Dua Korintus 11:1-33

  • Paulus dan “rasul-rasul” yang sangat hebat (1-15)

  • Penderitaan Paulus sebagai rasul (16-33)

11  Aku berharap kamu semua akan bersabar dengan sikapku yang sedikit tidak munasabah. Sebenarnya, kamu memang bersabar dengan aku.  Sepertimana Tuhan mengambil berat terhadap kamu, aku juga mengambil berat terhadap kamu. Hal ini demikian kerana aku sendiri telah berjanji untuk mengahwinkan kamu dengan seorang lelaki, iaitu Kristus, dan aku mahu mempersembahkan kamu sebagai anak dara yang murni kepadanya.+  Namun demikian, aku takut fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak mempunyai ketulusan dan kemurnian yang layak diterima oleh Kristus.+ Hal itu telah berlaku kepada Hawa yang digoda oleh kelicikan ular.+  Kamu menerima kata-kata orang yang menyebarkan berita tentang Yesus yang lain, bukannya Yesus yang kami sebarkan. Kamu dipengaruhi oleh kecenderungan mental* yang berbeza daripada apa yang sudah kamu miliki. Kamu juga menerima berita baik yang berbeza daripada apa yang sudah kamu terima.+  Aku menganggap bahawa dalam satu hal pun aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang sangat hebat itu.+  Biarpun aku tidak mahir bercakap,+ tetapi aku memang mempunyai pengetahuan. Sememangnya, kami sudah menunjukkan pengetahuan itu dengan jelas dalam segala hal dan dengan semua cara.  Adakah aku berdosa kerana aku merendahkan diri agar kamu dapat ditinggikan? Adakah aku berdosa kerana aku menyampaikan berita baik tentang Tuhan kepada kamu dengan gembira dan tanpa mengenakan bayaran?+  Aku seolah-olah merompak sidang-sidang lain kerana aku menerima bantuan daripada mereka untuk berkhidmat kepada kamu.+  Semasa aku bersama kamu, aku tidak memiliki apa yang aku perlukan. Namun aku tidak menjadi beban kepada sesiapa pun, kerana saudara-saudara yang datang dari Makedonia telah memberikan apa yang aku perlukan secara melimpah.+ Aku memastikan bahawa aku tidak membebani kamu dalam apa jua cara, dan aku akan terus berbuat demikian.+ 10  Tiada apa-apa yang dapat menghalang aku daripada berbangga+ tentang hal ini di seluruh Akhaya, selagi kebenaran tentang Kristus ada dalam diriku. 11  Mengapakah aku tidak membebani kamu? Adakah aku tidak mengasihi kamu? Tuhan tahu bahawa aku mengasihi kamu. 12  Ada sesetengah orang yang bercakap besar dan mengatakan bahawa mereka merupakan rasul-rasul seperti kami. Jadi aku akan terus melakukan apa yang aku lakukan selama ini+ supaya mereka tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar. 13  Orang sebegini ialah rasul-rasul palsu. Mereka menipu orang dan menyamar sebagai rasul Kristus.+ 14  Sebenarnya, hal itu tidak menghairankan kerana Syaitan sendiri terus menyamar sebagai malaikat cahaya.+ 15  Oleh itu, aku tidak berasa hairan jika hamba-hamba Syaitan juga terus menyamar sebagai hamba-hamba yang melakukan apa yang benar. Namun, kesudahan yang bakal menimpa mereka setimpal dengan perbuatan mereka.+ 16  Sekali lagi aku berkata: Janganlah sesiapa berfikir bahawa aku tidak munasabah. Namun, jika kamu masih berfikir sedemikian, tetaplah menerima aku yang tidak munasabah ini agar aku juga dapat berbangga sedikit. 17  Apa yang aku katakan sekarang bukanlah mengikut teladan Tuan kita. Sebaliknya aku bercakap seperti orang yang tidak munasabah, yang bercakap besar dan terlalu yakin kepada diri sendiri. 18  Memandangkan banyak orang berbangga dengan hal-hal duniawi, aku pun mahu berbangga. 19  Oleh sebab kamu begitu “munasabah,” kamu pasti rela bersabar terhadap orang yang tidak munasabah. 20  Sebenarnya, kamu bersabar dan membiarkan orang memperhamba kamu, mengambil kesempatan terhadap kamu, meragut apa yang kamu ada, meninggikan dirinya atas kamu, atau menampar muka kamu. 21  Kami malu untuk mengatakan hal itu, kerana dalam pandangan kamu, kami seolah-olah lemah. Namun, aku hendak mengatakan sesuatu yang tidak munasabah: Jika orang lain bertindak dengan berani, aku pun mahu bertindak dengan berani. 22  Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani.+ Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham.+ 23  Adakah mereka hamba Kristus? Seperti orang gila, aku mengatakan bahawa aku ialah hamba yang lebih baik. Aku melakukan lebih banyak kerja+ dan aku lebih sering dipenjarakan.+ Sudah tidak terkira berapa kali aku dipukul dan sudah banyak kali aku hampir mati.+ 24  Sudah lima kali aku dipukul oleh orang Yahudi, dan setiap kali, aku menerima 39 pukulan.+ 25  Tiga kali aku dipukul dengan kayu,+ dan pernah sekali aku direjam.+ Tiga kali aku mengalami nahas kapal laut,+ dan aku pernah terapung-apung di laut selama satu hari dan satu malam. 26  Aku sering membuat perjalanan. Dalam perjalananku, aku diancam perompak dan menghadapi bahaya kerana sungai-sungai; aku menghadapi bahaya daripada bangsaku sendiri,+ daripada bangsa-bangsa lain,+ dan daripada saudara-saudara palsu; aku menghadapi bahaya di kota,+ di padang belantara, dan di laut. 27  Aku bekerja keras bermati-matian, kerap kali tidak tidur malam,+ lapar, dahaga,+ sering tidak mempunyai makanan,+ kesejukan, dan kekurangan pakaian. 28  Selain hal-hal itu, aku juga mengalami tekanan setiap hari kerana aku khuatir akan keadaan semua sidang.+ 29  Apabila seseorang lemah, tidakkah aku juga berasa lemah? Apabila seseorang tersandung, tidakkah aku naik marah? 30  Jika aku harus berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. 31  Tuhan dan Bapa kepada Tuan Yesus, iaitu Dia yang harus dipuji untuk selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. 32  Ketika aku berada di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas menjaga kota Damsyik untuk menangkap aku. 33  Namun melalui sebuah tingkap pada tembok kota, aku diturunkan di dalam sebuah keranjang+ dan aku berjaya melarikan diri daripadanya.

Nota Kaki

Lihat Kamus, “Roh.”