Kisah 22:1-30

  • Paulus membela diri (1-21)

  • Paulus menggunakan haknya sebagai warganegara Roma (22-29)

  • Ahli Majlis Orang Yahudi berkumpul (30)

22  “Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarlah apa yang akan aku katakan untuk membela diri.”  Apabila mereka mendengarnya bercakap kepada mereka dalam bahasa Ibrani, mereka menjadi lebih senyap lagi. Kemudian dia berkata,  “Aku orang Yahudi. Aku dilahirkan di Tarsus di Kilikia, tetapi aku menerima pendidikan di kota ini dan diajar oleh Gamaliel sendiri. Aku diajar untuk mematuhi segala butiran dalam Hukum nenek moyang kita, dan seperti saudara sekalian pada hari ini, aku berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang membara.  Aku telah menganiaya orang yang mengikut Haluan Tuan, baik lelaki mahupun perempuan, dan menyebabkan kematian mereka. Aku mengikat dan memasukkan mereka ke dalam penjara.  Imam agung dan semua pemimpin orang Yahudi dapat memberikan kesaksian tentang hal ini. Aku juga meminta surat-surat daripada mereka untuk diberikan kepada orang Yahudi di Damsyik. Dengan itu, aku boleh mengikat orang yang mengikut Haluan Tuan di sana lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.  “Semasa aku dalam perjalanan ke Damsyik dan hampir tiba di kota itu, kira-kira pada waktu tengah hari, cahaya yang terang dari langit tiba-tiba memancar di sekelilingku.  Aku rebah ke tanah, lalu mendengar suara yang berkata, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku?’  Aku berkata, ‘Siapakah Tuan?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Yesus, orang Nasaret yang kamu aniaya.’  Mereka yang bersama-sama aku melihat cahaya itu, tetapi mereka tidak memahami kata-kata yang diucapkan kepadaku. 10  Maka aku bertanya, ‘Tuan, apakah yang harus aku lakukan?’ Tuan Yesus berkata, ‘Bangunlah dan pergilah ke Damsyik. Di situ, kamu akan diberitahu tentang segala sesuatu yang harus kamu lakukan.’ 11  Tetapi oleh sebab cahaya itu sangat terang, aku tidak dapat melihat apa-apa. Maka mereka yang bersama-sama aku memegang tanganku dan memimpin aku ke Damsyik. 12  “Kemudian, seorang lelaki yang bernama Ananias, yang takut akan Tuhan, yang mematuhi Hukum, dan yang dipuji oleh semua penduduk Yahudi di situ, 13  datang kepadaku. Dia berdiri di sebelahku lalu berkata, ‘Saulus, saudaraku, biarlah penglihatanmu pulih!’ Pada saat itu juga penglihatanku pulih, lalu aku dapat melihat dia. 14  Dia berkata, ‘Tuhan nenek moyang kita telah memilih kamu untuk mengetahui kehendak-Nya dan untuk melihat dan mendengar suara dia yang melakukan apa yang benar. 15  Kamu akan menjadi saksinya untuk mengkhabarkan perkara-perkara yang telah kamu lihat dan dengar kepada semua orang. 16  Sekarang, janganlah berlengah lagi. Bangunlah, dan hendaklah kamu dibaptis. Bersihkanlah dosamu dengan menyeru namanya.’ 17  “Tetapi selepas aku kembali ke Yerusalem, aku mendapat suatu penglihatan semasa aku berdoa di dalam Rumah Tuhan. 18  Dalam penglihatan itu, Tuan Yesus berkata kepadaku, ‘Janganlah berlengah-lengah. Cepatlah keluar dari Yerusalem, kerana mereka tidak akan menerima kesaksianmu mengenai aku.’ 19  Maka aku berkata, ‘Tuan, mereka sendiri tahu bahawa dahulu aku selalu pergi dari satu rumah ibadat ke rumah ibadat yang lain untuk memenjarakan dan memukul orang yang percaya kepada Tuan. 20  Semasa Stefanus, saksi Tuan, dibunuh, aku sendiri berdiri di situ dan menyokong pembunuhannya. Aku bahkan menjaga jubah luar orang yang membunuhnya.’ 21  Tetapi Tuan Yesus berkata kepadaku, ‘Pergilah, kerana aku akan mengutus kamu kepada bangsa-bangsa di tempat yang jauh.’” 22  Mereka terus mendengar sehingga saat dia mengucapkan kata-kata itu. Kemudian mereka berseru, “Bunuhlah dia! Dia tidak layak hidup di muka bumi ini!” 23  Mereka berteriak dan melemparkan jubah luar mereka serta menghamburkan debu ke udara. Oleh itu, 24  ketua pasukan tentera memerintahkan agar Paulus dibawa ke tempat tinggal askar. Dia juga memerintahkan supaya Paulus dicambuk dan disoal siasat untuk mengetahui mengapa mereka berteriak sedemikian rupa terhadap Paulus. 25  Namun setelah mereka mengikat Paulus untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, “Wajarkah seorang warganegara Roma dicambuk tanpa diadili terlebih dahulu?” 26  Apabila pegawai tentera tersebut mendengar hal itu, dia pergi kepada ketua pasukan tentera dan berkata, “Apakah yang ingin tuan lakukan sekarang? Lelaki ini warganegara Roma!” 27  Maka ketua pasukan tentera tersebut pergi kepada Paulus dan berkata, “Beritahulah aku: Adakah kamu warganegara Roma?” Dia menjawab, “Ya.” 28  Ketua pasukan tentera itu berkata, “Aku membayar wang yang banyak untuk menjadi warganegara Roma.” Paulus menjawab, “Tetapi aku dilahirkan sebagai warganegara Roma.” 29  Dengan serta-merta, mereka yang mahu menyoalnya berundur daripadanya. Apabila ketua pasukan tentera itu mendapat tahu bahawa Paulus ialah warganegara Roma, dia menjadi takut kerana dia telah merantai Paulus. 30  Maka pada keesokan harinya, ketua pasukan tentera itu membuka rantai yang mengikat Paulus dan memerintahkan ketua-ketua imam dan semua ahli Majlis Orang Yahudi untuk berkumpul, kerana dia ingin mengetahui alasan sebenar orang Yahudi menuduh Paulus. Kemudian dia membawa Paulus turun dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka.

Nota Kaki