Dua Tawarikh 29:1-36

  • Hizkia, raja Yehuda (1, 2)

  • Hizkia memulihkan ibadat suci (3-11)

  • Rumah Tuhan dibersihkan (12-19)

  • Khidmat suci dipulihkan (20-36)

29  Hizkia+ berumur 25 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 29 tahun. Nama ibunya ialah Abia, anak perempuan Zakharia.+  Hizkia terus melakukan apa yang baik di mata Yehuwa,+ seperti nenek moyangnya Daud.+  Pada bulan pertama, tahun pertama pemerintahannya, dia membuka semula pintu-pintu Rumah Yehuwa lalu mula memperbaikinya.+  Kemudian dia menyuruh para imam dan orang Lewi untuk berkumpul di dataran yang terletak di sebelah timur.  Dia berkata kepada mereka, “Hai orang Lewi, dengarlah kata-kata beta. Sucikanlah diri kamu+ dan sucikanlah Rumah Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu. Singkirkanlah semua barang yang najis dari tempat suci ini.+  Bapa kita tidak setia kepada Yehuwa, Tuhan kita.+ Mereka telah melakukan apa yang jahat di mata-Nya dan meninggalkan-Nya. Mereka tidak menghormati tempat kediaman Yehuwa dan berpaling daripada-Nya.+  Mereka juga menutup pintu-pintu di anjung Rumah Tuhan+ dan memadamkan pelita-pelita di situ.+ Mereka berhenti membakar kemenyan+ dan tidak mempersembahkan korban bakar+ kepada Tuhan orang Israel di tempat suci.  Maka Yehuwa murka terhadap Yehuda dan Yerusalem.+ Dia membuat sesiapa yang nampak mereka menjadi takut dan tercengang lalu mengejek mereka.* Mata kamu sendiri telah menyaksikan hal ini.+  Itulah sebabnya nenek moyang kita dibunuh dengan pedang+ dan anak isteri kita ditawan.+ 10  Sekarang beta berhasrat untuk membuat perjanjian dengan Yehuwa, Tuhan orang Israel,+ supaya Dia tidak lagi murka terhadap kita. 11  Anak-anakku, sekarang bukanlah masanya untuk berlengah-lengah.* Yehuwa telah memilih kamu semua untuk berdiri di hadapan-Nya, berkhidmat kepada-Nya,+ dan membakar korban kepada-Nya sehingga asap naik.”+ 12  Orang Lewi yang berikut pun berdiri: Mahat anak Amasai dan Yoel anak Azarya, daripada keturunan Kehat;+ Kish anak Abdi dan Azarya anak Yehalelel, daripada keturunan Merari;+ Yoah anak Zima dan Eden anak Yoah, daripada keturunan Gerson;+ 13  Simri dan Yeuel, daripada keturunan Elisafan; Zakharia dan Matania, daripada keturunan Asaf;+ 14  Yehiel dan Simei, daripada keturunan Heman;+ dan Semaya dan Uziel, daripada keturunan Yedutun.+ 15  Mereka mengumpulkan saudara-saudara mereka lalu mereka semua menyucikan diri. Kemudian mereka menyucikan Rumah Yehuwa, menurut perintah raja dan firman Yehuwa.+ 16  Para imam masuk ke dalam Rumah Yehuwa untuk menyucikannya. Mereka mengeluarkan semua barang yang najis yang dijumpai di dalam Rumah Yehuwa dan meletakkannya di halaman+ Rumah Yehuwa. Selepas itu, orang Lewi membawa semua barangan itu ke luar kota, iaitu ke Lembah Kidron.+ 17  Demikianlah mereka mula menyucikan Rumah Yehuwa pada hari pertama bulan pertama. Pada hari kelapan, mereka sampai di anjung Rumah Tuhan.+ Kemudian mereka menggunakan lapan hari lagi untuk menyucikan Rumah Yehuwa. Mereka selesai bekerja pada hari ke-16 bulan pertama. 18  Selepas itu, mereka pergi menghadap Raja Hizkia. Mereka berkata kepada raja, “Tuanku, kami telah menyucikan seluruh Rumah Yehuwa, mazbah untuk membakar korban+ dan segala peralatannya,+ dan meja untuk roti-roti yang berlapis*+ dan segala peralatannya. 19  Kami juga menyucikan semua peralatan yang telah diambil oleh Raja Ahas ketika dia tidak setia kepada Tuhan pada masa pemerintahannya.+ Kami menyediakan semua peralatan itu dan meletakkannya di hadapan mazbah Yehuwa.”+ 20  Raja Hizkia bangun awal dan mengumpulkan semua pemimpin kota lalu mereka pergi ke Rumah Yehuwa. 21  Mereka membawa tujuh ekor lembu jantan, tujuh ekor bebiri jantan, tujuh ekor anak bebiri jantan, dan tujuh ekor kambing jantan. Binatang-binatang itu digunakan sebagai korban dosa bagi keluarga diraja, bagi orang Yehuda, dan bagi tempat suci.+ Raja menyuruh para imam, iaitu keturunan Harun, untuk mempersembahkan semua binatang itu di atas mazbah Yehuwa. 22  Setelah lembu-lembu itu disembelih,+ para imam mengambil darah lembu itu lalu memercikkannya di atas mazbah.+ Kemudian mereka menyembelih bebiri jantan dan memercikkan darahnya di atas mazbah. Mereka juga berbuat demikian dengan semua anak bebiri jantan. 23  Selepas itu, para imam membawa kambing-kambing jantan itu, iaitu korban dosa, ke hadapan raja dan semua orang yang berkumpul di situ, lalu mereka meletakkan tangan mereka di atas kambing-kambing itu. 24  Kemudian para imam menyembelih semua kambing itu dan mempersembahkannya sebagai korban dosa. Lalu mereka meletakkan darahnya di atas mazbah untuk memohon pengampunan dosa bagi semua orang Israel. Hal ini demikian kerana raja telah memberikan perintah bahawa korban bakar dan korban dosa harus dipersembahkan untuk seluruh Israel. 25  Sesuai dengan perintah yang disampaikan oleh Daud,+ Nabi Natan,+ dan Gad+ yang selalu menyampaikan penglihatan daripada Tuhan, Raja Hizkia menyuruh orang Lewi untuk bertugas di dalam Rumah Yehuwa dengan memainkan simbal, alat muzik bertali, dan kecapi.+ Dia berbuat demikian kerana perintah itu diberikan oleh Yehuwa menerusi nabi-nabi-Nya. 26  Orang Lewi berdiri sambil memegang alat-alat muzik Daud, dan para imam pula memegang trompet.+ 27  Hizkia memberikan perintah agar korban bakar dipersembahkan di atas mazbah.+ Apabila korban itu dibakar, mereka mula menyanyikan lagu Yehuwa. Trompet juga ditiup seiring dengan alat-alat muzik Daud, raja Israel. 28  Sepanjang masa para penyanyi bernyanyi dan para pemuzik meniup trompet, semua orang yang berkumpul di situ bersujud. Mereka terus berbuat demikian sampai semua korban selesai dibakar. 29  Sebaik sahaja korban selesai dipersembahkan, raja dan semua orang yang ada bersamanya berlutut dan bersujud ke tanah. 30  Raja Hizkia dan para pemimpin menyuruh orang Lewi menyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa dengan lirik yang digubah oleh Daud+ dan Asaf,+ seorang utusan.* Mereka menyanyikan lagu pujian dengan sangat gembira, lalu berlutut dan bersujud ke tanah. 31  Selepas itu, Hizkia berkata, “Sekarang kamu telah dikhaskan untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Maka bawalah korban kesyukuran dan korban-korban lain ke Rumah Yehuwa.” Oleh itu, orang yang berkumpul di situ mula membawa korban kesyukuran dan korban-korban lain. Ada juga orang yang membawa korban bakar dengan sukarela.+ 32  Mereka membawa sebanyak 70 ekor lembu, 100 ekor bebiri jantan, dan 200 ekor anak bebiri jantan sebagai korban bakar untuk Yehuwa.+ 33  Mereka juga membawa 600 ekor lembu dan 3,000 ekor bebiri sebagai persembahan suci. 34  Oleh sebab bilangan imam tidak mencukupi, mereka tidak dapat menguliti semua korban bakar itu. Maka saudara-saudara mereka, iaitu orang Lewi, membantu mereka+ sehingga semua kerja itu selesai dan sehingga semua imam menyucikan diri.+ Hal ini demikian kerana orang Lewi lebih rajin menyucikan diri mereka berbanding para imam. 35  Pada waktu itu, terdapat juga banyak korban bakar,+ lemak binatang daripada korban pendamaian,+ dan wain yang dipersembahkan bersama korban pendamaian.+ Demikianlah mereka mula bertugas semula di Rumah Yehuwa. 36  Semua ini dapat berlangsung dengan cepat kerana Tuhan yang benar telah membantu umat-Nya.+ Oleh itu, Hizkia dan semua orang bersukacita.

Nota Kaki

Harfiah, “bersiul.”
Atau “untuk berehat.”
Iaitu, roti yang dipersembahkan.
Atau “seorang lelaki yang menyampaikan penglihatan Tuhan.”