Lompat ke kandungan

25 FEBRUARI 2020
ARGENTINA

Pejabat Cawangan Argentina Membuka Muzium Baharu

Pejabat Cawangan Argentina Membuka Muzium Baharu

Pejabat cawangan Argentina Saksi-Saksi Yehuwa di Buenos Aires telah membuka sebuah muzium baharu pada 11 Disember 2019. Dalam muzium ini, terdapat dua pameran yang bertemakan “Tirulah Iman Mereka” dan “Firman-Mu Kekal Selamanya.”

“Tirulah Iman Mereka” menceritakan sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Argentina dan Uruguay. Sejarah itu menunjukkan perkembangan Saksi dari 1920-an hingga zaman moden. Satu ciri istimewa pameran ini ialah kisah rakan seiman kita semasa kerja kita diharamkan di Argentina. Pameran ini menjelaskan bagaimana anak-anak Saksi dibuang sekolah kerana enggan tabik bendera dan ratusan kaum muda Kristian dipenjarakan kerana enggan menyertai khidmat tentera. Banyak antara mereka dipukul dan diseksa, dan sekurang-kurangnya tiga orang telah kehilangan nyawa.

“Firman-Mu Kekal Selamanya” pula mempamerkan koleksi Bible dan menunjukkan sejarah penterjemahan Bible dalam bahasa Sepanyol selama ratusan tahun. Terdapat kira-kira 47 buah Bible, termasuk Bible yang penting dan jarang ditemui seperti Ferrara Bible edisi 1630. Bible itu merupakan salah satu terjemahan Kitab Ibrani lengkap yang pertama dalam bahasa Sepanyol, dan mengandungi nama Tuhan pada halaman tajuknya. Terdapat juga edisi pertama Reina-Valera Bible tahun 1602, yang mengandungi nama Tuhan Yehuwa dalam seluruh Perjanjian Lama. Edisi Reina-Valera Bible merupakan terjemahan Bible bahasa Sepanyol yang paling banyak digunakan.

Edisi pertama Reina-Valera Bible yang asal, cetakan 1602

Sepanjang sejarah Argentina, banyak orang asing telah berpindah ke situ. Maka dalam pameran ini, terdapat juga terjemahan-terjemahan Bible yang dituturkan oleh imigran yang tiba di Argentina pada abad ke-19. Para pengunjung berpeluang untuk melihat Bible dalam bahasa Armenia, Croatia, Gaelik Ireland, Hungary, Ibrani, Inggeris, Itali, Jerman, Portugis, dan Welsh.

Ferrara Bible—Edisi 1630; pada halaman tajuk, terdapat Tetragrammaton, iaitu empat huruf Ibrani bagi nama Tuhan Yehuwa

Terdapat juga terjemahan-terjemahan lengkap yang dibuat di Argentina, seperti edisi Nuevo Testamento tahun 1919 terjemahan Pablo Besson. Selain itu, ada terjemahan-terjemahan zaman moden dalam bahasa tempatan seperti Chorote, Mapudungún, Mocoví, Pilagá, Toba del Oeste, Toba Qom, dan Wichí.

Perjanjian Baharu tahun 1919 yang diterjemahkan oleh Pablo Besson ialah Bible Amerika Latin pertama yang diterjemahkan daripada bahasa Yunani. Tanda merah menunjukkan nama Tuhan Yehuwa yang digunakan Besson di Lukas 2:15

Saudara Timoteo Costantino, yang bekerja di pejabat cawangan Argentina, berkata, “Kami berterima kasih kepada mereka yang membantu menyediakan koleksi Bible untuk pameran ini. Muzium ini telah membantu pengunjung asing dan tempatan untuk belajar tentang sejarah terjemahan Bible dan sejarah Saksi di Argentina dan Uruguay.”