Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kumpulan penterjemahan Bahasa Isyarat Rwanda merakam sebuah video di pejabat mereka.

10 JANUARI 2019
RWANDA

Pejabat Cawangan Rwanda Memulakan Kerja Penterjemahan Bahasa Isyarat Rwanda

Pejabat Cawangan Rwanda Memulakan Kerja Penterjemahan Bahasa Isyarat Rwanda

Pada akhir bulan September 2018, Saksi-Saksi Yehuwa di Rwanda telah memulakan kerja penterjemahan ke dalam Bahasa Isyarat Rwanda (RWS). Peristiwa ini merupakan rekod baharu dalam usaha menyebarkan berita baik kepada lebih banyak orang. Usaha baik ini akan membantu 113 orang saudara saudari yang pekak di Rwanda dan membantu para penyiar yang lain untuk menginjil kepada lebih daripada 30,000 orang yang pekak dan yang mempunyai masalah pendengaran di negara itu.

Kumpulan penterjemahan RWS telah menterjemahkan brosur Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya, video singkat Mengapa Belajar Bible?, dan kebanyakan risalah dalam Bahan Utama untuk Mengajar. Bahan-bahan ini akan tersedia di laman web ini dalam masa beberapa minggu lagi.

Kumpulan penterjemahan RWS bekerja di sebuah bangunan yang berdekatan dengan pejabat cawangan Rwanda di Kigali. Jika berjalan kaki, perjalanan dari pejabat cawangan ke bangunan itu hanya mengambil masa lima minit. Kumpulan itu terdiri daripada dua orang saudara (yang salah satunya pekak) dan dua orang saudari. Mereka semua fasih dalam bahasa isyarat. Mereka juga telah mengikuti kursus penterjemahan selama empat minggu dan mempelajari prinsip-prinsip penterjemahan.

Pejabat penterjemahan Bahasa Isyarat Rwanda, yang berdekatan dengan pejabat cawangan Rwanda.

Rwakibibi Jean Pierre, salah seorang penterjemah RWS, menjelaskan bahawa penterjemahan bahasa isyarat sangat berbeza dengan penterjemahan bahasa bertulis. Dia berkata, “Orang pekak berkomunikasi menerusi gerakan tangan dan ekspresi wajah mereka. Maka para penterjemah bahasa isyarat perlu menggunakan teknik khas untuk menterjemahkan tulisan ke dalam bentuk video. Setelah menerima bahan dalam bahasa Inggeris, kami akan melukis ideanya di atas papan lukis. Kemudian, kami akan mengungkapkan idea dalam lukisan-lukisan itu ke dalam bahasa isyarat. Untuk memastikan bahawa hasil terjemahan kami tepat dan mudah difahami, kami mengundang beberapa orang Saksi yang pekak untuk menonton video yang kami terjemahkan dan memberikan maklum balas.”

En. Augustin Munyangeyo, pengerusi lembaga pengarah Persatuan Orang Pekak Rwanda.

Persatuan Orang Pekak Rwanda, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak orang pekak di Rwanda, memuji kerja penterjemahan RWS yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Pengerusi lembaga pengarah persatuan itu, En. Augustin Munyangeyo, berkata, “Kami berterima kasih kepada Saksi-Saksi Yehuwa kerana mereka memberikan pendidikan rohani dengan menggunakan Bible dan video dalam Bahasa Isyarat Rwanda.”

Setakat ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan bahan terbitan dalam lebih daripada 90 jenis bahasa isyarat, dan bahan-bahan itu boleh didapati melalui aplikasi JW Library Sign Language® secara percuma. Bahan-bahan itu telah membantu saudara saudari di seluruh dunia untuk menyebarkan berita baik “kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.”—Wahyu 14:6.