Lompat ke kandungan

Saudara Dmitriy Barmakin bersama dengan isterinya, Elena, selepas dia dibebaskan dari penjara

19 NOVEMBER 2019
RUSIA

Hakim di Rusia Membebaskan Saudara Dmitriy Barmakin selepas 447 Hari di Penjara

Selepas 447 hari ditahan reman, Saudara Dmitriy Barmakin dibebaskan dari penjara pada 18 Oktober 2019. Namun, dia masih ditahan di rumahnya sendiri. Kini, dia dapat bersatu semula dengan isterinya, Elena. Mereka sudah berkahwin selama 13 tahun.

Saudara Barmakin ditangkap pada 28 Julai 2018. Semasa dia melawat nenek isterinya yang berumur 90 tahun, pihak berkuasa yang memakai topeng dan dilengkapi senjata menyerbu rumah itu. Saudara Barmakin didakwa kerana terlibat dalam kegiatan agama Saksi-Saksi Yehuwa. Sebelum dia dibicarakan, Mahkamah Daerah Pervorechenskiy di Vladivostok menahannya selama dua bulan. Selepas itu, mahkamah telah melanjutkan tempoh remannya sebanyak lapan kali.

Semasa Saudara Barmakin ditahan sebelum perbicaraan, mahkamah menyatakan bahawa ibadatnya, yang sebenarnya tidak mengganggu kedamaian, merupakan suatu “jenayah yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan negara.” Tuduhan tersebut tidak masuk akal kerana menurut Perkara 28 dalam Perlembagaan Persekutuan Rusia, semua orang “bebas untuk memilih, memiliki, dan menyebarkan agama serta mengamalkan kepercayaan mereka.”

Kita gembira kerana Hakim Stanislav Salnikov dari Mahkamah Daerah Pervorechenskiy di Vladivostok membebaskan Saudara Barmakin dari penjara. Biarpun begitu, siasatan jenayah terhadapnya masih diteruskan.

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menguatkan dan menggalakkan saudara saudari kita di Rusia, terutamanya mereka yang dipenjarakan dan yang ditahan di rumah sendiri. Seperti Saudara Barmakin, keberanian dan kesetiaan mereka menjadi teladan yang baik kepada rakan seiman di seluas dunia.—Filipi 1:13, 14.