Lukas 7:1-50

  • Iman pegawai tentera (1-10)

  • Anak balu di Nain dibangkitkan (11-17)

  • Yohanes Pembaptis dipuji (18-30)

  • Generasi yang degil dikutuk (31-35)

  • Wanita berdosa diampuni (36-50)

    • Perumpamaan tentang penghutang (41-43)

7  Setelah Yesus selesai mengatakan semua ini kepada orang ramai, dia pergi ke Kapernaum.  Di situ, ada seorang pegawai tentera yang mempunyai seorang hamba yang sangat disayanginya. Hamba itu sakit tenat dan hampir meninggal.  Semasa pegawai itu mendengar tentang Yesus, dia mengutus para pemimpin orang Yahudi kepada Yesus untuk memintanya datang dan menyembuhkan hambanya.  Mereka datang kepada Yesus dan mula merayunya dengan bersungguh-sungguh, “Guru, dia layak mendapat bantuanmu  kerana dia mengasihi bangsa kita dan membina rumah ibadat di sini.”  Maka Yesus pergi bersama mereka. Tetapi semasa dia hampir tiba, pegawai tersebut menghantar sahabat-sahabatnya untuk berkata kepadanya, “Tuan, usahlah datang ke rumahku, kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke dalam rumahku.  Itulah sebabnya aku tidak datang dan berjumpa dengan Tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh.  Aku pun menurut perintah orang lain dan aku juga mempunyai askar-askar yang menurut perintahku. Semasa aku menyuruh seorang askar, ‘Pergilah!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Datanglah!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.”  Yesus kagum semasa mendengar kata-katanya lalu berpaling untuk memberitahu orang ramai yang mengikutnya, “Aku berkata kepada kamu: Bahkan di Israel pun aku belum pernah menjumpai sesiapa yang mempunyai iman sebesar iman orang ini.” 10  Ketika orang yang dihantar itu pulang ke rumah pegawai tersebut, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh. 11  Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke sebuah kota yang dipanggil Nain. Murid-muridnya dan sekumpulan besar orang pergi bersamanya. 12  Semasa dia hampir tiba di pintu gerbang kota itu, ada orang mengusung mayat seorang lelaki keluar. Dia ialah anak lelaki tunggal seorang balu. Ramai orang dari kota itu menemani ibunya. 13  Semasa Tuan Yesus melihat wanita itu, dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata, “Janganlah menangis.” 14  Seterusnya, dia menghampiri dan menyentuh usungan itu, lalu para pengusung berhenti. Yesus berkata, “Hai lelaki muda, aku menyuruhmu: Bangunlah!” 15  Lelaki yang mati itu pun duduk dan mula bercakap. Kemudian, Yesus menyerahkan lelaki tersebut kepada ibunya. 16  Semua orang di situ berasa takut dan mula memuliakan Tuhan dengan berkata, “Seorang nabi yang agung telah muncul dalam kalangan kita,” dan, “Tuhan berbelas kasihan terhadap umat-Nya.” 17  Maka berita tentang Yesus tersebar ke seluruh Yudea dan semua kawasan di sekitarnya. 18  Murid-murid Yohanes melaporkan semua hal ini kepada Yohanes. 19  Maka Yohanes memanggil dua orang muridnya dan mengutus mereka untuk bertanya kepada Tuan Yesus, “Adakah Guru merupakan Dia Yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?” 20  Apabila mereka berjumpa dengannya, mereka pun berkata, “Yohanes Pembaptis mengutus kami untuk bertanya kepada Guru, ‘Adakah Guru merupakan Dia Yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?’” 21  Pada masa itu, Yesus menyembuhkan ramai orang yang kurang sihat dan yang sakit teruk. Dia juga mengusir roh jahat dan menyembuhkan ramai orang buta supaya mereka dapat melihat. 22  Maka dia berkata kepada mereka, “Pergilah kepada Yohanes dan laporkanlah apa yang kamu lihat dan dengar: Orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, pesakit kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dibangkitkan, dan berita baik sedang dikhabarkan kepada orang miskin. 23  Berbahagialah orang yang percaya kepadaku tanpa ragu-ragu.”* 24  Selepas murid-murid Yohanes beredar, Yesus bertanya kepada orang ramai tentang Yohanes, “Semasa kamu ke padang belantara, apakah yang mahu kamu lihat? Rumput yang ditiup angin? 25  Jika tidak, apakah yang mahu kamu lihat? Seseorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian mahal dan hidup mewah berada di istana. 26  Sebenarnya, apakah tujuan kamu keluar? Untuk melihat seorang nabi? Ya, sesungguhnya Yohanes jauh lebih besar daripada seorang nabi. 27  Mengenai dia, ada tertulis, ‘Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku di hadapanmu. Dia akan membuka jalan bagimu.’ 28  Aku berkata kepada kamu: Antara orang yang dilahirkan, tiada yang lebih besar daripada Yohanes. Namun, orang yang berkedudukan rendah dalam Kerajaan Tuhan lebih besar daripadanya.” 29  (Semasa orang ramai dan pemungut cukai mendengar kata-kata ini, mereka mengisytiharkan keadilan Tuhan kerana mereka telah dibaptis oleh Yohanes. 30  Namun, orang Farisi dan orang yang arif dalam Hukum tidak mempedulikan arahan* yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka kerana mereka belum dibaptis oleh Yohanes.) 31  Yesus menyambung, “Dengan siapakah dapat aku bandingkan generasi ini? Mereka seperti siapa? 32  Mereka seperti kanak-kanak yang duduk di tempat awam* sambil berseru kepada satu sama lain, ‘Kami meniup seruling untuk kamu, tetapi kamu tidak menari; kami meratap, tetapi kamu tidak menangis.’ 33  Semasa Yohanes Pembaptis datang, dia tidak makan roti ataupun minum wain. Namun kamu berkata, ‘Dia kena rasuk roh jahat.’ 34  Semasa Anak manusia datang, dia makan dan minum. Tetapi kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia gelojoh, pemabuk, dan bersahabat dengan pemungut cukai dan pendosa!’ 35  Meskipun demikian, kebijaksanaan seseorang dibuktikan benar oleh perbuatannya.”* 36  Ada seorang Farisi yang asyik menjemput Yesus untuk makan bersamanya. Maka dia pergi ke rumah orang Farisi itu lalu duduk dan makan di meja. 37  Dalam kota itu, terdapat seorang wanita yang dikenali ramai kerana dia hidup dalam dosa. Apabila wanita itu mendapat tahu bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol* berisi minyak wangi 38  dan berlutut dekat kaki Yesus. Wanita itu mula menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian dia menggunakan rambutnya untuk mengeringkan kaki Yesus. Dia juga mencium kaki Yesus dan menuangkan minyak wangi pada kakinya. 39  Orang Farisi yang menjemput Yesus ke rumahnya melihat perkara ini dan berkata dalam hati, “Jika lelaki ini benar-benar seorang nabi, pasti dia tahu siapa yang menyentuhnya. Tidakkah dia tahu bahawa wanita itu hidup dalam dosa?” 40  Yesus tahu apa yang difikirkannya lalu dia berkata, “Simon, ada sesuatu yang hendak aku katakan kepadamu.” Simon menjawab, “Katakanlah Guru!” 41  “Ada dua orang yang meminjam wang daripada seorang lelaki. Seorang berhutang 500 denari* dan seorang lagi berhutang 50 denari. 42  Apabila mereka tidak mampu melangsaikan hutang, lelaki itu mengampuni mereka dengan rela hati. Jadi, siapakah antara dua orang itu yang akan lebih mengasihinya?” 43  Simon menjawab, “Pada pendapatku, lelaki yang hutangnya lebih banyak.” Yesus berkata kepadanya, “Betul jawapanmu.” 44  Kemudian Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, “Adakah kamu nampak wanita ini? Semasa aku masuk ke dalam rumahmu, kamu tidak menyediakan air untuk membasuh kakiku, tetapi wanita ini membasahi kakiku dengan air matanya dan mengeringkan kakiku dengan rambutnya. 45  Kamu tidak menyambutku dengan ciuman, tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kakiku sejak aku masuk. 46  Kamu tidak menuangkan minyak pada kepalaku, tetapi wanita ini menuangkan minyak wangi pada kakiku. 47  Oleh itu, aku berkata kepadamu: Walaupun dosa wanita ini banyak,* dosanya sudah diampunkan. Maka, kasih yang ditunjukkannya pun banyak.” 48  Kemudian dia berkata kepada wanita itu, “Dosamu sudah diampunkan.” 49  Orang yang duduk dan makan bersamanya di meja mula berkata sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang dapat mengampunkan dosa?” 50  Tetapi dia berkata kepada wanita itu, “Kamu diselamatkan kerana imanmu. Pergilah dengan sejahtera.”

Nota Kaki

Harfiah, “tersandung.”
Atau “nasihat.”
Atau “pasar.”
Harfiah, “dibuktikan benar melalui semua anaknya.”
Harfiah, “botol alabaster.” Lihat Daftar Kata, “Alabaster.”
Duit perak Roma.
Atau “besar.”