Yohanes 1:1-51

  • Firman itu menjadi manusia (1-18)

  • Kesaksian Yohanes Pembaptis (19-28)

  • Yesus, Anak Bebiri Tuhan (29-34)

  • Murid-murid pertama Yesus (35-42)

  • Filipus dan Natanael (43-51)

1  Pada mulanya, Firman itu wujud. Firman itu bersama Tuhan, dan Firman itu tuhan.*  Pada mulanya dia sudah ada bersama Tuhan.  Segala-galanya wujud melalui dia, dan tanpa dia, tiada sesuatu pun yang wujud.  Melalui dia, wujudlah kehidupan, dan kehidupan itu merupakan cahaya bagi manusia.  Cahaya itu bersinar dalam kegelapan, tetapi kegelapan tidak dapat memadamkannya.  Ada seorang lelaki yang diutus sebagai wakil Tuhan. Namanya Yohanes.  Dia datang sebagai saksi untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu, supaya melaluinya, segala macam orang akan percaya.  Dia bukanlah cahaya itu, tetapi dia diutus untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu.  Cahaya sejati yang menerangi segala macam orang akan datang ke dunia tidak lama lagi. 10  Dia ada di dunia, dan dunia wujud melalui dia. Namun, dunia tidak mengenalnya. 11  Dia datang ke tanah airnya, tetapi orang yang sebangsa dengannya tidak menerimanya. 12  Namun, semua yang menerimanya telah diberikan hak olehnya untuk menjadi anak-anak Tuhan, kerana mereka beriman kepada namanya. 13  Mereka tidak dilahirkan daripada darah dan daging, atau menerusi kehendak manusia. Sebaliknya, mereka dilahirkan sebagai anak-anak Tuhan. 14  Firman itu telah menjadi manusia dan tinggal dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaannya, iaitu kemuliaan yang dimiliki anak tunggal seorang bapa. Dia penuh dengan kebenaran dan sangat diperkenankan Tuhan.* 15  (Yohanes telah memberikan kesaksian tentangnya. Ya, Yohanes berseru, “Dialah yang aku maksudkan semasa aku berkata, ‘Orang yang datang selepas aku telah berada di hadapanku, kerana dia wujud sebelum aku.’”) 16  Dia penuh dengan kebaikan hati yang unggul, oleh itu kita juga terus dicucuri kebaikan hati yang unggul. 17  Hukum diberikan menerusi Musa, tetapi kebaikan hati yang unggul dan kebenaran disingkapkan menerusi Yesus Kristus. 18  Tiada seorang pun yang pernah melihat Tuhan kecuali Anak tunggal Tuhan* yang berada di sisi Bapa.* Dialah yang telah menyingkapkan Tuhan. 19  Inilah kesaksian Yohanes semasa orang Yahudi mengutus imam-imam dan orang Lewi dari Yerusalem untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?”  20  Dia menjawab dan mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Kristus.” 21  Maka mereka bertanya, “Kalau begitu, siapakah kamu? Adakah kamu Elia?” Dia menjawab, “Bukan.” “Adakah kamu Nabi itu?” Dia menjawab, “Bukan!” 22  Maka mereka bertanya kepadanya, “Siapakah kamu? Beritahulah kami supaya kami dapat memberikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Apakah yang dapat kamu katakan tentang dirimu?” 23  Dia menjawab, “Akulah orang yang berseru di padang belantara, ‘Hendaklah kamu meluruskan jalan bagi Yehuwa,’ seperti yang dikatakan oleh nabi Yesaya.” 24  Para utusan itu diutus oleh orang Farisi. 25  Mereka bertanya, “Kamu bukan Kristus, Elia, atau Nabi itu. Jadi, mengapakah kamu membaptis orang?” 26  Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi dia yang tidak kamu kenal berdiri dalam kalangan kamu. 27  Dia datang selepas aku, tetapi aku tidak layak membuka tali kasutnya.” 28  Hal-hal itulah yang berlaku di Betania, yang terletak di seberang Sungai Yordan, iaitu tempat Yohanes membaptis orang. 29  Keesokan harinya, semasa Yohanes melihat Yesus datang kepadanya, dia berkata, “Lihat, Anak Bebiri Tuhan yang menghapuskan dosa dunia! 30  Dialah orang yang aku maksudkan semasa aku berkata, ‘Orang yang datang selepas aku telah berada di hadapanku, kerana dia wujud sebelum aku.’ 31  Aku pun tidak mengenalnya, tetapi aku datang untuk membaptis dengan air supaya dia dapat menampakkan dirinya di hadapan Israel.” 32  Yohanes juga memberikan kesaksian dengan berkata, “Aku telah melihat daya aktif Tuhan turun dari langit seperti burung merpati dan tinggal di atasnya. 33  Aku pun tidak mengenalnya, tetapi Dia yang mengutus aku untuk membaptis dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Apabila kamu melihat daya aktif turun dan tinggal di atas seseorang, dialah orang yang akan membaptis dengan daya aktif Tuhan.’ 34  Aku sudah melihat hal ini, dan aku memberikan kesaksian bahawa dialah Anak Tuhan.” 35  Pada hari berikutnya, Yohanes sedang berdiri di tempat itu dengan dua orang muridnya. 36  Ketika dia melihat Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihat, Anak Bebiri Tuhan!” 37  Apabila kedua-dua orang murid itu mendengar kata-katanya, mereka pun mengikut Yesus. 38  Yesus berpaling dan melihat mereka mengikutnya lalu dia berkata, “Apakah yang sedang kamu cari?” Mereka menjawab, “Rabbi, (yang bermaksud “Guru”), di manakah Rabbi tinggal?” 39  Dia berkata kepada mereka, “Marilah dan lihat.” Waktu itu kira-kira jam empat petang.* Mereka mengikutnya dan melihat tempat tinggalnya. Pada hari itu, mereka tinggal bersamanya. 40  Salah seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikut Yesus bernama Andreas, iaitu saudara kandung Simon Petrus. 41  Mula-mula Andreas menemui Simon, saudara kandungnya, dan berkata kepadanya, “Kami sudah menjumpai Mesias” (yang bermaksud “Kristus”). 42  Kemudian, dia membawa Simon kepada Yesus. Semasa Yesus melihat Simon, dia berkata, “Kamu ialah Simon anak Yohanes. Kamu akan digelar Kefas” (iaitu “Petrus” dalam bahasa Yunani). 43  Keesokan harinya, Yesus ingin bertolak ke Galilea. Maka dia menemui Filipus dan berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” 44  Filipus berasal dari kota Betsaida, iaitu tempat asal Andreas dan Petrus. 45  Filipus menemui Natanael dan berkata kepadanya, “Kami sudah menemui orang yang perihalnya tercatat dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi. Dia ialah Yesus anak Yusuf, yang berasal dari Nasaret.” 46  Namun Natanael berkata, “Dapatkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” Filipus berkata kepadanya, “Marilah dan lihat.” 47  Apabila Yesus melihat Natanael berjalan ke arahnya, dia berkata tentangnya, “Lihatlah, orang Israel sejati yang hatinya bebas daripada tipu daya.” 48  Natanael berkata, “Bagaimanakah Tuan mengenal aku?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, aku sudah nampak kamu di bawah pokok ara itu.” 49  Natanael berkata, “Rabbi ialah Anak Tuhan dan Raja orang Israel.” 50  Yesus berkata, “Adakah kamu percaya kerana aku berkata bahawa aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang lebih menakjubkan.” 51  Yesus menyambung, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu semua: Kamu akan melihat langit terbuka, dan melihat malaikat-malaikat Tuhan naik ke syurga dan turun kepada Anak manusia.”

Nota Kaki

Atau “seperti Tuhan.”
Atau “penuh dengan kebaikan hati yang unggul.”
Atau “Anak tunggal yang diciptakan oleh Tuhan sendiri dan yang memiliki sifat-sifat Tuhan.”
Atau “dada Bapa,” maksudnya dia mendapat perkenan istimewa.
Harfiah, “kira-kira jam yang kesepuluh.”