1 Timotius 1:1-20

  • Salam (1, 2)

  • Amaran tentang guru palsu (3-11)

  • Kebaikan hati yang unggul ditunjukkan kepada Paulus (12-16)

  • Raja yang kekal (17)

  • “Berjuang dalam perang yang baik” (18-20)

1  Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus di bawah perintah Tuhan, Penyelamat kita, dan juga di bawah perintah Kristus Yesus, harapan kita,  menulis surat ini kepada Timotius,* seorang anak yang sejati dalam iman: Semoga kamu dikurniai kebaikan hati yang unggul, belas kasihan, dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan kita, Kristus Yesus.  Sepertimana aku pernah menggalakkan kamu untuk tinggal di Efesus semasa aku hendak pergi ke Makedonia, sekarang aku juga menggalakkan kamu untuk melakukan hal yang sama, agar kamu dapat memberikan perintah kepada orang tertentu supaya tidak menyebarkan ajaran yang berbeza,  dan tidak memberikan perhatian kepada cerita-cerita palsu dan pertikaian tentang salasilah keluarga. Semua itu sia-sia belaka, dan hanya menimbulkan persoalan, serta tidak berkaitan dengan pemberian Tuhan yang disediakan untuk menguatkan iman kita.  Sebenarnya, tujuan perintah ini adalah supaya kita mempunyai kasih yang berasal daripada hati yang bersih, hati nurani yang murni, dan iman yang tulus.  Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu lalu berpaling kepada perbincangan yang tidak bermakna.  Mereka mahu menjadi guru-guru hukum, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri atau hal-hal yang dinyatakan oleh mereka dengan penuh keyakinan.  Kita tahu bahawa Hukum itu baik, jika seseorang menerapkannya dengan betul.  Ketahuilah bahawa hukum tidak dibuat untuk orang yang melakukan apa yang benar, tetapi untuk orang yang melanggar hukum dan yang suka memberontak, orang yang tidak menghormati Tuhan dan yang berdosa, orang yang tidak setia,* orang yang menajiskan perkara-perkara suci, orang yang membunuh ayah atau ibu atau orang lain, 10  orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* lelaki yang meniduri lelaki,* penculik, pendusta, orang yang bersumpah palsu, dan semua perkara lain yang bertentangan dengan ajaran yang sihat.* 11  Ajaran ini berdasarkan berita baik yang mulia tentang Tuhan yang gembira, dan berita baik ini telah diamanahkan kepada aku. 12  Aku bersyukur kepada Tuan kita, Kristus Yesus, yang memberi aku kuasa, kerana dia menganggap aku setia dan memberi aku suatu tugas suci 13  meskipun dahulu aku menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab. Walau bagaimanapun, belas kasihan telah ditunjukkan kepadaku kerana pada waktu itu aku tidak sedar akan apa yang aku lakukan dan kerana aku tidak beriman. 14  Tetapi Tuan kita melimpahkan kebaikan hati yang unggul kepadaku, dan aku telah menerima iman dan kasih yang ada dalam Kristus Yesus. 15  Kata-kata ini dapat dipercayai dan harus diterima dengan sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan pendosa. Antara mereka, akulah yang paling teruk. 16  Meskipun aku merupakan pendosa yang paling teruk, Kristus Yesus menunjukkan belas kasihan kepadaku supaya kesabarannya yang besar diperlihatkan. Dengan itu, aku menjadi contoh kepada orang yang akan menaruh iman kepadanya untuk mendapatkan kehidupan abadi. 17  Semoga Raja yang kekal, yang tidak dapat musnah, yang tidak kelihatan, dan yang merupakan Tuhan yang esa, diberikan penghormatan dan kemuliaan buat selama-lamanya. Amin. 18  Timotius, anakku, aku menyerahkan perintah ini kepada kamu selaras dengan hal-hal yang dinubuatkan tentang kamu, supaya melalui nubuat-nubuat itu kamu boleh terus berjuang dalam perang yang baik, 19  sambil memelihara iman dan hati nurani yang murni. Sesetengah orang tidak mempedulikan hati nurani mereka sehingga iman mereka hancur bagaikan kapal yang karam. 20  Antara mereka ialah Himeneus dan Aleksander, dan aku telah menyerahkan mereka kepada Syaitan agar mereka diajar melalui disiplin supaya tidak menghina Tuhan.

Nota Kaki

Maksudnya “Dia yang Menghormati Tuhan.”
Atau “orang yang tidak mempunyai kasih yang setia.”
Lihat Daftar Kata.
Atau “lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki.”
Atau “berfaedah.”