Satu Raja-Raja 6:1-38

  • Salomo membina Rumah Tuhan (1-38)

    • Bilik Maha Suci (19-22)

    • Kerub-kerub (23-28)

    • Ukiran, pintu, halaman dalam (29-36)

    • Rumah Tuhan siap dibina selepas tujuh tahun (37, 38)

6  Salomo mula membina Rumah Yehuwa*+ pada bulan Ziv*+ (iaitu, bulan yang kedua), pada tahun keempat dia menjadi raja Israel, iaitu pada tahun ke-480 selepas orang Israel meninggalkan Mesir.+  Rumah yang dibina oleh Raja Salomo untuk Yehuwa berukuran 60 hasta* panjang, 20 hasta lebar, dan 30 hasta tinggi.+  Di depan Rumah Tuhan, ada sebuah anjung+ yang berukuran 10 hasta panjang dan 20 hasta lebar, iaitu sama seperti lebar Rumah Tuhan.  Dia membuat tingkap yang berbingkai untuk Rumah Tuhan. Ukuran bingkai di sebelah luar tingkap lebih kecil daripada ukuran sebelah dalamnya.+  Selain itu, dia membina sebuah tembok di luar yang mengelilingi dinding Rumah Tuhan, iaitu mengelilingi Bilik Suci dan Bilik Maha Suci.+ Dengan itu, terdapat ruang di antara tembok itu dengan dinding Rumah Tuhan, dan terdapat juga beberapa buah bilik di ruang tersebut.+  Ruang itu dibahagi menjadi tiga tingkat: Tingkat bawah berukuran lima hasta lebar, tingkat tengah berukuran enam hasta lebar, dan tingkat atas berukuran tujuh hasta lebar. Dinding di setiap tingkat lebih nipis daripada tingkat di bawahnya, supaya terdapat kayu-kayu yang menghubungkan tembok luar dengan dinding Rumah Tuhan tanpa membuat lubang pada dinding itu.+  Batu-batu yang digunakan untuk membina Rumah Tuhan telah dipahat dan disediakan terlebih dahulu.+ Dengan demikian, sepanjang masa pembinaan Rumah Tuhan, bunyi tukul, kapak, atau alat-alat besi yang lain tidak kedengaran di situ.  Pintu masuk bagi tingkat bawah ruang itu ada di bahagian selatan Rumah Tuhan.+ Terdapat juga sebuah tangga melingkar yang menghubungkan tingkat bawah dengan tingkat tengah, dan menghubungkan tingkat tengah dengan tingkat atas.  Salomo meneruskan kerja pembinaan Rumah Tuhan sehingga segala-galanya selesai.+ Dia menggunakan kayu balak dan papan-papan daripada pokok sedar untuk membuat bumbung rumah itu.+ 10  Tinggi setiap tingkat bagi ruang yang dibina di sekeliling Rumah Tuhan+ berukuran lima hasta. Kayu-kayu sedar digunakan untuk menghubungkan tembok luar dengan dinding Rumah Tuhan. 11  Yehuwa berfirman kepada Salomo, 12  “Berkenaan rumah yang sedang engkau bina ini, jika engkau mematuhi dan menjalankan perintah, peraturan, dan semua hukum Aku,+ Aku akan melakukan untukmu apa yang telah Aku janjikan kepada bapamu, Daud.+ 13  Aku akan tinggal dalam kalangan umat-Ku Israel,+ dan Aku tidak akan meninggalkan mereka.”+ 14  Salomo meneruskan kerja pembinaan Rumah Tuhan sehingga segala-galanya selesai. 15  Dia melapisi dinding di sebelah dalam Rumah Tuhan dengan kayu sedar, dari lantai sampai ke siling. Selain itu, dia melapisi lantai rumah itu dengan kayu juniper.+ 16  Di bahagian paling belakang Rumah Tuhan,+ dia membina sebuah bilik yang berukuran 20 hasta. Dia membina bilik ini dengan kepingan kayu sedar, dari lantai sampai ke bumbung. Bilik Maha Suci+ terletak di dalam bilik ini. 17  Di bahagian hadapan rumah itu pula, terdapat Bilik Suci+ yang berukuran 40 hasta. 18  Terdapat ukiran labu+ dan ukiran bunga yang sedang mekar+ pada kayu-kayu sedar di dalam Rumah Tuhan. Kayu-kayu itu menutupi dinding Rumah Tuhan sehingga batu-batu dinding tidak kelihatan sama sekali. 19  Dia menyediakan Bilik Maha Suci+ di dalam Rumah Tuhan untuk menyimpan tabut perjanjian Yehuwa.+ 20  Bilik itu berukuran 20 hasta panjang, 20 hasta lebar, dan 20 hasta tinggi.+ Dia melapisi bilik itu dengan emas tulen, manakala mazbah pula dilapisi dengan kayu sedar.+ 21  Salomo melapisi bahagian dalam Rumah Tuhan dengan emas tulen.+ Selain itu, dia merentangkan rantai emas di hadapan Bilik Maha Suci,+ yang juga telah dilapisi dengan emas. 22  Dia melapisi seluruh rumah itu dengan emas. Dia juga menyaluti seluruh mazbah+ dekat Bilik Maha Suci dengan emas. 23  Di dalam Bilik Maha Suci, dia membuat dua kerub*+ daripada kayu pain.* Setiap kerub berukuran 10 hasta tinggi.+ 24  Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya lima hasta. Jarak antara kedua-dua hujung sayap setiap kerub ialah 10 hasta. 25  Kerub yang kedua juga berukuran 10 hasta. Kedua-dua kerub mempunyai saiz dan bentuk yang sama. 26  Kerub-kerub itu berukuran 10 hasta tinggi. 27  Kemudian dia meletakkan kedua-dua kerub+ itu di dalam Bilik Maha Suci. Sayap kerub-kerub itu terbentang dan saling menyentuh di tengah-tengah bilik. Sayap lain kerub yang pertama menyentuh dinding, dan sayap lain kerub yang kedua menyentuh dinding yang satu lagi. 28  Dia menyaluti kerub-kerub itu dengan emas. 29  Semua dinding di sekeliling kedua-dua bilik Rumah Tuhan dihiasi dengan ukiran kerub,+ pokok palma,+ dan bunga yang sedang mekar.+ 30  Lantai kedua-dua bilik itu juga dilapisi emas. 31  Dia membuat pintu masuk Bilik Maha Suci daripada kayu pain, lalu memasang ambang pintu dan tiang-tiang pintu di tepinya, yang membentuk bahagian kelima.* 32  Kedua-dua pintu itu diperbuat daripada kayu pain. Dia menghiasi kedua-dua pintu itu dengan ukiran kerub, pokok palma, dan bunga yang sedang mekar. Kemudian dia menyaluti semua itu dengan emas. Dia menggunakan tukul untuk memastikan ukiran kerub dan palma itu dilapisi emas dengan sepenuhnya. 33  Dia juga membuat tiang-tiang bagi pintu masuk Bilik Suci dengan cara yang sama. Tiang-tiang itu diperbuat daripada kayu pain, dan membentuk bahagian yang keempat.* 34  Dia membuat dua buah pintu daripada kayu juniper. Setiap pintu ada dua daun pintu yang berpusing pada paksinya.+ 35  Dia mengukir kerub, pokok palma, dan bunga yang mekar pada kedua-dua pintu itu. Selepas itu, dia melapisi ukiran-ukiran itu dengan emas. 36  Dia membina tembok bagi halaman dalam+ yang terdiri daripada tiga lapis batu yang telah dipotong dan satu lapis kayu sedar.+ 37  Pada tahun yang keempat, pada bulan Ziv,* asas bagi Rumah Yehuwa telah dibina.+ 38  Pada tahun ke-11, pada bulan Bul* (iaitu, bulan yang kelapan), setiap bahagian Rumah Tuhan telah siap dibina, tepat seperti segala yang ditunjukkan dalam pelan.+ Salomo menghabiskan masa tujuh tahun untuk membinanya.

Nota Kaki

Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
Harfiah, “kayu minyak,” mungkin merujuk kepada kayu daripada pokok pain Aleppo.
Mungkin merujuk kepada saiz pintu atau cara rangka pintu dibina.
Mungkin merujuk kepada saiz pintu atau cara rangka pintu dibina.