9 SEPTEMBER 2020
ARGENTINA
Pendidikan Bible Mencapai Banduan semasa Pandemik Ini
Di San Luis, Argentina, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perjumpaan dan pembelajaran Bible setiap minggu melalui persidangan video dengan banduan dalam penjara kawalan maksimum. Inilah kali pertama aturan sebegini dibuat di Argentina.
Selama bertahun-tahun, para saudara di San Luis sering mengunjungi penjara kawalan maksimum untuk mengadakan perjumpaan dan pembelajaran Bible. Tetapi, sejak Mac 2020, kerajaan Argentina menguatkuasakan sekatan pergerakan. Maka, aturan untuk mengunjungi para banduan telah dihentikan. Para saudara kemudiannya meminta izin daripada pihak atasan penjara agar dapat mengadakan aktiviti rohani melalui persidangan video.
Pengarah penjara sangat kagum melihat kesan baik daripada kunjungan para Saksi. Hasilnya, dia dan isterinya juga mula menghadiri perjumpaan. Dia berkata, “Perjumpaan kamu sangat penting kerana dapat membantu banduan untuk rasa gembira, tenang, dan menghampiri Tuhan, terutamanya kerana sekarang tiada orang dapat melawat mereka. Pendidikan Bible sangat berkesan untuk mengubah banduan menjadi orang yang berguna dalam masyarakat.”
Seorang banduan menulis surat kepada saudara yang mengaturkan perjumpaan. Dia kata, ‘Semasa saya menghadiri perjumpaan, rasa letih, sedih, sunyi, kecewa, risau, bahkan masalah saya semuanya hilang. Saya rasa sangat gembira. Terima kasih banyak.’
Pada masa yang susah ini, kita sangat digalakkan untuk mendengar pengalaman saudara saudari yang giat membantu orang meraih manfaat daripada ajaran Bible.—Yesaya 48:17, 18.