Dua Raja-Raja 3:1-27

  • Yehoram, raja Israel (1-3)

  • Moab memberontak terhadap Israel (4-25)

  • Moab dikalahkan (26, 27)

3  Yehoram+ anak Ahab menjadi raja Israel dan memerintah di Samaria pada tahun ke-18 pemerintahan Yehosafat, raja Yehuda. Yehoram memerintah selama 12 tahun.  Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, tetapi dia tidak sejahat bapanya atau ibunya. Dia merobohkan tugu suci* Baal yang didirikan oleh bapanya.+  Tetapi dia mengikut jejak Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel berdosa,+ dan dia enggan bertaubat.  Raja Mesa dari Moab ialah seorang penternak biri-biri. Dia biasanya membayar raja Israel ufti sebanyak 100,000 ekor anak bebiri dan 100,000 ekor bebiri jantan yang belum digunting bulunya.  Sebaik sahaja Ahab meninggal,+ raja Moab memberontak terhadap raja Israel.+  Oleh itu, Raja Yehoram meninggalkan Samaria pada masa itu dan mengumpulkan semua askar Israel.  Dia juga mengirim pesanan kepada Yehosafat, raja Yehuda, “Raja Moab telah memberontak terhadap beta. Adakah tuanku sudi untuk pergi berperang menentang Moab bersama-sama beta?” Yehosafat menjawabnya, “Ya, mari kita pergi bersama-sama.+ Tentera dan pasukan berkuda beta akan bergabung dengan tentera dan pasukan berkuda tuanku.”+  Kemudian Yehosafat bertanya, “Jalan manakah yang harus kita ikut?” Yehoram menjawab, “Kita ikut jalan yang melalui padang belantara Edom.”  Raja Israel bertolak bersama raja Yehuda dan raja Edom,+ dan mereka mengambil jalan yang jauh. Selepas tujuh hari, mereka kehabisan air sehingga tentera dan ternakan yang mengikuti mereka kehausan. 10  Raja Israel berkata, “Malanglah kita! Yehuwa telah mengumpulkan kita bertiga untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab!” 11  Yehosafat pun berkata, “Tidak adakah nabi Yehuwa di sini yang boleh membantu kita mendapatkan petunjuk Yehuwa?”+ Salah seorang hamba raja Israel menjawab, “Ya, ada. Dia ialah Elisa+ anak Safat yang pernah menjadi hamba Elia.”*+ 12  Kemudian Yehosafat berkata, “Betul, Yehuwa memang berfirman melaluinya.” Maka raja Israel dan Yehosafat serta raja Edom pergi kepada Elisa. 13  Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapakah tuanku datang kepada hamba?*+ Pergilah kepada nabi-nabi ayahanda tuanku dan nabi-nabi bonda tuanku.”+ Tetapi raja Israel menjawabnya, “Jangan kata begitu! Yehuwa telah mengumpulkan beta bertiga untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab.” 14  Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan yang hidup yang hamba sembah, bahawa jika bukan kerana Raja Yehosafat+ dari Yehuda, hamba tidak akan berjumpa ataupun menghiraukan tuanku.+ 15  Sekarang bawalah seorang pemain kecapi+ kepada hamba.” Sebaik sahaja pemain kecapi itu memetik kecapinya, kuasa Yehuwa turun ke atas Elisa.+ 16  Elisa berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Galilah parit-parit di lembah* ini 17  kerana Yehuwa telah berfirman bahawa lembah ini akan dipenuhi air meskipun tidak ada hujan atau angin.+ Kamu, ternakan kamu, dan binatang-binatang yang lain akan mendapat air untuk diminum.’ 18  Perkara ini mudah bagi Yehuwa.+ Selain itu, Dia juga akan menyerahkan orang Moab ke dalam tangan kamu.+ 19  Kamu mesti memusnahkan setiap kota yang bertembok+ dan setiap kota yang indah. Kamu harus menebang setiap pokok yang baik dan menutup semua mata air. Kamu juga harus merosakkan setiap tanah yang subur dengan batu-batu.”+ 20  Pada waktu pagi, iaitu pada waktu korban bijirin dipersembahkan,+ air tiba-tiba mengalir dari arah Edom dan lembah itu dipenuhi air. 21  Semua orang Moab mendengar bahawa raja-raja itu datang untuk melawan mereka. Maka semua lelaki yang mampu berperang dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri mereka. 22  Ketika orang Moab bangun pada awal pagi, matahari bersinar ke atas air di seberang lembah itu sehingga air itu kelihatan merah seperti darah. 23  Maka mereka berseru, “Lihatlah! Itu darah! Raja-raja itu pasti telah membunuh satu sama lain dengan pedang. Hai orang Moab sekalian, marilah kita pergi menjarah barang mereka!”+ 24  Apabila mereka tiba di perkhemahan orang Israel, orang Israel bangkit dan mula melawan mereka.+ Maka orang Moab melarikan diri ke negeri mereka, tetapi orang Israel mengejar mereka dan membunuh mereka. 25  Orang Israel memusnahkan kota-kota mereka. Setiap orang melontarkan batu ke setiap tanah yang subur sehingga tanah itu penuh dengan batu. Mereka juga menutup semua mata air+ dan menebang setiap pokok yang baik.+ Akhirnya hanya tembok batu di kota Kir-hareset+ yang tertinggal, dan askar-askar yang bersenjatakan ali-ali* mengepung kota itu dan menyerangnya. 26  Apabila raja Moab sedar bahawa dia telah kalah, dia membawa 700 orang askar yang berpedang lalu mencuba untuk menembusi pertahanan raja Edom.+ Namun usaha mereka gagal. 27  Maka dia mengambil anak sulungnya yang akan menggantikannya sebagai raja lalu mempersembahkannya sebagai korban bakar+ di atas tembok. Hal ini menimbulkan kemarahan yang dahsyat, dan orang Israel berundur dari situ lalu pulang ke negeri sendiri.

Nota Kaki

Lihat Kamus.
Atau “yang menuangkan air ke atas tangan Elia.”
Atau “Apakah kaitan hamba dengan tuanku?”
Atau “wadi.”
Senjata yang berupa tali, yang digunakan untuk melontar batu.