Dua Tawarikh 20:1-37

  • Negara-negara jiran mengancam Yehuda (1-4)

  • Yehosafat berdoa meminta bantuan Tuhan (5-13)

  • Jawapan Yehuwa (14-19)

  • Yehuda selamat dengan bantuan Tuhan (20-30)

  • Akhir pemerintahan Yehosafat (31-37)

20  Tidak lama kemudian, orang Moab,+ orang Ammon,+ dan sebilangan orang Ammonim* pergi berperang dengan Yehosafat.  Yehosafat menerima laporan berikut: “Angkatan tentera yang besar telah datang dari kawasan laut* untuk menyerang tuanku. Mereka datang dari Edom,+ dan sekarang mereka berada di Hazazon-tamar, iaitu En-gedi.”+  Yehosafat menjadi takut lalu dia mengambil keputusan untuk meminta bantuan* Yehuwa.+ Dia mengeluarkan perintah agar penduduk di seluruh Yehuda berpuasa.  Kemudian semua orang Yehuda berkumpul untuk meminta petunjuk daripada Yehuwa.+ Mereka datang dari setiap kota di Yehuda untuk mencari bimbingan Yehuwa.  Semua orang Yehuda dan Yerusalem berkumpul di halaman baharu Rumah Yehuwa. Yehosafat berdiri di hadapan mereka  dan berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan nenek moyang kami! Bukankah Engkau Tuhan di syurga?+ Bukankah Engkau berkuasa atas semua bangsa?+ Engkau memiliki kuasa dan kekuatan. Tiada sesiapa pun yang dapat melawan Engkau.+  Ya Tuhan kami, Engkau telah mengusir penduduk negeri ini dari hadapan umat-Mu Israel lalu memberikan negeri ini kepada keturunan sahabat-Mu, Abraham. Negeri ini akan sentiasa menjadi warisan mereka.+  Mereka tinggal di sini dan membina sebuah tempat suci untuk nama-Mu.+ Mereka berkata,  ‘Jika kami dihukum dan ditimpa malapetaka seperti perang, wabak penyakit, atau kebuluran, kami akan berdiri di hadapan rumah ini dan menghadap-Mu kerana nama-Mu ada di rumah ini.+ Semasa kami dalam kesusahan dan meminta pertolongan daripada-Mu, dengarlah seruan kami dan selamatkanlah kami.’+ 10  Ketika orang Israel keluar dari Mesir dahulu, Engkau tidak membenarkan kami menyerang orang Ammon, orang Moab, dan orang dari kawasan pergunungan Seir.+ Maka kami tidak memusnahkan mereka dan pergi ke tempat lain.+ Sekarang mereka datang ke sini dan 11  membalas kami dengan mengusir kami dari tanah yang telah Engkau berikan kepada kami sebagai warisan.+ 12  Ya Tuhan kami, hukumlah mereka!+ Kami tidak berdaya melawan angkatan tentera yang besar ini, dan kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan.+ Engkaulah satu-satunya harapan kami.”+ 13  Pada waktu itu, semua orang Yehuda berdiri di hadapan Yehuwa bersama dengan anak isteri mereka, termasuk anak-anak mereka yang masih kecil. 14  Lalu kuasa suci Yehuwa dicurahkan ke atas Yahaziel anak Zakharia yang berada di tengah-tengah orang ramai itu. (Zakharia ialah anak Benaya, Benaya ialah anak Yeiel, dan Yeiel ialah anak Matania, seorang Lewi daripada keturunan Asaf.) 15  Yahaziel pun berkata, “Hai semua orang Yehuda, penduduk Yerusalem, dan Raja Yehosafat, dengarlah! Inilah firman Yehuwa: ‘Janganlah takut atau gentar semasa kamu menghadapi angkatan tentera yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, tetapi Tuhan.+ 16  Esok seranglah mereka. Mereka akan mengikut laluan di Ziz, dan kamu akan menemui mereka di hujung lembah* yang berdekatan padang belantara Yeruel. 17  Kamu tidak perlu bertempur. Ambillah tempat kamu masing-masing, berdirilah dengan tegak,+ dan lihatlah bagaimana Yehuwa menyelamatkan kamu.+ Wahai Yehuda dan Yerusalem, janganlah takut atau gentar!+ Hadapilah musuh kamu esok, dan Yehuwa akan menyertai kamu.’”+ 18  Yehosafat segera bersujud ke tanah, dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem juga bersujud di hadapan Yehuwa untuk menyembah Yehuwa. 19  Kemudian orang Lewi daripada keturunan Kehat+ dan Korah berdiri lalu memuji Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan suara yang lantang.+ 20  Keesokan paginya, mereka semua bangun awal dan pergi ke padang belantara di Tekoa.+ Semasa mereka bertolak, Yehosafat berdiri dan berkata, “Wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, dengarlah kata-kata beta! Berimanlah kepada Yehuwa, Tuhan kamu, supaya kamu dapat berdiri teguh.* Percayalah kepada nabi-nabi-Nya,+ dan kamu akan meraih kemenangan.” 21  Selepas Yehosafat berunding dengan rakyat, dia melantik beberapa orang untuk bernyanyi+ kepada Yehuwa dan memuji-Nya. Para penyanyi itu perlu memakai pakaian suci dan berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Bersyukurlah kepada Yehuwa kerana kasih setia-Nya kekal abadi.”+ 22  Apabila mereka mula menyanyikan lagu pujian dengan sukacita, Yehuwa mengaturkan supaya serangan hendap dilancarkan ke atas tentera Ammon, tentera Moab, dan tentera dari kawasan pergunungan Seir, yang hendak menyerang Yehuda. Musuh-musuh itu pun membunuh satu sama lain.+ 23  Mula-mula, tentera Ammon dan Moab bergabung untuk menyerang tentera dari kawasan pergunungan Seir+ dan membunuh mereka. Selepas tentera Seir dikalahkan, mereka pula membunuh satu sama lain.+ 24  Apabila orang Yehuda sampai di menara pengawal yang terletak di padang belantara,+ mereka memandang ke arah musuh dan nampak banyak mayat bergelimpangan di atas tanah.+ Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang masih hidup. 25  Oleh itu, Yehosafat dan tenteranya pergi mengambil harta musuh mereka. Mereka mendapati ada banyak bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga di situ. Hasil jarahan itu lebih banyak daripada apa yang dapat dibawa oleh mereka.+ Mereka mengambil masa tiga hari untuk mengangkut semuanya kerana terdapat begitu banyak barang jarahan. 26  Pada hari keempat, mereka berkumpul di Lembah* Berakha dan memuji* Yehuwa di situ. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Lembah Berakha*+ sehingga hari ini. 27  Kemudian Yehosafat memimpin semua tentera Yerusalem dan Yehuda kembali ke Yerusalem. Mereka bersukacita kerana Yehuwa telah mengalahkan musuh mereka.+ 28  Mereka masuk ke Yerusalem dan pergi ke Rumah Yehuwa+ sambil diiringi bunyi kecapi,+ trompet,+ dan alat-alat muzik bertali. 29  Yehuwa membuat semua kerajaan yang lain berasa takut apabila mereka mendengar bahawa Dia telah mengalahkan musuh orang Israel.+ 30  Maka seluruh kerajaan Yehosafat aman kerana Tuhan memberinya kedamaian.+ 31  Yehosafat terus memerintah Yehuda. Dia berusia 35 tahun semasa dia menjadi raja. Dia memerintah di Yerusalem selama 25 tahun. Ibunya ialah Azubah, anak perempuan Silhi.+ 32  Yehosafat tidak menyimpang dan terus mengikut jejak bapanya Asa.+ Dia melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.+ 33  Tetapi dia tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat,+ dan rakyat belum bertekad dalam hati mereka untuk menyembah Tuhan nenek moyang mereka.+ 34  Berkenaan kisah hidup Yehosafat yang lain, iaitu kisah hidupnya dari mula sampai akhir, semuanya tertulis dalam catatan Yehu+ anak Hanani,+ yang dimasukkan dalam Buku Raja-Raja Israel. 35  Selepas itu, Raja Yehosafat dari Yehuda berpakat dengan seorang raja yang jahat, iaitu Raja Ahazia dari Israel.+ 36  Mereka bekerjasama untuk membina kapal-kapal yang akan belayar ke Tarsis.+ Kapal-kapal itu dibina di Ezion-geber.+ 37  Tetapi Eliezer anak Dodavahu dari Maresa bernubuat tentang perkara buruk yang akan menimpa Yehosafat. Dia berkata, “Oleh sebab tuanku telah membuat pakatan dengan Ahazia, Yehuwa akan menggagalkan segala usaha tuanku.”+ Maka kapal-kapal yang telah dibina itu musnah,+ dan mereka tidak dapat belayar ke Tarsis.

Nota Kaki

Atau mungkin, “orang Meunim.”
Nampaknya merujuk kepada Laut Mati.
Atau “dia bertekad untuk mencari.”
Atau “wadi.”
Atau “dapat bertahan.”
Atau “Dataran Rendah.”
Harfiah, “memberkati.”
Maksudnya “Berkat.”