Lompat ke kandungan

Kanan: Sebahagian kumpulan saudara yang sering ke kawasan zon perang Ukraine untuk hantar bekalan kemanusiaan dan selamatkan mereka yang ingin melarikan diri. Kiri atas: Para saudara berjaya selamatkan sebuah keluarga Saksi yang nyaris kehilangan nyawa kerana letupan bom menghancurkan rumah mereka

27 APRIL 2022
UKRAINE

Para Saudara di Ukraine Gadaikan Nyawa demi Menghantar Bekalan dan Selamatkan Rakan Seiman

Para Saudara di Ukraine Gadaikan Nyawa demi Menghantar Bekalan dan Selamatkan Rakan Seiman

Sejak perang di Ukraine bermula pada 24 Februari 2022, masih ada ribuan Saksi Yehuwa yang berada di kawasan konflik yang paling teruk. Sekumpulan saudara dari bandar Kremenchuk dan Poltava rela gadaikan nyawa demi menghantar bekalan dan selamatkan saudara saudari di zon perang itu. Mereka benar-benar buktikan bahawa mereka mengasihi rakan seiman.

Dalam enam minggu, kumpulan yang terdiri daripada 21 orang ini telah buat perjalanan ulang-alik sebanyak 80 kali ke kawasan yang ada banyak pertempuran, seperti di Kharkiv. Mereka telah menempuh 50,000 kilometer dan berjaya selamatkan hampir 400 saudara saudari.

Sekumpulan penyiar dan anak-anak terselamat dari Kharkiv

Setakat ini, mereka telah hantar 23 ton makanan, dan juga ubat-ubatan, gasolin, serta keperluan yang lain. Sebelum mulakan perjalanan, mereka selalu rancang laluan yang paling selamat dan elak kawasan yang berbahaya. Satu perjalanan ulang-alik boleh memakan masa selama 19 jam kerana perlu berhenti di banyak titik pemeriksaan dan tunggu kereta mereka diperiksa.

Semasa perjalanan, mereka boleh dengar bunyi pesawat perang yang terbang di atas. Mereka juga boleh lihat bangunan yang dimusnahkan bom, serta bangkai kereta kebal dan kereta yang hancur. Ada kalanya, mereka boleh rasa gegaran tanah ketika bom meletup berdekatan mereka.

Pada 2 April 2022, Roman sedang sediakan bekalan yang akan dihantar kepada saudara saudari di Kharkiv. Tiba-tiba, banyak tembakan dari peluru berpandu jatuh di jalan raya. Dia berlindung di bangunan berdekatan. Setengah jam kemudian, dia nampak jalan yang ingin dilaluinya telah terkena bom.

Volodymyr, salah seorang saudara yang merelakan diri sebagai pemandu kata, “Oleh sebab keadaan sangat bahaya, kami sering berdoa agar Yehuwa bantu kami buat keputusan yang bijak.”

Oleksandr dan isterinya, Valentyna, tinggal di Kharkiv bersama ibu bapa Oleksandr yang sudah tua. Semasa perang berlanjutan, mereka dapat lihat letupan bom dari tingkap. Ada yang bahkan jaraknya hanya 100 meter dari rumah mereka. Oleh sebab tidak ada kereta, mereka tidak dapat melarikan diri.

Kemudian, para saudara sampai untuk selamatkan mereka. Oleksandr kata, “Kami berdoa kepada Yehuwa, bersyukur kepada-Nya kerana saudara-saudara yang rela bantu kami.”

Vasyl, isterinya Natalia, dan tiga anak mereka bersembunyi selama beberapa hari di tingkat bawah tanah rumah mereka. Pada 29 Februari 2022, satu bom meletup dekat situ sehingga gegarannya hancurkan rumah mereka. Vasyl ingat bahawa ketika itu bunyi letupan sangat kuat, dan semua lampu di tingkat bawah tanah tiba-tiba padam.

Vasyl, Natalia, dan anak-anak di tingkat bawah tanah rumah mereka sebelum bom musnahkan rumah itu

Semasa serangan reda seketika, Vasyl dan keluarganya pindah ke tingkat bawah tanah bangunan lain yang berhampiran. Pada 3 Mac 2022, saudara-saudara berjaya menjumpai mereka dan membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.

Vasyl ceritakan bagaimana perasaannya saat mereka akhirnya sampai di tempat yang selamat. Dia kata, “Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa. Malam itu, keluarga kami boleh makan dengan tenang. Saya dan isteri tidak perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak. Rasanya, sudah lama sekali kami tidak alami keadaan seperti ini sedangkan hanya seminggu berlalu dari masa perang bermula sehingga kami diselamatkan.”

Oleksandr, salah seorang pemandu, mengatakan bahawa usaha untuk selamatkan saudara saudari itu membuktikan bahawa penyembah Yehuwa memang bersatu padu. Oleksandr kata, “Pengalaman ini bantu saya sedar bagaimana Yehuwa menjaga umat-Nya. Hati saya melonjak kegembiraan apabila melihat wajah saudara saudari yang begitu bersyukur atas bantuan yang dihulurkan.”

Kita berterima kasih kepada para saudara yang berani ini. Kita berdoa semoga Yehuwa memberkati pengorbanan dan kerelaan mereka.—Roma 12:10.