Dua Tawarikh 7:1-22

  • Kemuliaan Yehuwa memenuhi Rumah Tuhan (1-3)

  • Upacara perasmian (4-10)

  • Yehuwa menampakkan diri kepada Salomo (11-22)

7  Sebaik sahaja Salomo selesai berdoa,+ api turun dari langit+ dan membakar semua korban.* Selepas itu, kemuliaan Yehuwa memenuhi rumah itu.+  Para imam tidak dapat masuk ke dalam Rumah Yehuwa kerana kemuliaan Yehuwa telah memenuhi Rumah Yehuwa.+  Semua orang Israel menyaksikan api turun dari langit dan kemuliaan Yehuwa ada di atas rumah itu. Kemudian mereka membongkok dan bersujud di lantai lalu mengucapkan syukur kepada Yehuwa, “Kerana Dia baik, dan kasih setia-Nya kekal abadi.”  Kemudian Raja Salomo dan seluruh rakyat mempersembahkan korban kepada Yehuwa.+  Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor bebiri sebagai korban. Demikianlah raja dan seluruh rakyat mengadakan upacara perasmian bagi rumah Tuhan yang benar.+  Para imam berdiri di tempat yang telah ditugaskan kepada mereka. Begitu juga, orang Lewi berdiri sambil memegang alat-alat muzik yang digunakan untuk memuji Yehuwa.+ (Alat-alat muzik itu telah diciptakan oleh Daud untuk memuji Yehuwa. Daud mengucap syukur kepada Tuhan bersama mereka* dengan berkata, “Kerana Dia baik, dan kasih setia-Nya kekal abadi.”) Para imam meniup trompet+ dengan nyaring di hadapan mereka sementara semua orang Israel berdiri.  Kemudian Salomo menyucikan bahagian tengah halaman yang ada di depan Rumah Yehuwa. Di situ, dia mempersembahkan korban-korban bakar+ dan lemak binatang daripada korban pendamaian. Hal ini demikian kerana mazbah tembaga+ yang dibina oleh Salomo terlalu kecil untuk korban-korban bakar, korban bijirin,+ dan lemak binatang.+  Pada masa itu, Salomo dan seluruh bangsa Israel mengadakan perayaan selama tujuh hari.+ Banyak orang Israel datang dari kawasan sejauh Lebo-hamat* sampai ke Wadi* Mesir untuk merayakan perayaan itu.+  Mereka mengadakan perasmian mazbah selama tujuh hari. Selepas itu, mereka juga menyambut perayaan selama tujuh hari. Pada hari kelapan,* mereka membuat perhimpunan suci.+ 10  Pada hari ke-23 bulan ketujuh, raja menyuruh semua orang pulang. Mereka pulang ke rumah dengan sukacita+ dan dengan hati yang gembira kerana mereka telah melihat berkat yang dicurahkan oleh Yehuwa kepada Daud, Salomo, dan umat-Nya Israel.+ 11  Demikianlah Salomo siap membina Rumah Yehuwa dan istana raja.+ Dia berjaya melaksanakan segala sesuatu yang ingin dilakukannya berkenaan Rumah Yehuwa dan istananya.+ 12  Kemudian Yehuwa menampakkan diri kepada Salomo+ pada waktu malam lalu berfirman kepadanya, “Aku telah mendengar doamu, dan Aku telah memilih tempat ini sebagai tempat khas untuk mempersembahkan korban kepada-Ku.+ 13  Apabila Aku menutup langit dan tidak ada hujan yang turun, atau apabila Aku menyuruh belalang untuk melahap tanaman di negeri ini, atau apabila Aku mendatangkan wabak atas umat-Ku, 14  lalu umat yang menyandang nama-Ku+ merendahkan diri+ dan berdoa serta mencari Aku lalu berpaling daripada haluan jahat mereka,+ Aku akan mendengar dari syurga dan mengampunkan dosa mereka serta memulihkan semula tanah mereka.+ 15  Sekarang Aku akan menumpukan perhatian dan mendengar doa-doa yang diucapkan dari tempat ini.+ 16  Aku telah memilih dan menyucikan rumah ini agar nama-Ku akan berkekalan di sini.+ Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya.+ 17  “Jika engkau menyembah Aku seperti bapamu Daud, dan mematuhi segala hukum dan peraturan-Ku serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu,+ 18  Aku akan mengukuhkan kerajaanmu.+ Hal ini demikian kerana Aku pernah berjanji kepada bapamu Daud,+ ‘Salah seorang daripada keturunanmu akan selalu duduk di atas takhta Israel.’+ 19  Tetapi jika engkau berpaling daripada-Ku lalu sujud menyembah tuhan yang lain, dan tidak mengikut Aku serta tidak mematuhi hukum dan perintah yang telah Aku berikan kepadamu,+ 20  Aku akan mengusir* orang Israel dari negeri yang telah Aku berikan kepadamu.+ Selain itu, rumah yang telah Aku sucikan demi nama-Ku akan Aku singkirkan daripada pandangan-Ku. Aku akan memastikan bahawa rumah ini menjadi bahan hinaan dan ejekan semua orang.+ 21  Rumah ini akan menjadi timbunan batu dan sesiapa sahaja yang lalu di sini akan tercengang+ dan bertanya, ‘Mengapakah Yehuwa berbuat demikian terhadap negeri ini dan rumah ini?’+ 22  Kemudian orang akan berkata, ‘Mereka telah meninggalkan Yehuwa,+ Tuhan nenek moyang mereka. Dialah yang telah membawa mereka keluar dari negeri Mesir,+ tetapi mereka berpaling kepada tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah tuhan-tuhan itu.+ Itulah sebabnya Dia mendatangkan semua malapetaka ini atas mereka.’”+

Nota Kaki

Atau “membakar korban bakar dan korban-korban lain.”
Mungkin merujuk kepada orang Lewi.
Atau “pintu masuk kota Hamat.”
Lihat Kamus.
Iaitu, hari ke-8 selepas perayaan selama 7 hari, atau hari ke-15.
Harfiah, “mencabut.”