Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Saudara Dmitriy Mikhaylov semasa temu ramah baru-baru ini. Dia ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia pada 29 Mei 2018, dan ditahan selama 171 hari

18 JUN 2019
RUSIA

Kumpulan Pakar Undang-Undang PBB Menyatakan bahawa Penahanan Saudara Mikhaylov Melanggar Undang-Undang

Kumpulan Pakar Undang-Undang PBB Menyatakan bahawa Penahanan Saudara Mikhaylov Melanggar Undang-Undang

Sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa tindakan Rusia untuk menangkap dan menahan Saudara Dmitriy Mikhaylov adalah salah kerana dilakukan berdasarkan “diskriminasi agama” dan dengan demikian melanggar undang-undang antarabangsa. Mereka juga mendesak kerajaan Rusia agar menggugurkan semua tuduhan jenayah yang dilontarkan terhadap Saudara Mikhaylov.

Kumpulan pakar undang-undang itu dikenali sebagai Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari (WGAD). Mereka telah mengeluarkan dokumen yang mempunyai 12 muka surat berkenaan penahanan Saudara Mikhaylov. Dalam dokumen itu, mereka menyatakan bahawa saudara kita “tidak pernah mengganggu ketenteraman.” Mereka juga menyatakan bahawa “tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa dia atau Saksi-Saksi Yehuwa lain di Persekutuan Rusia bertindak ganas atau menggalakkan orang lain untuk bertindak sedemikian.”

WGAD menyatakan bahawa Saudara Mikhaylov “hanya menggunakan haknya untuk beribadat secara bebas” dan “tidak sepatutnya ditangkap dan ditahan sebelum kesnya dibicarakan.” Maka, kerajaan Rusia harus membayar pampasan kepadanya kerana dia tidak dapat bekerja semasa dipenjarakan dan kerana dia ditahan meskipun dia tidak bersalah.

WGAD juga menyatakan bahawa selain Saudara Mikhaylov, ada Saksi lain yang diperlakukan dengan tidak adil kerana kepercayaan mereka. WGAD menyatakan bahawa “semakin banyak Saksi-Saksi Yehuwa di Persekutuan Rusia yang ditangkap, ditahan, dan dituduh melakukan jenayah semata-mata kerana mereka menggunakan hak mereka untuk beribadat secara bebas.” Sebenarnya, kebebasan beragama dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Itulah sebabnya WGAD mengutuk penganiayaan yang dilakukan terhadap Saudara Mikhaylov dan semua Saksi lain yang “menghadapi situasi yang sama seperti yang dialami oleh En. Mikhaylov” di Rusia.

Saudara Mikhaylov mula belajar Bible semasa dia masih remaja dan dibaptis pada tahun 1993, apabila dia berumur 16 tahun. Pada tahun 2003, dia berkahwin dengan Yelena, dan mereka menyembah Yehuwa bersama-sama.

Pada tahun 2018, Saudara dan Saudari Mikhaylov mendapati bahawa pihak berkuasa mendengar panggilan telefon mereka secara rahsia dan mengawasi aktiviti harian mereka melalui kamera selama beberapa bulan. Pada 19 April 2018, Jawatankuasa Penyiasatan Persekutuan Rusia di kawasan Ivanovo membuat tuduhan jenayah terhadap Saudara Mikhaylov dan menghantar pasukan polis bersenjata untuk menggeledah rumahnya. Kira-kira sebulan kemudian, Saudara Mikhaylov ditangkap dan ditahan atas tuduhan membantu membiayai kegiatan “ekstremis.” Selepas ditahan selama 171 hari, dia dibebaskan. Namun, selagi kesnya dalam proses siasatan, pihak berkuasa mengenakan sekatan atas perjalanan dan komunikasinya.

WGAD memberi kerajaan Rusia tempoh enam bulan untuk memberikan jawapan mengenai kes ini. Mereka diminta untuk menyatakan sama ada tuduhan terhadap Saudara Mikhaylov sudah digugurkan, bayaran pampasan sudah diberikan, dan sama ada siasatan terhadap pihak yang mencabuli haknya sudah dilakukan atau tidak.

WGAD pernah mengeluarkan pernyataan yang serupa untuk kes Saudara Teymur Akhmedov di Kazakhstan. Pada tahun 2017, Saudara Akhmedov ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana mengongsi kepercayaannya dengan orang lain. Para peguam Saudara Akhmedov telah membawa kesnya ke semua mahkamah di Kazakhstan, namun mereka kalah dalam semua perbicaraan itu. Oleh itu, mereka telah membuat rayuan kepada WGAD. Pada 2 Oktober 2017, WGAD mengutuk tindakan kerajaan Kazakhstan dan mengarahkan agar Saudara Akhmedov dibebaskan. Enam bulan kemudian, presiden Kazakhstan telah memberikan pengampunan kepada Saudara Akhmedov. Pada 4 April 2018, dia dibebaskan dari penjara.

Tidak kira apa reaksi kerajaan Rusia terhadap tuntutan WGAD berkenaan kes Saudara Mikhaylov, kita yakin akan janji ini: ‘Berbahagialah orang yang berlindung kepada Yehuwa.’ Kita berdoa agar Yehuwa terus membantu saudara saudari di Rusia yang menghadapi tuduhan jenayah. Semoga mereka tetap yakin bahawa Yehuwa akan menjaga mereka sehingga mereka “tidak akan kekurangan apa-apa yang baik.”—Mazmur 34:8, 10.