Lompat ke kandungan

Habtemichael Tesfamariam bersama isterinya, Leterberhan Bezabih, sebelum dia dipenjarakan

25 APRIL 2018
ERITREA

Dua Orang Saksi yang Lanjut Usia Meninggal dalam Penjara Eritrea

Dua orang Saksi-Saksi Yehuwa yang bernama Habtemichael Tesfamariam dan Habtemichael Mekonen telah meninggal di Penjara Mai Serwa dekat Asmara pada awal tahun 2018. Kedua-dua mereka telah ditahan dan dipenjarakan sejak musim panas tahun 2008 atas kepercayaan agama mereka. Selama hampir 10 tahun mereka hidup menderita di dalam suasana penjara yang teruk.

Encik Tesfamariam meninggal dunia secara mengejut pada usia 76 tahun di Penjara Mai Serwa pada 3 Januari 2018. Rakan sepenjaranya percaya bahawa dia mengalami strok. Encik Tesfamariam dilahirkan pada tahun 1942 di Adi Yakulu, Mendefera, Eritrea. Dia menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1970 dan merupakan seorang yang teguh imannya walaupun mengalami penganiayaan dan dipenjarakan secara tidak adil. Mendiang meninggalkan balunya; Leterberhan Bezabih dengan empat orang anak lelaki serta tiga orang anak perempuan.

Encik Mekonen meninggal dunia pada usia 77 tahun di Penjara Mai Serwa pada 6 Mac 2018. Rakan sepenjaranya percaya bahawa dia meninggal akibat kegagalan buah pinggang. Encik Mekonen dilahirkan pada tahun 1940 di sebuah kampung yang bernama Kudo Felasi di selatan Eritrea. Dia menjadi seorang Saksi sejak lebih daripada 55 tahun lalu, dan sama seperti Encik Tesfamariam, dia juga seorang yang mempunyai iman yang teguh, biarpun dipenjarakan tanpa sebab serta dianiaya. Mendiang meninggalkan balunya; Mihret Ellias, dan seorang anak lelaki serta seorang anak perempuan.

Ditahan secara Tidak Adil dan Didera

Encik Mekonen berada di rumah ketika pihak berkuasa menahannya tanpa sebab pada bulan Julai 2008, dan Encik Tesfamariam juga berada di rumahnya ketika dia ditangkap pada bulan Ogos 2008. Kedua-dua mereka ditempatkan di Kem Penjara Meitir yang terletak di padang pasir utara Asmara, dan terkenal sebab keadaannya teruk dan tidak berperikemanusiaan. Di situ, mereka berdua telah ditahan sejak Oktober 2011 hingga Ogos 2012 dalam bangunan yang separuh terkubur, yang dipanggil “ruang di bawah tanah.” Para tahanan di sana hidup menderita di bawah suhu tinggi musim panas tanpa diberikan bekalan air mahupun makanan yang mencukupi. Ada yang mengalami masalah kesihatan jangka panjang akibat pengalaman mereka di penjara tersebut.

Pada tahun 2017, pihak berkuasa memindahkan kedua-dua Saksi ini daripada penjara di Kem Meitir ke Penjara Mai Serwa, di mana mereka dibenarkan menerima bungkusan makanan yang dibawa oleh ahli keluarga mereka dan mendapatkan rawatan perubatan apabila sakit teruk. Walaupun Encik Tesfamariam dan Encik Mekonen menyambut baik pemindahan itu, kesihatan mereka tidak pernah pulih sepenuhnya semenjak pengalaman mereka di Kem Meitir.

Habtemichael Mekonen dan isterinya, Mihret Ellias, sebelum dia dipenjarakan

Selain daripada Encik Tesfamariam dan Encik Mekonen, terdapat juga Saksi-Saksi Yehuwa lain yang telah meninggal dalam penjara di Eritrea, ataupun meninggal setelah mereka dibebaskan beberapa waktu kemudian. Terdapat dua orang Saksi lain yang meninggal dunia ketika di dalam penjara, manakala tiga orang Saksi lain meninggal dunia sejurus selepas dibebaskan. Semua ini adalah disebabkan penganiayaan yang mereka alami, serta keadaan penjara yang tidak berperikemanusiaan. Sekurang-kurangnya tujuh orang Saksi yang dibebaskan dari penjara beberapa tahun lalu masih mengalami masalah kesihatan serius akibat pengalaman mereka dalam penjara. Kini terdapat 53 orang Saksi yang masih dipenjarakan di Eritrea kerana iman mereka, termasuk seorang saudara kandung Encik Tesfamariam yang bernama Tareke.

Penganiayaan yang Merupakan “Jenayah terhadap Kemanusiaan”

Pada 8 Jun 2016, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan laporan yang berdasarkan hasil penyiasatan Suruhanjaya Siasatan mengenai Hak Asasi Manusia di Eritrea (COIE). Suruhanjaya ini ditubuhkan untuk menyiasat pelanggaran hak asasi manusia di Eritrea. COIE mendesak Eritrea untuk “menghormati kebebasan agama atau kepercayaan” dan “menghentikan amalan menangkap dan menahan individu secara sewenang-wenang atas dasar kepercayaan agama mereka, terutamanya penganut agama tertentu seperti Saksi-Saksi Yehuwa, . . . dan dengan serta-merta membebaskan mereka tanpa syarat.” COIE menyimpulkan bahawa tindakan Eritrea untuk menganiaya penganut agama tertentu merupakan “jenayah terhadap kemanusiaan.”

Saksi-Saksi Yehuwa berharap agar kematian Encik Tesfamariam dan Encik Mekonen akan mendapat perhatian dunia dan mendorong para pegawai Eritrea yang bersikap adil untuk bertindak demi mereka yang dipenjarakan secara tidak adil atas dasar iman mereka.