Melayu
Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Dua Bahasa pada Mei 2025
https://cms-imgp.jw-cdn.org/img/p/702025062/univ/art/702025062_univ_sqr_xl.jpg

2 JUN 2025
BERITA GLOBAL

Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Dua Bahasa pada Mei 2025

Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Dua Bahasa pada Mei 2025

Bahasa Kisi

Pada 25 Mei 2025, Saudara Winston Bestman, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Liberia, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kisi. Pengumuman itu dibuat semasa program istimewa yang diadakan di Guéckédou, Guinea. Sejumlah 1,029 orang telah menghadiri program itu, dan 2,467 orang menontonnya menerusi persidangan video di Foya, Liberia, dan Koindu, Sierra Leone. Salinan bercetak telah diedarkan kepada para hadirin. Pengeluaran ini juga dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library. Selain itu, rakaman audio Bible dalam bahasa Kisi akan dikeluarkan secara beransur-ansur dan dapat dimuat turun.

Hampir sejuta orang menuturkan bahasa Kisi di Kissiland, yang merupakan titik pertemuan sempadan negara Guinea, Liberia, dan Sierra Leone. Lebih daripada 1,200 penyiar berkhidmat di 29 sidang dan 1 kumpulan bahasa Kisi di seluruh kawasan cawangan Liberia. Mereka sangat gembira dapat memiliki terjemahan Bible yang lengkap, tepat, dan mengandungi nama Tuhan Yehuwa.

Bahasa Pijin Kepulauan Solomon

Pada 25 Mei 2025, Saudara Jeffrey Winder, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Pijin Kepulauan Solomon. Pengumuman itu dibuat semasa program istimewa yang diadakan di Honiara, Kepulauan Solomon. Sejumlah 2,317 orang telah menghadiri program itu, dan 1,695 orang menontonnya menerusi persidangan video di dua lokasi di Pulau Malaita. Salinan bercetak telah diedarkan kepada para hadirin program itu. Pengeluaran ini juga dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library.

Saksi-Saksi Yehuwa mula menginjil di Kepulauan Solomon pada 1953. Kini, kira-kira 757,000 orang yang menuturkan lebih daripada 70 bahasa peribumi tinggal di negara ini. Walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa rasmi, bahasa Pijin Kepulauan Solomon paling banyak dituturkan di kawasan ini. Hari ini, 2,100 penyiar menuturkan bahasa Pijin Kepulauan Solomon dan berkhidmat di 38 sidang di negara ini.