Satu Raja-Raja 2:1-46

  • Daud mengajar Salomo (1-9)

  • Daud meninggal; Salomo menjadi raja (10-12)

  • Rancangan Adonia mengakibatkan kematiannya (13-25)

  • Abiatar diusir; Yoab dibunuh (26-35)

  • Simei dibunuh (36-46)

2  Apabila Daud hampir meninggal, dia memberikan arahan-arahan berikut kepada anaknya Salomo:  “Tidak lama lagi, ayahanda akan mati. Kamu mesti kuat+ dan berani.+  Hendaklah kamu taat kepada Yehuwa, Tuhanmu, dengan hidup menurut haluan-Nya. Kamu haruslah mendengarkan perintah, hukum, peraturan, dan semua peringatan Tuhan yang tertulis dalam Hukum Musa.+ Dengan demikian, kamu akan berjaya dalam segala usahamu, tidak kira di mana kamu berada.  Yehuwa telah berjanji kepada ayahanda, ‘Jika keturunanmu memperhatikan jalan hidup mereka dan setia kepada-Ku dengan segenap hati dan jiwa,+ salah seorang daripada keturunanmu akan selalu duduk di atas takhta Israel.’+ Ya, Tuhan pasti menepati janji-Nya.  “Kamu juga tahu benar apa yang telah dilakukan oleh Yoab anak Zeruya kepada ayahanda dan kepada dua orang ketua tentera Israel, iaitu Abner+ anak Ner dan Amasa+ anak Yeter. Walaupun tiada perang, dia telah menumpahkan darah+ mereka dan menodai tali pinggang dan kasutnya dengan darah mereka.  Kamu harus bertindak dengan bijaksana. Jangan biarkan dia mati kerana usia tua.+  “Tetapi tunjukkanlah kasih yang setia kepada anak-anak Barzilai,+ orang Gilead itu. Mereka haruslah sentiasa duduk bersamamu di meja makanmu kerana mereka telah berbuat baik kepada ayahanda dan menyokong ayahanda+ semasa ayahanda melarikan diri daripada abangmu Absalom.+  “Selain itu, janganlah lupa tentang Simei anak Gera, iaitu orang Benyamin dari Bahurim. Dia telah mengutuk ayahanda dengan kejam+ sewaktu ayahanda dalam perjalanan ke Mahanaim.+ Tetapi semasa dia turun untuk berjumpa dengan ayahanda di Sungai Yordan, ayahanda telah bersumpah demi nama Yehuwa bahawa ayahanda tidak akan membunuhnya dengan pedang ayahanda.+  Jangan biarkan dia terlepas daripada hukuman.+ Kamu orang yang bijaksana dan tahu apa yang harus dilakukan. Darahnya harus ditumpahkan. Jangan biarkan dia mati kerana usia tua.”+ 10  Selepas itu, Daud meninggal* dan dikebumikan di Kota Daud.+ 11  Daud telah memerintah Israel selama 40 tahun. Dia memerintah di Hebron+ selama 7 tahun, dan di Yerusalem selama 33 tahun.+ 12  Salomo duduk di atas takhta bapanya Daud. Pemerintahannya semakin kukuh seraya masa berlalu.+ 13  Beberapa lama kemudian, Adonia anak Hagit pergi berjumpa dengan Bat-syeba, ibu Salomo. Bat-syeba bertanya, “Adakah kamu datang dengan damai?” Adonia menjawab, “Ya,” 14  lalu menambah, “Ada sesuatu yang ingin aku katakan.” Maka Bat-syeba menjawab, “Katakanlah.” 15  Adonia berkata, “Kamu tahu bahawa sayalah yang sepatutnya menjadi raja dan itulah yang diharapkan oleh semua orang Israel.+ Tetapi hal itu tidak berlaku, dan adik saya yang menjadi raja kerana Yehuwa telah memberikan takhta itu kepadanya.+ 16  Sekarang saya ada satu permintaan. Tolong jangan tolak permintaan saya ini.” Bat-syeba menjawab, “Katakanlah.” 17  Adonia berkata, “Tolonglah mohon kepada Raja Salomo supaya memberi saya Abisag,+ gadis Sunem itu, sebagai isteri. Saya tahu raja tidak akan menolak permintaanmu.” 18  Setelah mendengarnya, Bat-syeba berkata, “Baiklah! Aku akan menyampaikan permintaanmu kepada raja.” 19  Maka Bat-syeba menghadap Raja Salomo untuk menyampaikan permintaan Adonia. Raja segera menyambutnya dan tunduk kepadanya. Kemudian raja duduk di atas takhtanya dan menyuruh orang untuk menyediakan satu lagi takhta di sebelah kanannya supaya ibunya boleh duduk. 20  Bat-syeba berkata, “Bonda ada satu permintaan yang kecil. Janganlah tolak permintaan bonda ini.” Oleh itu, raja berkata, “Beritahulah saya permintaan bonda itu. Saya tidak akan menolak permintaan bonda.” 21  Bat-syeba berkata, “Berikanlah Abisag, gadis Sunem itu, kepada abangmu Adonia sebagai isteri.” 22  Kemudian Raja Salomo menjawab, “Mengapa bonda meminta saya memberikan Abisag, gadis Sunem itu, kepada Adonia? Mengapa bonda tidak meminta sahaja saya menyerahkan takhta saya kepadanya?+ Bukankah dia abang saya?+ Lagipun Imam Abiatar dan Yoab+ anak Zeruya sedang menyokongnya.”+ 23  Maka Raja Salomo bersumpah demi nama Yehuwa, “Biarlah Tuhan menghukum beta, dan melipatgandakan hukuman-Nya atas beta, jika Adonia tidak dihukum mati kerana permintaannya ini. 24  Yehuwa telah mengukuhkan kedudukan beta di atas takhta ayahanda beta Daud. Dia juga telah memberikan kerajaan ini kepada beta dan keturunan beta seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Sekarang beta bersumpah di hadapan Tuhan yang hidup bahawa beta akan menjatuhkan hukuman mati atas Adonia hari ini juga.”+ 25  Raja Salomo segera mengutus Benaya+ anak Yehoyada untuk membunuh Adonia, lalu Benaya pun pergi membunuhnya. 26  Raja berkata kepada Imam Abiatar,+ “Pergilah ke ladangmu di Anatot!+ Kamu sepatutnya mati, tetapi beta tidak akan membunuhmu hari ini kerana kamu telah mengangkat tabut Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, di hadapan ayahanda beta.+ Kamu juga telah mengharungi pahit getir hidup bersama ayahanda beta.”+ 27  Maka Salomo mengusir Abiatar, dan Abiatar tidak lagi berkhidmat sebagai imam Yehuwa. Dengan demikian, berlakulah apa yang difirmankan oleh Yehuwa di Silo+ tentang Eli+ dan keturunannya. 28  Meskipun Yoab tidak berpihak kepada Absalom,+ dia telah berpihak kepada Adonia.+ Maka apabila Yoab mendengar apa yang telah berlaku, dia melarikan diri ke khemah Yehuwa+ lalu memegang erat tanduk mazbah. 29  Kemudian ada orang memberitahu Raja Salomo, “Yoab telah melarikan diri ke khemah Yehuwa, dan kini dia berada di samping mazbah.” Maka Salomo mengutus Benaya anak Yehoyada dengan perintah ini: “Pergilah, bunuhlah dia!” 30  Benaya pun pergi ke khemah Yehuwa dan berkata kepada Yoab, “Raja menyuruh kamu keluar dari sini!” Tetapi Yoab menjawab, “Tidak! Aku mahu mati di sini.” Maka Benaya kembali kepada raja dan memberitahunya apa yang dikatakan oleh Yoab. 31  Raja berkata kepadanya, “Lakukanlah apa yang dikatakannya. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian, beta dan keluarga ayahanda beta tidak perlu bertanggungjawab terhadap darah orang yang tidak bersalah yang telah ditumpahkan oleh Yoab.+ 32  Yehuwa akan menuntut hutang darah daripadanya kerana dia telah menggunakan pedang untuk membunuh dua orang yang tidak bersalah dan yang lebih baik daripadanya, iaitu Abner+ anak Ner, ketua tentera Israel,+ dan Amasa+ anak Yeter, ketua tentera Yehuda. Yoab telah membunuh mereka tanpa pengetahuan Daud, ayahanda beta.+ 33  Yoab dan keturunannya harus bertanggungjawab atas kematian mereka buat selama-lamanya.+ Tetapi semoga Daud, keturunannya, keluarganya, dan takhtanya mendapat kedamaian daripada Yehuwa buat selama-lamanya.” 34  Maka Benaya anak Yehoyada pergi menemui Yoab lalu membunuhnya. Selepas itu, Yoab dikebumikan dekat rumahnya di padang belantara. 35  Kemudian raja melantik Benaya+ anak Yehoyada sebagai ketua tentera untuk menggantikan Yoab. Zadok+ pula dilantik menjadi imam untuk menggantikan Abiatar. 36  Raja memanggil Simei+ lalu berkata kepadanya, “Binalah sebuah rumah untuk dirimu di Yerusalem. Tinggallah di kota ini dan jangan pergi ke tempat yang lain. 37  Jika kamu keluar dan menyeberangi Lembah Kidron,+ pada hari itu juga kamu pasti mati, dan kamulah yang akan bertanggungjawab terhadap kematianmu sendiri.” 38  Lalu Simei berkata kepada raja, “Tuanku memang adil. Hamba akan mematuhi perintah tuanku.” Maka Simei tinggal lama di Yerusalem. 39  Tetapi selepas tiga tahun, dua orang hamba Simei telah melarikan diri ke Gat. Mereka telah pergi kepada Akhis+ anak Maakha, iaitu raja Gat. Apabila Simei mendapat tahu bahawa hamba-hambanya ada di Gat, 40  dia segera memasangkan pelana pada keldainya lalu pergi kepada Akhis di Gat untuk mencari mereka. Apabila Simei kembali bersama hamba-hambanya, 41  Salomo diberitahu, “Simei telah keluar dari Yerusalem dan pergi ke Gat. Kini dia sudah pulang dari situ.” 42  Oleh itu, raja memanggil Simei dan berkata kepadanya, “Bukankah beta telah menyuruh kamu bersumpah demi nama Yehuwa dan memberikan amaran berikut kepadamu: ‘Jika kamu keluar dan pergi ke tempat lain, pada hari itu juga kamu pasti mati’? Bukankah kamu telah menjawab, ‘Apa yang tuanku katakan itu adil, dan hamba akan mematuhi perintah tuanku’?+ 43  Jadi mengapa kamu tidak menepati sumpahmu kepada Yehuwa, dan tidak mematuhi perintah yang beta berikan kepadamu?” 44  Raja menyambung, “Kamu sendiri tahu semua kejahatan yang telah kamu lakukan terhadap Daud, ayahanda beta.+ Sekarang Yehuwa menuntut supaya kamu bertanggungjawab atas perbuatan jahatmu.+ 45  Tetapi Yehuwa akan memberkati Raja Salomo,+ dan mengukuhkan takhta Daud buat selama-lamanya.” 46  Setelah itu, raja memberikan perintah kepada Benaya anak Yehoyada supaya membunuh Simei, lalu dia pun mati.+ Demikianlah Raja Salomo berkuasa penuh dalam kerajaannya.+

Nota Kaki

Harfiah, “dibaringkan bersama nenek moyangnya.”