1 Korintus 10:1-33

  • Contoh orang Israel sebagai amaran (1-13)

  • Amaran tentang penyembahan berhala (14-22)

    • Meja Yehuwa, meja roh-roh jahat (21)

  • Kebebasan dan timbang rasa terhadap orang lain (23-33)

    • “Lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan” (31)

10  Saudara-saudara, aku ingin kamu tahu bahawa nenek moyang kita semuanya berjalan di bawah awan dan menyeberangi laut.  Mereka semua dibaptis sebagai pengikut Musa semasa mereka berjalan di bawah awan dan menyeberangi laut.  Mereka semua makan makanan rohani yang sama,  dan mereka semua minum minuman rohani yang sama. Air yang diminum oleh mereka berasal daripada batu rohani yang menyertai mereka, dan batu itu melambangkan Kristus.  Namun demikian, Tuhan tidak berasa senang hati dengan kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mereka dibunuh di padang belantara.  Semua hal ini menjadi contoh bagi kita, supaya kita tidak menginginkan perkara yang jahat seperti yang diinginkan oleh mereka.  Selain itu, janganlah menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka. Seperti yang tertulis, “Umat itu makan dan minum. Kemudian mereka berseronok.”  Janganlah kita mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral* seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga 23,000 orang daripada mereka telah mati dalam sehari.  Janganlah kita menguji Yehuwa seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular. 10  Janganlah bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga mereka mati dibunuh. 11  Semua peristiwa itu berlaku kepada mereka sebagai contoh bagi kita, dan dicatatkan sebagai amaran untuk kita yang hidup pada akhir sistem dunia ini. 12  Oleh itu, jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh. 13  Semua godaan* yang kamu hadapi merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia. Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah. 14  Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri* daripada penyembahan berhala. 15  Aku bercakap kepada kamu seperti bercakap kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri sama ada kata-kataku benar atau tidak. 16  Cawan kesyukuran yang kita edarkan setelah mengucapkan syukur kepada Tuhan melambangkan darah Kristus, bukan? Roti yang kita bahagi-bahagikan melambangkan tubuh Kristus, bukan? 17  Walaupun kita ramai, kita ialah satu tubuh, kerana hanya ada satu roti, dan kita semua makan daripada roti itu. 18  Lihatlah bangsa Israel jasmani: Tidakkah mereka yang makan korban yang dipersembahkan dikaitkan dengan mazbah? 19  Apakah yang aku maksudkan? Adakah aku bermaksud bahawa berhala ataupun korban yang dipersembahkan kepada berhala itu penting? 20  Tidak. Maksudku ialah korban yang dipersembahkan oleh bangsa-bangsa lain dipersembahkan kepada roh-roh jahat, bukannya kepada Tuhan. Aku tidak ingin kamu dikaitkan dengan roh-roh jahat. 21  Kamu tidak boleh minum daripada cawan Yehuwa dan pada masa yang sama minum daripada cawan roh-roh jahat. Kamu tidak boleh makan di “meja Yehuwa” dan pada masa yang sama makan di meja roh-roh jahat. 22  Atau ‘adakah kita ingin membuat Yehuwa berasa cemburu’? Adakah kita lebih kuat daripada-Nya? 23  Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya menguatkan orang. 24  Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri. 25  Makanlah apa sahaja yang dijual di pasar daging. Usahlah mempersoalkan apa-apa supaya hati nurani kamu tidak terganggu. 26  Hal ini demikian kerana “bumi dan segala sesuatu di dalamnya merupakan milik Yehuwa.” 27  Jika seseorang yang tidak percaya kepada Kristus menjemput kamu untuk makan dan kamu mahu pergi, makanlah apa sahaja yang dihidangkan di hadapan kamu. Usahlah mempersoalkan apa-apa supaya hati nurani kamu tidak terganggu. 28  Tetapi jika seseorang berkata, “Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala,” janganlah makan makanan itu, demi orang yang memberitahu kamu hal tersebut dan demi hati nurani. 29  Hati nurani yang aku maksudkan bukanlah hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu. Aku bebas membuat pilihan sendiri, jadi mengapakah aku harus dihakimi berdasarkan hati nurani orang lain? 30  Jika aku makan setelah bersyukur kepada Tuhan, patutkah orang mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Tuhan bagi makanan itu? 31  Oleh itu, sama ada kamu makan, minum, atau melakukan hal-hal yang lain, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan. 32  Janganlah menyebabkan orang lain tersandung, tidak kira orang Yahudi, orang Yunani, ataupun sidang Tuhan. 33  Sebaliknya, lakukanlah apa yang aku lakukan. Aku berusaha untuk menyenangkan hati semua orang dalam segala hal. Aku melakukan apa yang berfaedah untuk ramai orang dan bukannya untuk diri sendiri, supaya mereka dapat diselamatkan.

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Atau “cubaan.”
Harfiah, “larilah.”