Satu Tawarikh 23:1-32

  • Daud mengaturkan tugasan orang Lewi (1-32)

    • Harun dan anak-anaknya diberi tugas khas (13)

23  Ketika Daud sudah tua dan hampir meninggal, dia menjadikan anaknya Salomo raja Israel.+  Kemudian dia mengumpulkan semua pembesar di Israel, para imam,+ dan orang Lewi.+  Orang Lewi yang berumur 30 tahun dan ke atas telah dihitung+ seorang demi seorang. Mereka berjumlah 38,000 orang.  Dalam kalangan mereka, sebanyak 24,000 orang ditugaskan untuk menyelia kerja-kerja di Rumah Yehuwa, 6,000 orang bertugas sebagai pegawai dan hakim,+  4,000 orang bertugas sebagai pengawal pintu,+ dan 4,000 orang lagi ditugaskan untuk memuji+ Yehuwa dengan memainkan alat-alat muzik. Alat-alat muzik itu telah diciptakan oleh Daud untuk memuji Tuhan.  Kemudian Daud membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan+ menurut nama anak-anak lelaki Lewi, iaitu Gerson, Kehat, dan Merari.+  Anak-anak lelaki Gerson ialah Ladan dan Simei.  Ladan mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Yehiel, Zetam, dan Yoel.+ Yehiel ialah ketua.  Simei* mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Selomot, Haziel, dan Haran. Mereka semua ialah ketua-ketua puak dalam keluarga Ladan. 10  Simei* mempunyai empat orang anak lelaki, iaitu Yahat, Zinah,* Yeus, dan Beria. 11  Yahat ialah ketua, dan Zizah ialah anak kedua. Anak Yeus dan Beria tidak banyak, maka mereka dianggap sebagai satu puak dan diberi tanggungjawab yang sama. 12  Kehat mempunyai empat orang anak lelaki, iaitu Amram, Yizhar,+ Hebron, dan Uziel.+ 13  Anak-anak lelaki Amram ialah Harun+ dan Musa.+ Harun dan anak-anak lelakinya dikhaskan untuk berkhidmat di Bilik Maha Suci pada setiap masa.+ Mereka sentiasa mempersembahkan korban di hadapan Yehuwa, melayani-Nya, dan memberkati orang dengan nama-Nya.+ 14  Musa ialah hamba Tuhan yang benar. Dia dan anak-anaknya tergolong dalam suku Lewi. 15  Anak-anak lelaki Musa ialah Gersom+ dan Eliezer.+ 16  Gersom mempunyai beberapa orang anak lelaki, dan Syebuel+ ialah ketua. 17  Eliezer tidak mempunyai anak lelaki yang lain kecuali Rehabia+ yang merupakan ketua. Tetapi Rehabia mempunyai banyak anak lelaki. 18  Yizhar+ mempunyai beberapa orang anak lelaki, dan Selomit+ ialah ketua. 19  Hebron mempunyai beberapa orang anak lelaki, dan Yeria ialah ketua, Amaria ialah anak kedua, Yahaziel ialah anak ketiga, dan Yekameam+ ialah anak keempat. 20  Anak-anak lelaki Uziel+ ialah Mikha yang merupakan ketua dan Yisia yang merupakan anak kedua. 21  Anak-anak lelaki Merari ialah Mahli dan Musi.+ Anak-anak lelaki Mahli ialah Eleazar dan Kish. 22  Eleazar mati tanpa mempunyai anak lelaki. Namun dia mempunyai anak-anak perempuan. Oleh itu, anak-anak lelaki Kish, iaitu sepupu mereka, mengambil mereka sebagai isteri. 23  Musi mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Mahli, Eder, dan Yeremot. 24  Itulah nama dan bilangan keturunan Lewi yang didaftarkan menurut puak dan ketua puak mereka. Mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas berkhidmat di Rumah Yehuwa. 25  Daud telah berkata, “Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah mengurniakan kedamaian kepada umat-Nya,+ dan Dia akan tinggal di Yerusalem buat selama-lamanya.+ 26  Orang Lewi tidak perlu lagi mengangkat khemah suci atau semua perkakas yang digunakan untuk beribadat.”+ 27  Berdasarkan arahan terakhir Daud, orang Lewi yang berumur 20 tahun dan ke atas harus didaftarkan. 28  Mereka ditugaskan untuk membantu keturunan Harun+ menjalankan tugas di Rumah Yehuwa. Tugas mereka merangkumi menjaga semua halaman+ dan dewan makan di rumah itu, mentahbiskan perkakas suci, dan melakukan pelbagai kerja di rumah Tuhan yang benar. 29  Mereka bertanggungjawab atas roti-roti berlapis,*+ tepung bermutu tinggi yang digunakan untuk korban bijirin, roti nipis yang tidak beragi,+ kuih lempeng, dan adunan yang dicampurkan dengan minyak.+ Mereka juga menguruskan kerja-kerja menyukat. 30  Selain itu, mereka bertugas untuk memuji dan mengucap syukur kepada Yehuwa pada setiap pagi dan petang.+ 31  Mereka turut membantu semasa korban bakar dipersembahkan kepada Yehuwa pada hari Sabat,+ perayaan bulan baharu,+ dan musim perayaan,+ menurut apa* yang tercatat dalam hukum. Mereka sentiasa berbuat demikian di hadapan Yehuwa. 32  Mereka juga menjaga khemah pertemuan dan tempat suci serta membantu saudara-saudara mereka, iaitu keturunan Harun, di Rumah Yehuwa.

Nota Kaki

Nampaknya berbeza daripada Simei di ayat 7.
Nampaknya merujuk kepada Simei di ayat 7.
Atau “Zizah” di ayat 11.
Iaitu, roti yang dipersembahkan.
Atau “jumlah.”