Lukas 23:1-56

  • Di hadapan Pilatus dan Herodes (1-25)

  • Yesus dipakukan pada tiang bersama dua penjenayah (26-43)

    • ‘Kamu akan bersamaku di Firdaus’ (43)

  • Kematian Yesus (44-49)

  • Yesus dimakamkan (50-56)

23  Mereka semua berdiri dan membawa Yesus menghadap Pilatus.  Mereka mula menuduh dia dengan berkata, “Kami mendapati bahawa lelaki ini menyesatkan bangsa kami. Dia melarang orang membayar cukai kepada Kaisar dan mengatakan bahawa dia ialah Kristus, seorang raja.”  Pilatus bertanya kepada Yesus, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” Dia menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakannya.”  Maka Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai, “Aku tidak dapat mencari kesalahan lelaki ini.”  Tetapi mereka tetap berkeras dan berkata, “Dia menimbulkan banyak masalah di serata Yudea dengan menyebarkan ajarannya dari Galilea sampai ke sini.”  Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya sama ada dia ialah orang Galilea atau tidak.  Selepas Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang ditadbir oleh Herodes, dia menghantarnya kepada Herodes. Pada masa itu, Herodes juga berada di Yerusalem.  Herodes pernah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu, dia sudah lama ingin berjumpa dengannya dan berharap dapat melihat mukjizat yang dilakukannya. Maka, ketika dia melihat Yesus, dia sangat gembira  dan mula mengajukan banyak soalan kepadanya, namun Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. 10  Tetapi para ketua imam dan jurutulis hukum berdiri dan menuduh Yesus dengan marah. 11  Kemudian, Herodes dan askar-askarnya menghina Yesus. Dia mengolok-olokkan Yesus dengan mengenakan jubah yang cantik padanya lalu menghantar dia kembali kepada Pilatus. 12  Walaupun Herodes dan Pilatus dahulunya bermusuhan, sejak hari itu mereka berdua mula bersahabat. 13  Setelah itu, Pilatus mengumpulkan ketua-ketua imam, para pemimpin, dan orang ramai. 14  Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa lelaki ini kepada aku dan mengatakan bahawa dia menghasut orang untuk memberontak. Tetapi lihatlah! Aku sudah menyoal dia di hadapan kamu, tetapi aku mendapati semua tuduhan yang kamu lontarkan itu tidak berasas. 15  Sebenarnya, Herodes juga mendapati bahawa dia tidak bersalah lalu menghantarnya kembali kepada kami. Dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dihukum mati. 16  Jadi, aku akan mencambuk dia lalu membebaskannya.” 17 * —— 18  Tetapi orang ramai di situ berteriak, “Bunuhlah dia! Kami mahu Barabas dibebaskan!” 19  (Barabas dipenjarakan kerana membunuh orang dan menyertai pemberontakan yang berlaku di kota.) 20  Pilatus mahu membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru lagi kepada orang ramai. 21  Tetapi mereka berteriak sekali lagi, “Bunuhlah dia pada tiang! Bunuhlah dia pada tiang!” 22  Buat kali ketiga, dia berkata kepada mereka, “Mengapa? Apakah kesalahannya? Aku mendapati bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga patut dihukum mati. Oleh itu, aku akan mencambuk dia lalu membebaskannya.” 23  Tetapi mereka terus menuntut dengan suara yang keras agar Yesus dihukum bunuh. Akhirnya, Pilatus mengalah. 24  Dia membuat keputusan agar permintaan mereka dituruti. 25  Dia membebaskan lelaki yang dikehendaki mereka, iaitu lelaki yang dipenjarakan kerana terlibat dalam pemberontakan dan pembunuhan, tetapi dia menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati. 26  Semasa mereka membawa Yesus keluar dari situ, mereka menangkap Simon, orang Kirene yang baru datang dari desa. Mereka meletakkan tiang seksaan* Yesus pada bahu Simon dan menyuruh dia memikul tiang itu sambil berjalan di belakang Yesus. 27  Banyak orang mengikut Yesus, termasuk wanita-wanita yang meratapinya dan asyik memukul dada kerana sedih. 28  Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Hai wanita-wanita Yerusalem, janganlah menangis untuk aku. Sebaliknya, tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu, 29  kerana akan tiba masanya apabila orang berkata, ‘Alangkah bahagianya wanita yang mandul dan wanita yang tidak pernah melahirkan dan menyusui anak!’ 30  Pada masa itu, orang akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’ 31  Jika mereka berbuat demikian semasa pokok masih hijau, apakah yang akan berlaku apabila pokok itu layu?” 32  Ada dua orang penjenayah yang dibawa untuk dihukum mati bersama-sama Yesus. 33  Apabila mereka sampai di tempat yang dipanggil Tengkorak, mereka memakukannya pada tiang bersama-sama dua orang penjenayah itu, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya. 34  Tetapi Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.” Mereka juga membahagi-bahagikan jubah luarnya dengan membuang undi. 35  Orang ramai berdiri dan melihat apa yang berlaku. Tetapi para pemimpin mentertawakannya dan berkata, “Dia menyelamatkan orang lain. Jadi jika dia ialah Kristus yang dipilih oleh Tuhan, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri.” 36  Bahkan askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekatinya lalu memberinya wain masam 37  sambil berkata, “Jika kamu Raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri.” 38  Di sebelah atas kepalanya ada tertulis: “Inilah Raja orang Yahudi.” 39  Kemudian, salah seorang penjenayah yang digantung di situ mula mencelanya dan berkata, “Bukankah kamu Kristus? Selamatkanlah dirimu sendiri dan kami juga.” 40  Tetapi penjenayah yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Adakah kamu tidak takut sama sekali dengan Tuhan? Kamu pun menerima hukuman yang sama dengannya. 41  Hukuman yang kita terima adil dan setimpal dengan semua perbuatan kita, tetapi lelaki ini tidak membuat apa-apa yang salah.” 42  Kemudian dia berkata, “Yesus, ingatlah aku apabila kamu masuk ke dalam Kerajaanmu.” 43  Maka Yesus berkata kepada lelaki itu, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” 44  Meskipun masanya kira-kira jam 12 tengah hari,* seluruh bumi menjadi gelap sehingga jam 3 petang* 45  kerana matahari tidak bersinar. Ketika itu, tirai di Rumah Tuhan koyak menjadi dua. 46  Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tangan-Mu.” Selepas berkata demikian, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. 47  Pegawai tentera yang melihat apa yang berlaku mula memuliakan Tuhan dan berkata, “Lelaki ini memang tidak bersalah!” 48  Apabila orang ramai yang berkumpul di situ melihat apa yang berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil memukul dada kerana sedih. 49  Semua yang mengenal Yesus, termasuk wanita-wanita yang mengikutnya dari Galilea, berdiri dari jauh sambil melihat semua perkara itu. 50  Ada seorang ahli Majlis Orang Yahudi yang baik dan melakukan apa yang benar, yang bernama Yusuf. 51  (Lelaki ini tidak menyetujui atau menyokong muslihat dan perbuatan Majlis Orang Yahudi.) Dia berasal dari Arimatea, sebuah kota orang Yudea. Dia sedang menantikan Kerajaan Tuhan. 52  Dia menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus. 53  Kemudian, dia menurunkan mayat Yesus, membalutnya dengan kain linen yang bermutu tinggi, dan meletakkannya dalam sebuah makam. Makam itu digali di bukit batu dan belum pernah digunakan. 54  Hari itu ialah hari Persiapan. Hari sudah petang dan hari Sabat hampir bermula. 55  Tetapi wanita-wanita yang datang dengan Yesus dari Galilea mengikut Yusuf. Mereka melihat makam Yesus dan nampak bagaimana mayatnya diletakkan di dalam makam itu. 56  Selepas itu, mereka pulang untuk menyediakan bahan-bahan harum dan minyak wangi. Pada hari Sabat, mereka berehat sesuai dengan apa yang diperintahkan dalam Hukum.

Nota Kaki

Ayat ini tidak terdapat dalam beberapa naskhah kuno dan nampaknya bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami.
Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “kira-kira jam yang keenam.”
Harfiah, “jam yang kesembilan.”