Lompat ke kandungan

SINGAPURA

Dipenjarakan kerana Iman Mereka

Dipenjarakan kerana Iman Mereka

Sebelas orang pemuda Saksi-Saksi Yehuwa di Singapura dipenjarakan kerana mereka menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Namun, tujuh orang daripada mereka dipenjarakan untuk kali kedua kerana enggan berganjak daripada pendirian mereka. Memandangkan Singapura mewajibkan khidmat tentera dan tidak mengakui hak asasi seseorang untuk menolak khidmat itu atas dasar hati nurani, mereka tidak diberikan peluang yang sah di sisi undang-undang untuk membuat rayuan.

Apabila seorang pemuda berusia 18 tahun, dia wajib menyertai khidmat tentera di Singapura. Jika dia enggan berbuat demikian atas dasar hati nurani, dia akan ditahan di kem tentera selama 15 bulan. Selepas tempoh penahanan itu berakhir, dia akan dibebaskan. Namun dia akan segera diperintahkan untuk memakai pakaian seragam tentera dan menyertai latihan tentera. Sekiranya dia menolak lagi, mahkamah tentera akan menjatuhkan hukuman penjara kepadanya paling lama 24 bulan.

Jadi, pemuda Saksi yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani akan dijatuhkan hukuman penjara secara berturut-turut dan mungkin boleh dipenjarakan selama 39 bulan.

Kerajaan Singapura Enggan Menuruti Arahan PBB

Sejak dahulu lagi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merayu agar ahli-ahlinya “menerima pendirian individu yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, selaras dengan hak yang telah diiktiraf oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat untuk mempunyai kebebasan berfikir, kebebasan untuk mengikut hati nurani, dan kebebasan beragama.” Walaupun telah menyertai PBB sejak 1965, pihak Singapura mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu ini. Dalam surat kepada Suruhanjaya PBB untuk Hak Asasi Manusia yang bertarikh 24 April 2002, seorang pegawai kerajaan Singapura menyatakan bahawa “jika kepercayaan atau tindakan seseorang bercanggahan dengan [hak pertahanan negara], keselamatan negara akan diutamakan.” Dengan jelas pegawai itu menulis: “Negara-negara lain memperakui hak seseorang untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, tetapi kami tidak.”

Garis Masa

  1. 14 November 2019

    Sebanyak sebelas orang Saksi-Saksi Yehuwa dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

  2. 24 April 2002

    Seorang pegawai kerajaan dengan jelas menyatakan bahawa Singapura tidak mengakui hak seseorang untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

  3. Februari 1995

    Semakin ramai Saksi-Saksi Yehuwa yang berwarganegara Singapura ditangkap dan ditindas.

  4. 8 Ogos 1994

    Mahkamah Tinggi Singapura menolak rayuan Saksi-Saksi Yehuwa.

  5. 12 Januari 1972

    Kerajaan Singapura membatalkan pendaftaran pertubuhan agama Saksi-Saksi Yehuwa.