Kisah 26:1-32

  • Paulus membela diri di hadapan Agripa (1-11)

  • Paulus menceritakan bagaimana dia menjadi pengikut Yesus (12-23)

  • Reaksi Festus dan Agripa (24-32)

26  Raja Agripa berkata kepada Paulus, “Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.” Maka Paulus mengangkat tangannya dan mula menyampaikan pembelaannya dengan berkata,  “Tuanku Raja Agripa, hamba bersyukur kerana dapat membela diri di hadapan tuanku hari ini mengenai segala tuduhan yang dilemparkan oleh orang Yahudi terhadap hamba,  lebih-lebih lagi kerana tuanku sangat arif dalam segala adat dan pertikaian orang Yahudi. Oleh itu hamba memohon agar tuanku mendengarkan hamba dengan sabar.  “Banyak orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak zaman muda hamba sehingga masa hamba berada di Yerusalem.  Jika mereka sudi, mereka boleh memberikan kesaksian bahawa hamba hidup sebagai orang Farisi, iaitu golongan yang paling kuat berpegang pada agama kita.  Namun, hamba diadili sekarang kerana hamba berharap pada janji yang diberikan oleh Tuhan kepada nenek moyang kita.  Sebenarnya 12 suku bangsa kita juga berharap agar janji ini ditunaikan, jadi mereka menjalankan khidmat suci dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan siang dan malam. Ya Tuanku, kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi.  “Mengapakah kalian tidak percaya bahawa Tuhan mampu membangkitkan orang mati?  Dahulu hamba pun percaya bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang nama Yesus, orang Nasaret itu. 10  Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan kuasa yang diberikan oleh ketua-ketua imam, hamba memenjarakan ramai daripada kalangan umat suci Tuhan. Hamba juga menyokong keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka. 11  Hamba sering menghukum mereka di semua rumah ibadat untuk memaksa mereka menyangkal iman di hadapan umum. Hamba begitu berang terhadap mereka sehingga sanggup pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka. 12  “Pernah sekali, setelah hamba menerima kuasa dan perintah daripada ketua-ketua imam untuk melakukan hal-hal yang sama di situ, hamba membuat perjalanan ke Damsyik. 13  Tuanku, pada waktu tengah hari, ada cahaya dari langit yang memancar di sekeliling hamba dan di sekeliling mereka yang berjalan bersama hamba. Cahaya itu lebih terang daripada sinaran matahari, 14  lalu kami semua rebah ke tanah. Kemudian ada suara yang bercakap kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku? Jika kamu terus melawan, kamu hanya menyakiti dirimu sendiri. Kamu seperti seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.’ 15  Lalu hamba bertanya, ‘Siapakah Tuan?’ Maka Tuan Yesus berkata, ‘Akulah Yesus, yang kamu aniaya. 16  Bangunlah dan berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu kerana aku mahu memilih kamu sebagai hamba dan saksi untuk memberitakan apa yang sudah kamu lihat dan apa yang akan aku tunjukkan kepadamu mengenai aku. 17  Aku akan menyelamatkan kamu daripada orang Yahudi dan daripada bangsa-bangsa lain, dan mengutus kamu kepada mereka 18  untuk membuka mata mereka, supaya mereka meninggalkan kegelapan dan berpaling kepada cahaya. Dengan itu, mereka akan dilepaskan daripada kuasa Syaitan dan berpaling kepada Tuhan. Jika mereka beriman kepadaku, dosa mereka akan diampunkan, dan mereka akan menerima warisan sebagai umat yang disucikan.’ 19  “Tuanku Raja Agripa, itulah sebabnya hamba tidak mengingkari perintah yang hamba terima menerusi penglihatan dari syurga. 20  Bermula di Damsyik, kemudian di Yerusalem, dan di seluruh negeri Yudea, serta kepada bangsa-bangsa lain, hamba menyampaikan berita kepada orang bahawa mereka harus bertaubat dan berpaling kepada Tuhan, serta menunjukkan melalui perbuatan bahawa mereka sudah bertaubat. 21  Disebabkan hal ini, orang Yahudi menangkap hamba semasa hamba berada di Rumah Tuhan, dan mereka mencuba untuk membunuh hamba. 22  Namun, dengan adanya bantuan daripada Tuhan, sampai hari ini hamba terus memberikan kesaksian kepada semua orang, baik yang berkedudukan tinggi mahupun yang berkedudukan rendah. Apa yang hamba katakan kepada mereka hanyalah perkara-perkara yang akan berlaku, seperti yang dinyatakan dalam Ajaran Para Nabi dan kitab-kitab Musa. 23  Ajaran Para Nabi dan kitab-kitab Musa menyatakan bahawa Kristus akan menderita, dan sebagai orang pertama yang dibangkitkan daripada kematian, dia akan mengisytiharkan cahaya kepada orang Yahudi dan juga kepada bangsa-bangsa lain.” 24  Setelah Paulus mengatakan hal-hal ini untuk membela diri, Festus berkata dengan suara yang lantang, “Paulus, kamu sudah gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah membuat kamu gila!” 25  Tetapi Paulus menjawab, “Tuan Festus Yang Terutama, aku tidak gila. Kata-kata yang aku ucapkan itu benar dan berasal daripada fikiran yang waras. 26  Sebenarnya, aku dapat bercakap dengan terus terang* mengenai hal-hal ini kepada Raja Agripa, kerana baginda sudah mengetahui perkara ini. Aku yakin bahawa baginda mengetahui semua hal ini, kerana perkara ini tidak dilakukan secara rahsia. 27  Tuanku Raja Agripa, adakah tuanku percaya akan apa yang tercatat dalam Ajaran Para Nabi? Hamba tahu tuanku memang percaya.” 28  Tetapi Raja Agripa berkata kepada Paulus, “Dalam masa yang singkat, kamu akan meyakinkan beta untuk menjadi orang Kristian.” 29  Paulus berkata, “Hamba berdoa kepada Tuhan agar hal ini akan terjadi tidak kira dalam jangka masa yang panjang ataupun pendek. Sebenarnya hamba berdoa agar bukan tuanku sahaja, malah semua orang yang mendengarkan hamba pada hari ini akan menjadi seperti hamba, tetapi tidak dibelenggu di penjara seperti hamba.” 30  Kemudian Raja Agripa, gabenor, Bernike, dan orang yang duduk bersama mereka semuanya berdiri. 31  Sambil beredar, mereka berkata kepada satu sama lain, “Orang ini tidak melakukan apa-apa yang menyebabkannya harus dihukum mati atau dipenjarakan.” 32  Raja Agripa kemudiannya berkata kepada Festus, “Orang ini sebenarnya boleh dibebaskan jika dia tidak minta diadili oleh Kaisar.”

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata, “Bercakap dengan berani.”