Hakim-Hakim 15:1-20

  • Membalas dendam terhadap orang Filistin (1-20)

15  Beberapa waktu kemudian, pada musim menuai gandum, Simson pergi melawat isterinya dengan membawa seekor anak kambing. Dia berkata, “Saya mahu pergi ke bilik* isteri saya untuk berjumpa dengannya.” Tetapi bapa mentuanya tidak membenarkan dia masuk.  Dia berkata kepada Simson, “Aku sangka kamu benar-benar membencinya.+ Maka aku memberikannya kepada pengapitmu.+ Tetapi adik perempuannya lebih cantik daripadanya. Ambillah adiknya itu.”  Lalu Simson berkata, “Apa yang akan aku lakukan terhadap orang Filistin kali ini bukanlah kesalahanku.”  Maka Simson pergi menangkap 300 ekor rubah.* Kemudian dia mengambil obor dan mengikat semua rubah itu berdua-dua di bahagian ekor. Dia memasukkan sebuah obor di antara ekor setiap pasang rubah.  Kemudian, dia menyalakan semua obor itu lalu melepaskan rubah-rubah itu ke ladang-ladang gandum orang Filistin. Maka terbakarlah semua gandum yang diikat, bahkan semua gandum di ladang, kebun zaitun, dan ladang anggur pun terbakar.  Orang Filistin bertanya, “Siapakah yang melakukan hal ini?” Mereka diberitahu, “Ini perbuatan Simson, menantu orang Timna itu. Dia berbuat demikian kerana bapa mentuanya telah memberikan isterinya kepada pengapitnya.”+ Setelah mengetahui hal itu, orang Filistin pergi mencari isteri Simson dan bapa mentuanya lalu membakar mereka.+  Simson berkata, “Aku tidak akan berdiam diri sehingga aku telah membalas dendam terhadap kamu kerana tindakan kamu itu.”+  Kemudian dia menyerang mereka seorang demi seorang, sehingga banyak orang Filistin dibunuh. Selepas itu, Simson pergi ke gua* di bukit batu di Etam dan tinggal di sana.  Kemudian orang Filistin datang ke wilayah Yehuda. Mereka berkhemah di situ dan merayau-rayau di Lehi.+ 10  Orang Yehuda bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu datang untuk menyerang kami?” Mereka menjawab, “Kami datang untuk menangkap* Simson. Kami ingin membalas apa yang telah dilakukannya terhadap kami.” 11  Maka 3,000 orang Yehuda pergi ke gua* di bukit batu di Etam dan bertanya kepada Simson, “Tidakkah kamu tahu bahawa orang Filistin menguasai kita?+ Mengapakah kamu melakukan perkara ini terhadap kami?” Dia menjawab, “Aku hanya membalas perbuatan mereka.” 12  Orang Yehuda berkata, “Kami datang untuk menangkap* kamu dan menyerahkan kamu kepada orang Filistin.” Simson berkata kepada mereka, “Bersumpahlah bahawa kamu tidak akan membunuh aku.” 13  Mereka berkata, “Baiklah, kami tidak akan membunuh kamu. Kami hanya akan mengikat kamu dan menyerahkan kamu kepada mereka.” Kemudian mereka mengikat Simson dengan dua utas tali yang baharu, lalu membawa dia pergi dari bukit batu itu. 14  Apabila dia sampai di Lehi, orang Filistin bersorak-sorak semasa mereka nampak Simson. Pada masa itu, kuasa suci Yehuwa menyebabkan Simson menjadi kuat.+ Tali yang mengikat lengannya menjadi seperti benang linen yang dibakar dengan api, lalu jatuh dari tangannya.+ 15  Dia menjumpai seketul tulang rahang keldai jantan yang belum kering. Dia menghulurkan tangannya untuk mengambil tulang itu lalu menggunakannya untuk membunuh 1,000 orang.+ 16  Kemudian Simson berkata, “Dengan tulang rahang keldai, aku membunuh 1,000 orang. Dengan tulang rahang keldai, aku menyebabkan mayat musuh bertimbun-timbun!”+ 17  Setelah berkata demikian, dia membuang tulang rahang itu dan menamakan tempat itu Ramat-lehi.*+ 18  Kemudian dia berasa sangat haus, lalu dia berseru kepada Yehuwa, “Engkaulah yang memberikan kemenangan* yang besar ini kepadaku, hamba-Mu ini. Tetapi sekarang, haruskah aku mati kehausan lalu jatuh ke dalam tangan orang yang tidak bersunat?” 19  Oleh itu Tuhan membuka satu lubang di Lehi sehingga air mengalir keluar daripadanya.+ Simson minum lalu dia menjadi kuat dan segar semula. Dia menamakan tempat itu En-hakore.* Tempat itu masih terletak di Lehi sampai hari ini. 20  Sewaktu orang Filistin menguasai negeri itu, Simson menjadi hakim orang Israel selama 20 tahun.+

Nota Kaki

Atau “bilik tidur.”
Sejenis binatang di negeri Israel yang menyerupai anjing.
Atau “celah.”
Atau “mengikat.”
Atau “celah.”
Atau “mengikat.”
Maksudnya “Bukit Tulang Rahang.”
Atau “penyelamatan.”
Maksudnya “Mata Air daripada Dia yang Memanggil.”