripada suku Dan. Apabila Mikha dan jiran-jirannya sudah dekat dengan mereka, 23  Mikha dan jiran-jirannya berteriak memanggil mereka. Kemudian orang daripada suku Dan berpaling dan berkata kepada Mikha, “Apa halnya? Mengapa kamu datang dengan begitu banyak orang?” 24  Mikha menjawab, “Kamu telah mengambil tuhan-tuhan yang telah aku buat. Kamu juga telah membawa imam itu pergi. Aku tidak mempunyai apa-apa lagi. Sekarang kamu pula yang bertanya, ‘Apa halnya dengan kamu?’” 25  Orang daripada suku Dan berkata, “Jangan berteriak kepada kami. Jika kamu berteriak, semua orang ini akan marah dan menyerang kamu. Nanti kamu dan keluargamu akan kehilangan nyawa.” 26  Kemudian orang daripada suku Dan meneruskan perjalanan mereka. Mikha melihat bahawa mereka lebih kuat daripadanya, maka dia pulang ke rumahnya. 27  Setelah mereka mengambil imam itu dan tuhan-tuhan yang dibuat oleh Mikha, mereka pergi ke Lais,+ sebuah kota yang penduduknya hidup dengan tenang dan tidak mencurigai apa-apa pun.+ Mereka membunuh penduduk di situ dengan pedang lalu membakar kota itu. 28  Tiada seorang pun yang menyelamatkan kota itu kerana penduduknya tidak berurusan dengan sesiapa pun. Tambahan lagi, kota itu terletak di dataran rendah di kawasan Bet-rehob+ dan jauh dari Sidon. Selepas itu, mereka membina semula kota itu dan tinggal di situ. 29  Mereka juga menamakan kota itu Dan,+ menurut nama nenek moyang mereka, iaitu Dan anak Israel.+ Dahulu kota itu dipanggil Lais.+ 30  Di situ mereka mendirikan patung berukir itu+ untuk diri mereka sendiri. Kemudian, mereka melantik Yonatan+ daripada keturunan Gersom,+ iaitu anak Musa, untuk menjadi imam. Demikianlah Yonatan dan keturunannya menjadi imam bagi suku Dan sehingga penduduk di situ dibuang ke negeri lain. 31  Mereka mendirikan patung berukir yang dibuat oleh Mikha di sana, dan patung itu tetap ada di sana selama rumah* Tuhan yang benar terletak di Silo.+

Nota Kaki

Harfiah, “warisan.”
Harfiah, “suara.”
Maksudnya “Perkhemahan Dan.”
Atau “patung dewa dewi keluarga; patung berhala.”
Harfiah, “bapa.”
Atau “khemah suci.”