Lompat ke kandungan

29 NOVEMBER 2018
RUSIA

Pegawai Rusia Menyerbu Lapan Buah Rumah Saksi di Crimea

Pegawai Rusia Menyerbu Lapan Buah Rumah Saksi di Crimea

Pada petang Jumaat, 16 November 2018, kira-kira 200 pegawai dari Agensi Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) telah menyerbu lapan buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Crimea.

Pegawai FSB yang melakukan serbuan itu memakai topeng dan dilengkapi dengan senjata. Serbuan itu menyebabkan dua orang Saksi mengalami kejutan dan stres yang melampau sehingga tekanan darah mereka meningkat secara mendadak dan perlu dikejarkan ke hospital. Kami juga berasa sedih kerana seorang saudari telah mengalami keguguran akibat serbuan itu.

Semasa serbuan itu, para pegawai telah menyerang Aleksandr Ursu yang berumur 78 tahun. Dia ditolak ke dinding, dihempas ke tanah, dan digari. Beberapa orang Saksi yang lain turut disoal siasat oleh pihak polis.

Setakat ini, hanya Saudara Sergey Filatov (gambar kanan) yang dituduh melakukan jenayah. Pihak berkuasa mendakwanya di bawah Artikel 282.2, bahagian 1, Kanun Jenayah Persekutuan Rusia, yang turut dikuatkuasakan di semenanjung Crimea. Saudara Filatov yang berumur 47 tahun merupakan bapa kepada empat orang anak. Dia ialah Saksi pertama yang dituduh melanggar undang-undang Rusia untuk melawan ekstremis di Crimea.

Laporan mengenai serbuan dan tentangan memang membimbangkan saudara saudari kita. Namun, kita tetap berani dan yakin bahawa Yehuwa akan meneguhkan kita pada hari-hari terakhir ini yang sarat dengan cabaran.—Yesaya 41:10.